"Apa khabar kau sekarang?" Serius suara Naqiya bertanya di hujung talian selepas mengucapkan sebaris ucapan salam.
"Sihat. Kau?" Sepatah sahaja jawapan Ellisa.
Dia yang baru sahaja selesai mencuci lantai melabuhkan punggung di kaunter singki bilik air untuk berehat. Kebetulan waktu dia sedang bersendirian itu, Naqiya menelefon sekadar bertanya khabar. Mujur Naqiya menghubungi ketika dia sedang di dalam bilik air. Jika tidak, dia pasti tidak berani menjawab panggilan itu.
"Dah dua bulan kau tinggal dekat situ. Apa aje kerja kau?"
"Kerja aku? Aku jadi orang gaji tak bergaji. Aku tinggal dalam bilik pembantu rumah. Setiap hari lepas solat subuh, aku kena sapu sampah, mop lantai, siram pokok bunga, sidai baju, basuh baju, gosok baju, masak, basuh bilik air, lap pasu... Semualah."
"Nak buat macam mana, kan? Kata kena hukum... tapi, nasib baik dia ada pembantu rumah lagi seorang. Tak adalah kau penat sangat," ujar Naqiya, cuba menyedapkan hati Ellisa.
"Mana ada. Orang tu dah lari dah. Aku buat kerja sorang-sorang."
"Lari lagi? Orang gaji wan semuanya kuat berlari. Pengaruh Running Man ke? Tapi, okeylah. It wasn't that bad. Bukannya dia tak bagi kau makan ke apa, kan?"
"Memanglah. Tapi, cerita dia macam ni. Dia kata, aku hanya akan dilepaskan kalau waktu aku bekerja ni dapat membayar balik nilai emas dia. Sehari aku kerja... Tolak makan, minum dan tempat tinggal, dia kira sepuluh ringgit."
"Sepuluh ringgit aje? Tak masuk akal!"
"Yep. Sepuluh ringgit."
"Baik kau cari kerja dekat luar. Dapat gaji bayar aje balik dekat dia. Kurang-kurang tak adalah sepuluh ringgit sehari aje kau dapat."
"Itulah, aku dah cakap dekat dia. Tapi, dia kata bukan setakat nilai emas tu yang berharga untuk dia. Dia kata sentimental value emas tu lebih berharga. Dan dia kata lagi, kalau ikutkan... Apa yang aku dapat ni pun tak setimpal dengan apa yang aku dah buat pada dia. Pada dia, sepuluh ringgit sehari tu dah habis lumayan."
"Wow, she sounds really devastated."
"Yeah. Banyak kali dia cakap dekat aku keajaiban, aje yang mampu memulangkan balik emas kuda dia tu. Sekarang pun dia tak habis lagi meroyan pasal emas dia tu."
"Meroyan sangat tu, entah-entah memang kau kutip emas yang tulen daripada enam belas keping emas yang dia ada," ujar Naqiya separuh ketawa.
"Itulah. Aku pun rasa macam tu. Dia anggarkan emas dia tu berharga sampai seratus ribu termasuk nilai sentimental dan nilai rare collection dia kononnya. Padahal emas macam tu paling mahal pun sepuluh ribu nilainya."
"Seratus ribu? Bayangkan berapa hari kau kena kerja dengan dia dengan gaji sepuluh ringgit sehari."
"Aku dah kira dah. Sepuluh ribu hari. Lebih kurang 27 tahun... Dia memang nak simpan aku sampai dia mati agaknya."
"Nanti esok-esok bila dia dah hilang meroyan dia tu, dia bagilah kau balik rumah," pujuk Naqiya.
"Harap-harap macam itulah," ujar Ellisa penuh pengharapan.
Keseronokannya bersembang dengan Naqiya tergendala seketika tatkala telinganya menangkap bunyi loceng dari luar rumah. Ellisa cepat-cepat menerjah keluar dari bilik air. Langkahnya laju menuju ke pintu hadapan. Dari mesin interkom, dia dapat melihat kelibat seorang lelaki muda tidak dikenalinya. Ellisa mengerutkan dahi. Siapa pula tu? Orang asing jarang berkunjung ke rumah Wan Jamsiah. Biasanya yang datang cuma anak-anak Wan Jamsiah sahaja.
Salesman kut. Ellisa membuat andaian. Dia cuba menolak kehadiran lelaki yang dianggap jurujual itu namun dia tidak arif bagaimana menggunakan mesin interkom yang terlalu moden. Beberapa kali juga dia bercakap-cakap seorang diri di hadapan alat itu sebelum dia berputus asa.

YOU ARE READING
Percaturan Hati
RomanceTajuk: Percaturan Hati Penulis: Freezia Muka Surat: 528 Terbitan: Ogos Penerbitan: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-31-0 Harga: RM22.00 (Semenanjung) // RM25.00 (Sabah & Sarawak)