Nina mengeluh seraya mendaki anak tangga ke tingkat tiga menuju ke bilik kelas. Kaki nya terasa sejuk. Sesal tak sudah apabila kasutnya kini terasa berat bila melangkah. Baru sebentar tadi dia terpijak lopak air yang bergenang di hadapan pagar masuk sekolah. Mukanya masam mencuka dan muncung panjang sedepa.
Jam tangan menunjukkan tepat 6:45 pagi. Nina yang baru hendak melangkah masuk ke kelas terbejat langkahnya. Matanya bersinar dan bibir nya menguntum senyum ceria. Sofea hadir ke kelas hari ini dan sedang duduk melakar sesuatu di dalam buku lukisan di mejanya. Lantas anak gadis itu mendapatkan rakannya itu.
"Assalamualaikum, kawan."
Nina tergelak kecil dan mencuit bahu Sofea. Namun Sofea hanya tersenyum riang lalu bingkas bangun dan merangkul Nina dengan erat.
"Aww.. ingatkan kita sorang je rindu kat dia." Nina mencebik.
Sofea tetap dengan senyuman manis yang tak lekang dari bibir mungilnya. Nina agak kehairanan apabila rakannya itu tidak berkata sepatah pun dari tadi namun cuba untuk tidak mengendahkannya.
"Sofea, seminggu awak tak hadir ke sekolah, boleh tahan banyak jugak latihan minda yang cikgu bagi."
Sofea sekadar mengangguk.
Nina mengeluh kecil. Mungkin belum tiba masanya untuk mengajak Sofea berbual seperti sebelum ini. Kejadian rakanya itu dibuli Jamilah beberapa hari lepas masih segar di ingatan. Nina akhirnya mengeluarkan beberapa buku tulis dan buku teks ke atas meja nya. Sedang dia ralit mengeluarkan beberapa lagi utensil pembelajaran, Sofea akhirnya bersuara.
"Nampaknya nak hujan kejap lagi."
"Hujan amendenya. Kan ke cerah cuaca pagi nih."
Balas Nina seraya memandang ke arah tingkap bilik kelas. Langit cerah kebiruan menunjukan tiada tanda akan turunnya hujan.
Seketika Nina tergamam. Pupil matanya membesar. Memang benar seperti yang diungkapkan Sofea sebentar tadi. Sebujur tubuh berpakaian lengkap seragam sekolah meluncur jatuh dari tingkat atas bangunan kelas mereka melintasi tingkap dihadapan matanya kala ini. Disusuli beberapa orang lagi remaja perempuan jatuh menjunam ke lantai simen di aras bawah. Hujan manusia. Bumi dibasahi darah pekat yang membuak- buak keluar dari rekahan tulang tengkorak.
Beberapa pelajar lelaki yang baru melangkah masuk ke dalam kelas bergegas ke tingkap dan menjenguk ke bawah apabila terdengar jeritan histeria para pelajar yang kebetulan menyaksikan kejadian ngeri di aras bawah. Kelihatan kolam darah terbentuk perlahan disekeliling jasad manusia yang bergelimpangan. Cebisan otak berkecaian di merata tempat. Seorang pegawal keselamatan dan tiga orang guru lelaki bergegas menghampiri tempat kejadian setelah dimaklumkan oleh beberapa orang pelajar. Seorang daripada mereka bertindak menghubungi balai polis cawangaan Gita yang berhampiran. Manakala mereka yang lain memberi larangan keras pada pelajar lain agar tidak mendekati dan menyentuh mangsa bunuh diri.
Kelihatan beberapa pelajar yang tetap berdegil dan menjenguk- jenguk, malah secara sembunyi merakam gambar kejadian ngeri tersebut dengan telefon pintar. Sekumpulan pelajar perempuan mengerumuni saksi kejadian yang menangis teresak esak dan cuba memujuknya agar bertenang.
Nina tidak bergerak seinci pun dari tempat duduknya walaupun keadaan huru hara di tingkat bawah. Matanya terbeliak dan terpaku pada Sofea. Tangannya terketar ketar diangkat perlahan dan menutupi mulutnya. Sungguh Nina tidak percaya akan apa yang baru berlaku sebentar tadi.
Sofea hanya memandang ke hadapan. Wajahnya mendung tanpa sebarang ekspresi. Tangannya masih erat mengenggam pensil mekanikal.
"Sofea.. "
Bibir Nina bergetar apabila memanggil nama rakannya itu. Sofea menoleh ke arahnya perlahan. Segarit senyuman merekah pada wajah polos anak gadis itu.
"Hmm?"
Pandangan mata mereka bertembung. Kelihatan air mata bertakung di kolam mata Nina. Sofea menghulurkan tangannya dan mengusap lembut pipi Nina.
"Hey. Kenapa ni?"Sofea seperti tidak mengerti kejadian yang baru berlaku. Wajahnya nyata tampak kehairanan.
"Apa yang baru berlaku tadi.?"
Suara Nina kedengaran bergetar. Sofea hanya membalas pertanyaan kawannya dengan senyuman. Senyuman tersebut perlahan lahan mati. Pandangan Nina menjadi kabur dan akhirnya dia jatuh tidak sedarkan diri.
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
Setengah jam sebelumnya..
Sofea baru melabuhkan punggung ke kerusi duduknya dalam bilik kelas. Dia tiba agak awal ke sekolah pagi ini setelah dihantar sendiri oleh ayahnya. Dato' Jamal perlu segera ke pejabat pagi ini dan kesempatan itu digunakannya dengan meluang sedikit waktu dengan menghantar Sofea ke sekolah. Afran dan Mira pula masih berlengah di rumah dan akan dihantar oleh pak Yunus kemudian.
Pagi masih terlalu awal. Keadaan tidaklah terlalu gelap. Sofea menikmati keadaan bilik kelas yang samar - samar seorang diri. Dia yang paling awal hadir ke kelas hari ini. Aneh namun sepi yang membungkam memberi sensasi ketenangan dalam jiwanya.
Suis lampu bilik kelas ditekan dan sesaat kemudian bilik itu dilimpahi cahaya. Dahi Sofea berkerut menahan silau dimatanya. Kelihatan sekumpulan empat pelajar perempuan yang tidak dikenali menghampirinya. Sofea cuba untuk mengingati siapa mereka namun gagal. Wajah mereka kelihatan bengis dan angkuh.
"Hai anak jalang."
Salah seorang daripada mereka memulakan bicara. Senyuman mengejek menghiasi setiap wajah mereka. Ungkapan 'anak jalang' itu terasa seperti libasan cemeti di jantungnya. Sofea hanya memandang penuh benci pada kumpulan manusia dihadapannya.
"Eh, melawan ye?!"
"Korang nak apa sebenarnya. Asal usul aku bukan masalah korang."
Pelajar yang bertindak sebagai ketua itu Azza, terus meluru pada Sofea lalu merentap kasar rambut gadis tersebut. Sofea merintih kesakitan. Matanya terbeliak bengis menikam ke dalam anak mata Sofea.
"Disebabkan oleh anak haram macam kau ni lah kawan kitorang kena hukum dan digantung sekolah."
Setelah menghabiskan kata-katanya, Azza bertindak menolak kasar Sofea hingga jatuh tersembam pada lantai bilik kelas. Rakannya yang lain serentak tergelak sakan menyaksikan tindakan Azza. Bagi mereka, tindakan Azza adalah sebagai menuntut bela bagi Jamilah dan ahli kumpulan mereka yang lain.
Bahu kanannya terasa sakit apabila terjatuh dan berlaga pada lantai kelas sebentar tadi. Sofea akhirnya tahu bahawa mereka, si kumpulan pembuli ini datang untuk membalas dendam buat Jamilah dan kawan mereka yang lain.
Sinar matanya berubah. Sofea memandang wajah setiap pelajar dihadapannya lantas ekspresi wajah nya berubah ceria. Senyuman manis mekar di wajahnya seraya berkata:
"Korang nak tak pergi tengok matahari pagi ni terbit kejap lagi. Kalau tengok dari tingkat 4 kat atas tu lagi best."
Mereka berempat berdiri kaku. Kelihatan mata mereka terbeliak besar memandang ke atas. Urat mata tampak memerah. Sofea perlahan bangun dan berdiri sambil mengusap lembut bahunya yang terasa lebam.
"Naik lah ke atas cepat. Nanti terlepas tengok matahari terbit pulak." Pujuk Sofea dengan lembut.
Mereka berempat, diketuai Azza mula berjalan melintasi koridor bilik kelas dengan patuh kemudian memanjat naik anak tangga ke tingkat atas. Suasana kembali sunyi. Sofea hanya membiarkan sahaja suis lampu bilik kelas terbuka dan duduk kembali ke kerusinya. Wanita misteri itu menjelma lalu memeluk Sofea dengan erat.
"Jahat betul diorang kat Sofea, kan Ma?"
YOU ARE READING
SOFEA
HorrorSofea . Gadis berusia 15 tahun yang dipulaukan segelintir masyarakat disekelilingnya kerana statusnya sebagai anak seorang perempuan simpanan . Kehidupan seorang pelajar yang dibuli dan akhirnya tragedi tercetus apabila pembulian tersebut semakin me...