Bab 3 Part 1

4.9K 63 2
                                    

RASYA asyik sekali menatap novel di tangan. Hobi yang selalu mengisi masa lapangnya. Kehadiran Syahrie di sebelah langsung tidak dihiraukan. Sedikit pun dia tidak berkalih memandang lelaki itu.

Sesekali Syahrie tergeleng-geleng melihat kekhusyukan gadis di sebelahnya. Bersusah-payah dia menjemput gadis itu, bukannya gadis itu mahu melayannya berborak. Novel yang membisu itu juga yang dibeleknya

Satu keluhan terlepas dari bibir Syahrie. Serta-merta Rasya menoleh ke arahnya. Bibir gadis itu menguntum senyuman nakal. Dia arif sangat apa yang bakal diutarakan oleh abang sepupunya itu.

"Mengeluh nampak," sinis Rasya langsung menutup novel di tangan. Dia berkalih dan menumpukan perhatiannya pada Syahrie pula. Jika tidak dipedulikan pasti lelaki itu akan merajuk. Dah tua-tua pun suka merajuk lagi. Bukan senang pula mahu dipujuk.

"Apa boleh buat? Bukan ada orang nak layan pun. Mengeluh ajelah jawabnya," nada Syahrie mengendur memandang tepat ke arah Rasya.

"Yalah... orang dah tutup buku dah."

"Hmm... selagi Abang Rie tak bising, selagi tulah novel tu aje yang dilayannya. Abang Rie kat sebelah pun dia buat bodoh aje. Kalau Abang Rie tahu... pandai-pandailah Sya naik bas tadi," usik Syahrie.

"Ini kira kes ugut ke apa ni?" Keluh Rasya memasamkan wajahnya. Dia cukup manja dengan abang nan seorang itu. Pada lelaki itulah dia menumpang kasih seorang abang. Dan Syahrie pula senang melayan kerenah Rasya memandangkan dia tidak punya adik. Anak bongsulah katakan.

"Habis tu dah ada pun macam tak ada. Baik Abang Rie tak payah datang ambik."

"Ni Sya nak bagi full attention kat Abang Rie la ni."

"Kali ni cuti berapa lama pulak?"

"Macam biasalah. Cuti dua bulan. Sya tinggal final semester aje lagi. Lepas ni hoorayla!" laung Rasya kegembiraan. Pengajiannya bakal tamat tidak lama lagi.

"Hooraylah sangat. Bila tak kerja lagi... rasalah belajar tu macam menyeksakan. Tapi bila dah start kerja nanti, tahulah Sya nak balik ke alam study," komen Syahrie panjang. Matanya tetap fokus di jalan. Pemanduan penuh berhemah menjadi prinsipnya.

"Habis tu nak lepak rumah Abang Rie berapa hari aje ni?"

"Seminggu jadilah."

"Seminggu aje?"

"Cukuplah tu. Bukan Abang Rie tak kenal ayah tu. Bukannya dia nak kasi sangat Sya kat rumah Abang Rie tu lama-lama. Katanya menyusahkan mak cik dengan pak cik aje nanti."

"Susah apanya? Abang Rie lagi suka Sya ada tahu. Bosan kat rumah tu sorang-sorang," rungut Syahrie sambil mengerling kecil pada Rasya. Syahrie hanya punya dua orang kakak. Kedua-duanya sudah berkahwin dan mengikut suami bermaustautin jauh di negeri orang.

Tu mak cik, pak cik kan ada. Haaa... Kak Rita kan boleh temankan Abang Rie," usul Rasya. Wajah Syahrie terus berubah sugul apabila nama yang satu itu disebut.

Hai, problem lagi ke diorang ni? Rasya berteka-teki sendirian. Dia sudah tidak tahu apa yang boleh dilakukan untuk menjernihkan hubungan yang semakin menuju ke arah kehancuran itu. Ibarat kapal mewah yang bakal karam. Terumbang-ambing di tengah lautan. Begitulah perhubungan antara Syahrie dan Rita. Tidak tahu wujudnya salah di pihak yang mana? Atau adakah tempoh perkenalan yang terlalu lama memudarkan semarak percintaan mereka?

"Ni mesti gaduh lagi, kan?" Rasya terus mencari ruang memujuk Syahrie langsung memecah kesunyian antara mereka. Syahrie masih membisu. Berat mulut itu mahu menjawab pertanyaan yang mengasak jiwanya kala itu.

"Kan dah elok hari tu? Ni gaduh sebab apa pulak?" Rasya terus memujuk dan cuba mengorek rahsia. Kasihan pula melihat seraut wajah monyok itu. Tahu sangat dia betapa mendalamnya cinta abang sepupunya untuk si manis Rita.

"Kalau Abang Rie terus diam macam ni, Sya dah malas nak layan Abang Rie lagi. Bila orang khusyuk baca novel dia bising. Orang dah layan, dia pulak buat bodoh aje." Rasya merengus geram. Bibirnya dimuncungkan dan mukanya dikalihkan sedikit ke kiri . Dia merajuk dengan sikap Syahrie.

"Alala... tak comel la adik Abang Rie ni merajuk. Nampak comot ada la. Cuba senyum sikit," usik Syahrie. Akhirnya Syahrie mengalah juga. Hatinya sakit bila terkenangkan cinta hatinya. Sebab itu dia malas mahu membuka mulut berbalah dengan Rasya tentang Rita.

"Tahu takut!"

"Memanglah takut. Bukan senang nak pujuk adik abang ni. Kalau nak pujuk, siaplah poket Abang Rie nanti. Kering kena pau," Syahrie terus mengusik gadis yang bersifat keanak-anakan itu.

Rasya mencebik. Berona merah seketika pipinya dan terasa berbahang dek panahan kata-kata Syahrie. Memang selalunya begitu jika Syahrie mahu memujuknya. Kebiasaannya berbuah-buah novel akan dibelikan Syahrie untuknya. Hantu novel dapat novel, rezeki mana boleh tolak. Lebih lagi kalau dibelikan oleh abang sepupu kesayangannya itu.

"Abang Rie ni selalu sangat ada problem dengan Kak Rita. Senang-senang Abang Rie terus masuk meminang aje. Settle problem. Kenal pun dah lama. Lima tahun tu... kalau dulu lagi abang pinang Kak Rita, mesti dah ada sorang dua anak tahu," Rasya terus mengasak Syahrie sambil memetik jarinya.

"Kalau ikutkan Abang Rie... memanglah nak masuk meminang. Tapi dia pulak yang tak nak. Tak sedia lagi katanya. Nak bina karier dululah. Macam-macamlah alasan dia."

"Ermm, entah-entah Kak Rita ada orang lain tak?" Tanpa sedar ayat itu terpacul dari bibir Rasya. Ops! Pantas tangannya menekup seulas bibir mongel yang tidak diinsuranskan itu. Pantas Syahrie menghadiahkan jelingan tajam yang sudah cukup untuk membuatkan Rasya menyesali apa yang diutarakannya.

"Hehe...sorry..." Rasya buat muka comelnya.

Cinta 11 SyaratWhere stories live. Discover now