Bab 15

1.1K 31 2
                                    

Cermin besar yang tergantung di ruang makan dilapnya dengan penuh cermat. Buat seketika, tangannya berhenti mengelap apabila dia terpandangkan imej dirinya di dalam cermin. Kulitnya nan cerah, matanya bundar, pipinya berisi dan rambut hitamnya ikal mayang. Bukan mahu memuji diri, tetapi dia akui, dirinya juga ada serinya. Abangnya pernah menggelarnya Dolly Dearest kerana rautnya yang seperti anak patung tetapi dia cukup tidak sukakan gelaran itu. Siapa yang suka apabila disamakan dengan watak anak patung pembunuh dari filem seram Dolly Dearest?

Dia tersenyum sendiri. Sudah lama rasanya dia tidak memerhatikan wajahnya dengan sebegini teliti. Mulai hari ini, raut wajah itu akan lenyap dari mata dunia, terkurung di penjara milik Wan Jamsiah. Ellisa tertawa kecil dengan angannya. Untuk kali yang entah keberapa, dia mengingatkan diri untuk kekal tabah.

"Apa kau senyum-senyum depan cermin? Ingat muka tu cantik sangat? Pergi bagi Polo makan. Mati kelaparan kucing aku tu karang," perintah Wan Jamsiah di sebalik senaskhah surat khabar. Ellisa dia renung dengan tajam menembusi cermin matanya yang berkanta kecil.

Ellisa mengangguk tanda faham. Spontan, tangannya mula mengelap cermin dengan pantas dan penuh fokus. Meskipun gerakannya disegerakan, setiap inci cermin dia pastikan bersih. Niatnya adalah untuk menyempurnakan kerjanya sebaik mungkin sebelum beralih ke tugasan yang lain.

"Pergilah bagi Polo makan dulu. Cermin tu tak mati kalau tak bersih," tegur Wan Jamsiah tanpa memandang ke arah cucunya.

Eleh, macamlah kucing boroi tak berbulu tu mati kalau lambat bagi makan seminit dua! Spontan Ellisa menggerutu dalam hati.

Ellisa hampir mengeluh. Namun, dia patuh. Kain lap yang digunakan diletakkan ke dalam sebuah bekas yang ditempatkan di atas meja makan yang dibawanya sewaktu memulakan kerja mengelap. Tanpa membuang masa, dia terus menuju ke dapur untuk mengambil makanan kucing. Setelah makanan disediakan, Ellisa ke belakang rumah di mana Polo ditempatkan.

Nampak sahaja kelibat Ellisa, kucing bogel jenis Sphynx yang dihadiahkan oleh Mak Nah itu terus mengiau, mengeluarkan bunyi amaran agar tidak datang mendekatinya. Semakin Ellisa menghampiri, semakin kuat Polo berbunyi. Ellisa mencebik. Sangkar yang mengurung Polo dia buka dengan kasar. Puas hatinya melihat Polo terkejut dengan gegaran yang dia buat.

Mangkuk makanan Polo dia letakkan tanpa cermat lalu pintu sangkar ditutup. Dia duduk memandang Polo yang serta-merta menyerang makanan, melahap dengan penuh berselera. Sebelum Polo menghabiskan juadahnya, Ellisa tidak dibenarkan ke mana-mana. Itu peraturan rumah yang telah ditetapkan Wan Jamsiah.

"Kau Polo, jangan kerek dengan aku. Kau ingat kau bogel, kau seksi habis? Dahlah gemuk. Kalau gemuk, gebu macam kucing nama Maru tu, berkenan juga aku. Nak juga aku rakam kau masuk YouTube. Ini tidak. Perangai pun serupa aje macam tuan kau. Dengan aku aje garang. Pilih bulu. Sedar sikit kau tu tak ada bulu." Ellisa membebel sendirian.

"Hai, Ell!" Tiba-tiba suara seorang wanita menegurnya dari belakang. Ellisa terus bingkas dari duduknya akibat terkejut. Wanita yang baru menegurnya dia tenung dari atas ke bawah dan kembali ke atas.

"Hei, Posh." Ellisa menjawab sapaan Posh dengan senyuman teragak-agak.

Posh mengangkat kaca mata hitam yang dipakainya ke atas kepala, menampakkan matanya yang penuh dengan pembayang mata warna kekelabuan serta celak hitam yang tebal. Anak matanya berwarna biru, terima kasih kepada khidmat kanta lekap kosmetik jenama Freshlook. Bibirnya pula diwarnakan dengan gincu merah jambu. Rambutnya yang panjang di paras siku lagi diluruskan berwarna blonde, namun ia nampak sesuai dengan kulit Posh yang sederhana cerahnya.

Ditambah lagi dengan penggayaan gaun lengan pendek paras keting dari Alexander McQueen, beg tangan Prada, dan gelang tangan manik dari Pandora, penampilannya tidak ubah seperti seorang model antarabangsa. Sayang, nama sebenarnya Poziah.

Percaturan HatiWhere stories live. Discover now