Bab 1

3.1K 42 1
                                    

Ellisa tersenyum lebar. Kelilingnya diperhatikan dengan penuh asyik. Setiap detik dan pemandangan yang dilihat mahu diukirkan dan disemadikan selamanya dalam minda. Suasana lapangan terbang pada malam itu agak sesak. Walaupun begitu, hati dia terasa lapang. Mindanya menyanyikan lagu-lagu riang. Sudah agak lama dia tidak berasa seronok. Sejak dirinya dibuang kerja dua minggu lalu, mindanya semakin celaru.

Namun, runsing mindanya bukan disebabkan dia dipecat tetapi disebabkan orang-orang di sekitarnya yang membesar-besarkan hal itu. Sejujurnya, dia tidak menyesal dibuang kerja. Pekerjaan itu memang kurang sesuai dengan dirinya.

Bunyi muzik Pachelbel Canon yang sangat dikenalinya membuatkan langkahnya terhenti. Telefon bimbit yang sedang berdering di tangannya ditilik lagi. ID pemanggil yang tertera di skrin telefon pintarnya direnung sekilas sebelum butang merah disentuh tanpa ragu. Perasaan girangnya tidak rela dia lesapkan dengan menjawab panggilan itu.

Bibirnya menguntumkan seulas senyuman sinis. Dia cukup arif dengan perangai si pemanggil, Wan Jamsiah. Selagi tidak dijawab panggilannya, selagi itu dia akan terus menelefon. Wan Jamsiah memang degil tetapi Ellisa juga tidak mahu kalah. Sengaja dia menolak panggilan daripada neneknya sebagai tanda dia tidak mahu bercakap dengan orang tua itu. Berkali-kali Wan Jamsiah menelefon, setiap kali itu juga dia menolak. Anggaplah dia biadab, dia sudah tidak peduli. Jauh di sudut hati, dia berharap neneknya akan berasa sakit hati sepertimana orang tua itu sering menyakitkan hatinya.

Ellisa memandang ke luar tingkap besar di balai berlepas yang menayangkan landasan tempat kapal terbang berlepas. Terdapat juga beberapa buah kapal terbang terparkir kaku di situ. Sesekali dia mengerling ke arah adiknya yang sedang menjawab panggilan telefon.

"Ellisa, wan nak cakap dengan kau." Tiba-tiba adiknya, Naqiya menyapa. Wajahnya menpamerkan reaksi yang kurang enak. Telefon bimbit miliknya disuakan ke Ellisa.

Ellisa separa mengeluh. Sememangnya dia terlepas pandang. Ingatkan Wan Jamsiah sudah berputus asa. Rupanya, adiknya pula yang dia hubungi.

Tak teringat pula dia mahu memberi amaran kepada Naqiya untuk tidak menjawab sebarang panggilan daripada nenek mereka. Wan Jamsiah pasti akan mencarinya sehingga ke lubang cacing. Jadi, tidak hairanlah orang tua itu menelefon Naqiya pula setelah berkali-kali Ellisa menolak panggilannya.

Orang tua tu tak faham ke aku tak nak cakap dengan dia? gerutu Ellisa dalam hati. Perbuatan mudahnya menolak panggilan berkali-kali nyata tidak difahami Wan Jamsiah. Tapi, kalau difahami sekalipun, nama nak mengalah tidak pernah wujud dalam kamus hidup Wan Jamsiah.

Ellisa mencapai telefon bimbit dari tangan Naqiya. Butang merah serta-merta dipicit, menamatkan talian. Telefon itu dicampakkan ke atas riba Naqiya yang sedang duduk di salah sebuah kerusi yang disediakan di balai berlepas itu. Naqiya melemparkan pandangannya ke arah Ellisa sambil terlopong. Ellisa cuma menjongketkan bahu.

"Did you just hang up on her?" soal Naqiya dalam nada tidak percaya. Bagaimanapun, terselit secebis kepuasan di celah nada itu.

Telefonnya diangkat ke paras muka. Pandangannya silih berganti dari alat itu ke wajah Ellisa dan ke alat itu lagi seolah-olah terpampang wajah Wan Jamsiah di telefonnya. Naqiya memaksa diri agar tidak tersenyum. Dia mula tertanya-tanya di mana Ellisa mendapat keberanian sedemikian rupa. Tiada sesiapa dalam keluarga mereka yang mempunyai keupayaan untuk bertindak begitu terhadap ahli keluarga yang paling tua, Wan Jamsiah.

"Get over it. Tak ada siapa yang larat layan perangai wan lama-lama." Selamba Ellisa menjawab.

Tangannya mencapai semula telefon Naqiya lalu alat itu dipadamkan. Telefon dikembalikan ke tangan Naqiya sebelum dia mematikan telefon pintarnya sendiri. Tidak larat rasanya untuk menyentuh butang merah sekiranya Wan Jamsiah memanggil lagi. Lagipun, tinggal sedikit masa sahaja lagi sebelum mereka akan menaiki kapal terbang ke Rom, Itali.

Percaturan HatiWhere stories live. Discover now