"Assalamualaikum..."
"Waalaikumussalam. Ah, Abang A'im!" ujar adikku dengan wajah gembira sebaik saja melihat aku melangkah kaki memasuki wad itu. Aku tersenyum sebelum menutup pintu bilik itu kembali lalu pergi mendekati kanak-kanak tersebut. Dia yang sedang terbaring di atas katil bersandarkan bantal di belakang tubuhnya terus meletakkan buku yang sedang dibaca ke tepi. Aku meletakkan bakul buah-buahan yang aku bawa bersama dari rumah di atas rak bersebelahan dengan katil Jiha sebelum duduk di kerusi yang disediakan.
"Abang A'im ada bawa buah-buahan untuk Jiha. Nak makan? Boleh Abang A'im kupaskan."
"Uahh!! Ada buah epal! Nak ni! Nak ni!"
"Ok. Abang A'im pergi basuh sekejap."
"Cepat sikit! Dah lama Jiha tak makan buah epal ni!"
"Yelah...banyak bercakap pula budak ni."
"Hei! Biarlah! Lagipun bukan selalu Jiha dapat buli Abang A'im, he, he...""Jadi itu yang kau fikir ye..." Aku mengeluh kecil sebelum tersenyum memandang Jiha. Dia masih Aimi Najihah yang sama seperti dulu. Cuma rambut je lah dah panjang sikit, bertocang satu di belakang. Dah tak nampak macam tomboy seperti sebelumnya. Walaupun sudah empat tahun Jiha terpaksa hidup di dalam sangkar konkrit ini, tapi dia tetap ceria seperti dahulu. Itulah Jiha, adikku. Betapa kuatnya semangat kau untuk menempuhi semua ini, Jiha... Abang A'im berbangga denganmu.
Ketika aku pergi ke sinki berdekatan untuk membasuh dan mengupas epal yang diinginkan Jiha, aku termenung seketika. Sudah empat tahun kami sekeluarga berpindah ke bandar ini. Selepas beberapa bulan Jiha dimasukkan ke sini, Dr. Naim, doktor yang ditugaskan untuk merawat Jiha di sini mengesyorkan kami untuk melakukan rawatan angioplasty berbanding CABG (pembedahan pintasan jantung) memandangkan risiko CABG sangat besar. Malah, kos pembedahannya juga lebih mahal iaitu RM60,000 berbanding angioplasty yang hanya sekitar RM30,000. Walaubagaimanapun, itu bukanlah satu masalah untuk kami kerana tidak kiralah apa pilihan kami, kos rawatan untuk kedua-duanya akan ditanggung oleh kerajaan. Tetapi, faktor umur Jiha menjadi sebab utama kenapa kami digalakkan memilih angioplasty.
Penyakit jantung koronari jarang berlaku kepada kanak-kanak. Namun, dalam kes Jiha, kemungkinan besar ia berpunca daripada sejarah keluarga kami iaitu bapa saudaraku yang pernah diserang penyakit ini ketika berusia 30-an. Alhamdulillah, berkat teknologi yang semakin berkembang di negara kita ketika itu membolehkan dia menjalani CABG di Institut Jantung Negara dan pembedahan itu berjaya. Sehingga kini, adik kepada ayahku yang membiasakan diri dengan gelaran 'Paksu' di hadapan anak-anak buahnya masih sihat dan sedang menjalani kehidupan seperti biasa bersama-sama isteri dan anak-anaknya.
Selepas menjalani angioplasty, aku anggap masalah Jiha sudah selesai. Berada dalam tempoh pemerhatian pihak hospital untuk beberapa bulan selepas itu, aku sendiri melihat bagaimana Jiha teruja untuk pulang ke rumah. Betapa dia tidak sabar untuk masuk ke alam persekolahan dan mencipta kawan baru. Akan tetapi, penyakitnya mula menyerang kembali tidak lama kemudian. Kali ini, saluran lain di dalam jantung Jiha pula yang tersumbat. Oleh kerana Jiha masih lagi baru menjalani angioplasty pertama, Dr. Naim membuat keputusan untuk tidak melakukan angioplasty kedua dalam masa terdekat, sebaliknya menanti sehingga setahun lebih untuk itu. Kekecewaan jelas terpapar pada wajah Jiha kerana hal itu bermaksud dia perlu terus tinggal di hospital. Dan sehinggalah dia berusia hampir 9 tahun, barulah angioplasty yang kedua dilakukan.
Rawatan yang kedua ini kelihatan seperti penyelesaian yang terakhir untuk Jiha kerana akhirnya dia berjaya keluar dari hospital dan kembali ke rumah seperti sebelumnya. Namun, ibu dan ayah tidak membenarkannya untuk ke sekolah dalam masa terdekat agar dapat memastikan kesihatannya benar-benar telah sembuh. Dalam tempoh itu, aku berusaha untuk membahagikan masaku untuk menjaga Jiha dan belajar. Aku juga tidak lagi dapat meluangkan masa di rumah Hamzah dan Puteri seperti dulu. Sebenarnya, aku tidak pernah menceritakan mengenai Nini kepada Jiha sehinggalah satu hari, segala rahsia terbongkar.
YOU ARE READING
Saya Benci Cikgu! [COMPLETE]
HumorPuteri Hanis Awanis. Selama beberapa tahun ini, dia hidup tenang seperti remaja-remaja lain. Namun, kedatangan seorang lelaki yang menjadi guru praktikal baru di kelasnya mengembalikan semula kenangan pahit yang selama ini dipendam. Aiman Najman. Di...