Bab 6

1K 18 0
                                    

Ellisa merenung kosong skrin telefon bimbitnya yang tertera sebaris nombor sambil berbaring di katilnya. Lama dia memandang tanpa berbuat apa-apa sehingga akhirnya skrin telefon menjadi gelap. Salah satu butang ditekan untuk menghidupkan kembali skrin. Sudah entah berapa kali dia berbuat demikian namun mindanya masih tidak dapat mengukuhkan kata putus.

Dalam banyak-banyak butang pada telefon, butang berwarna hijau sahaja yang dia tidak berani tekan. Jauh di sudut hati, dia meragui tindakannya. Apalah rupanya meminta sesuatu yang bukan pun miliknya daripada seseorang yang tidak kenali? Lainlah sekiranya Mr. Devereux itu memang kenalannya seperti yang dituduh Wan Jamsiah. Ellisa melepaskan satu keluhan berat.

Tidak sangka kali ini dia akan menghadapi dugaan seorang diri. Dari segi mental dan fizikal, dia berseorangan. Wan Jamsiah baru sahaja bertolak ke Perth, Australia semalam, melancong bersama keluarga Mak Nah. Ketiadaan neneknya tidak membuahkan walau secebis kegembiraan kerana dia telah diberi amaran keras untuk mendapatkan semula syiling emas kuda itu sebelum Wan Jamsiah pulang dalam masa dua minggu.

Naqiya dan emaknya pula sedang berada di kampung sekarang, melawat saudara emak yang sedang sakit dan memerlukan orang untuk menjaganya. Di sana, jaringan telekomunikasi tidak berapa baik, menyukarkan mereka untuk berhubung. Maka secara rohaninya, Ellisa tiada tempat untuk mengadu.

Aku ni macam watak dalam cerita dongeng. Kalau Princess Fiona dalam cerita Shrek tu kena kurung dengan naga sebagai mak guard, Belle jadi tawanan Beast, Cinderella jadi hamba keluarga tirinya, Rapunzel kena kurung dengan emak angkat... Ellisa apa pula? Ellisa mula berseloroh dengan diri sendiri.

Ellisa mangsa Jamsiah-stiltskin sebab buat kesalahan mencuri. Dia menjawab dalam hati, mengingatkan diri bahawa kesalahannya sendiri yang mengakibatkan kesusahan itu.

Ellisa memejamkan mata. Nampaknya, dia memang tiada pilihan. Sejak kedatangan lelaki Perancis itu beberapa hari lalu, Wan Jamsiah telah menghukumnya lagi. Kata Wan Jamsiah, selagi emas itu tidak dituntut, gaji Ellisa yang sebanyak sepuluh ringgit sehari itu tidak akan dikira. Ini bermakna, semakin lama Ellisa menangguh, semakin lama dia akan diabdikan oleh Wan Jamsiah kerana hari-hari yang dilalui tidak berbayar.

Dia menggigit bibir. Dengan kekuatan yang ada dan jantung yang berdegup kencang tak semena-mena, dia akhirnya menekan butang hijau. Alat itu dilekapkan ke telinga dengan berhati-hati seolah-olah ia akan meletup jika tersalah letak. Bunyi deringan diperdengarkan. Separuh hatinya mengharapkan jawapan yang tiada di hujung talian.

"Hello." Tenang sahaja suara lelaki yang menyambutnya di hujung talian.

Seketika, jantung Ellisa berhenti berdegup. Entah apa yang dia gentarkan sangat, dia tidak pasti. Mahu kata dia terpikat pandang pertama terhadap Mr. Devereux, muka orang itupun dia tidak cam lagi.

"Hello... Mr. Devereux?"

"Yes."

"It's me, Ellisa. Can we arrange for a meeting?" luah Ellisa secara berterus terang. Perasaan gementar yang dirasakan berjaya dikawal. Entah ayat pendahuluan bicara itu sesuai atau tidak, Ellisa tidak peduli. Dia bukannya seorang yang arif berkata-kata. Yang penting, dia tahu orang di hujung talian itu mengenali dirinya.

"Oh, Ellisa... It's about time. Nak jumpa dekat mana?" Ellisa dapat merasakan senyuman di sebalik suara yang menyoal itu.

Beberapa minit mereka bertukar bicara, akhirnya keadaan mengizinkan Ellisa untuk menamatkan talian. Nafasnya yang ditahan-tahan sepanjang perbualan singkat tadi membuatkannya melepaskan satu keluhan panjang.

Pandai pula dia cakap Melayu! komen Ellisa dalam hati. Dia bingkas dari perbaringan. Tuala yang tersidai di ampaian diraih lalu tanpa berlengah, dia mara ke bilik air.

Percaturan HatiWhere stories live. Discover now