Pagi itu cerah. Sofea tersenyum riang duduk di tepi jendela biliknya yang terbuka luas. Burung pipit berkicauan merdu didahan pokok yang disimbahi sinar mentari yang hangat. Mata bundar anak gadis itu galak memerhati keletah kumpulan kecil burung yang melompat - lompat kegirang di dahanan.
Terkadang kedengaran tawa manjanya melihat aksi comel sang burung pipit bergurau sesama sendiri. Deruan angin bertiup membelai lembut rambut Sofea yang panjang mengurai. Dia menutup sebentar matanya menikmati belaian lembut bayu pagi.
Kedengaran samar -samar bunyi bisikkan yang saling bertindihan antara satu suara dan suara yang lainnya di cuping telinga Sofea. Pada mulanya hanya bisikkan halus yang perlahan namun akhirnya bertukar nyaring dan kacau bilau tanpa dapat difahami walau sepatah perkataan pun ertinya.
Senyuman di wajah gadis itu mati. Secara mendadak salah seekor makhluk kecil tersebut diserang kekejangan lalu jatuh menjunam ke tanah. Jasad kecil itu masih lagi mengelupar ganas menahan kesakitan yang amat dahsyat sebelum akhirnya kaku menjadi bangkai yang membeku. Kepalanya terpusing ke arah yang agak mustahil dilakukan haiwan sekecil itu sepanjang hayatnya.
Serentak kumpulan kecil burung pipit tersebut memandang tepat ke arah Sofea sebelum akhirnya turut jatuh secara serentak terhempas ke bumi lalu mengelupar ngeri mirip rakan mereka yang telah mati terlebih dahulu sebentar tadi.
Sofea hanya melirikkan anak matanya ke bawah memandang jasad-jasad kaku yang bergelimpangan di permukaan tanah. Lirikan mata anak gadis tersebut kelihatan mengerunkan.
"Practice makes it perfect, right?"
Ucap Sofea lembut seraya menoleh ke sisi lalu tersengih manja ke arah lembaga yang setia menemaninya sedari tadi. Kelihatan susuk tubuh wanita berambut hitam panjang yang pucat lesi. Kelopak mata dan mulut wanita misteri itu terjahit kemas dengan benang hitam tebal. Dia hanya berdiri tak berkutik disebalik langsir nipis yang beralunan lembut dihembus sang bayu pagi.
Sofea masih galak memandang teman barunya itu. Senyuman manis singgah dibibir anak gadis tersebut.
Seminggu yang lalu...
Sebaik sampai di perkarangan perkuburan yang salah satunya menempatkan jasad seorang wanita yang amat dikasihinya suatu masa dahulu, langkah kaki anak gadis tersebut dipercepatkan. Beberapa langkah menghampiri tempat bersemadinya jasad ibunya, kelihatan sepasang batu nisan yang terpacak pada sebukit kecil tanah yang masih merah. Sofea melangkah longlai menghampirinya lalu terduduk melabuhkan punggung pada bumi.
Perkuburan itu sunyi pada petang tersebut. Seketika Sofea hanya memandang tak berkelip pada nama arwah ibunya yang terukir pada batu nisan tersebut. Jiwanya terasa kosong. Terasa dirinya dikhianati kerana ditinggalkan insan yang teramat dirinduinya saat itu.
Sedetik kemudian, bahu anak gadis tersebut terhinjut - hinjut menahan tangisan yang bersarang di dada. Akhirnya berderaian jatuh titik titik air jernih dari kolam mata anak gadis tersebut. Sofea meratap sayu akan pemergian ibunya yang telah menghasilkan satu ruang kosong yang dipenuhi akan kerinduan yang tak mungkin terubat dek masa mahupun kehadiran insan lain.
Tangan gadis itu dibenam pada permukaan kubur lantas mengengam erat tanah. Esak tangisannya semakin kuat. Terdetik dihatinya ingin mati sahaja dan terus berada disamping arwah ibunya ketika itu. Perasaan sedih yang meluap-luap dan kemarahan yang membuak bercampur aduk menghasilkan kondisi kurang stabil pada jiwa anak gadis itu.
Pada saat itu, dirinya telahpun terjatuh pada juram yang paling dalam, jauh dilubuk hatinya yang sedang diseliputi api kemarahan yang menyala-nyala. Di kejauhan sayup - sayup kedengaran salakkan anjing liar yang melolong panjang.
Sejenak pandangan mata Sofea kabur kerana dipenuhi air mata yang berkaca - kaca. Menyedari akan kehadiran seseorang dihadapannya, Sofea lekas- lekas menyapu air mata dengan belakang tapak tangannya.
Sofea hanya mampu terkaku malah kelu lidahnya apabila menyedari lembaga dihadapannya ketika itu bukanlah manusia seperti yang dijangkanya awal tadi. Mata Sofea terbeliak besar apabila memandang keadaan mulut dan kelopak mata yang terjahit rapat milik wanita misteri berkulit putih pucat serupa mayat berdiri tegak dihadapannya kala itu.
"Aku..kau...satu.."
Tubuh Sofea mengigil setelah mendengar suara berupa bisikan yang singgah dicuping telinganya.
"Jangan risau..."
"Aku jaga kau.."
"Kau... jaga aku...."
"Sehidup.... sematii...."
"Itu.. janjinya..."
Setelah bisikan tersebut didengari Sofea, wanita tersebut senyum menyeringai hingga menampakan rekahan dari luka jahitan benang hitam dibibirnya yang membiru.
Sejurus kemudian deruan angin dingin menghembus kuat membalut tubuh Sofea, memberi sensasi yang menyamankan. Kelihatan bayangan ibunya berdiri dibelakang wanita tersebut tersenyum dan mendepakan tangannya pada Sofea.
Kerinduan mencengkam jiwanya. Dada Sofea berdebar-debar. Adrealin mengepam hingga ke jantungnya. Itu ibu yang dikasihi dan dirinduinya. Ibunya terzahir dihadapan matanya saat ini.
Ketakutan kini terbang jauh dari jiwanya. Sofea akhirnya mengukir senyuman dan menganggukkan kepalanya perlahan.
Sofea angkat dari duduknya lantas melangkah mendekati jelmaan arwah ibunya yang masih setia mendepakan kedua - dua tangan. Air matanya jatuh membelah pipi yang comot akan olesan tanah kubur sebentar tadi. Sofea akhirnya berlari dan menjatuhkan diri dalam dakapan susuk tubuh yang disangka ibu tercintanya itu. Dia membenamkan wajahnya pada dada wanita tersebut lantas mendakap lebih erat.
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
Petang kian senja. Sofea melangkah keluar dari perkarangan kuburan. Pandangan matanya kosong. Tubuhnya terasa amat lesu. Langkah kakinya longlai.
Namun, Sofea tahu dirinya bukan lagi berseorangan kini.
YOU ARE READING
SOFEA
HorrorSofea . Gadis berusia 15 tahun yang dipulaukan segelintir masyarakat disekelilingnya kerana statusnya sebagai anak seorang perempuan simpanan . Kehidupan seorang pelajar yang dibuli dan akhirnya tragedi tercetus apabila pembulian tersebut semakin me...