Kakinya terasa amat berat tatkala dia mengayunkan langkah menaiki tangga untuk menuju ke tingkat atas kediaman Puan Dahlia. Mindanya padat dengan pelbagai permasalahan yang memerlukan penyelesaian segera. Jiwanya yang sebelum ini tenang tiba-tiba sahaja merasa sangat terganggu. Segalanya berlaku sejak Puan Dahlia menerima panggilan daripada Wan Jamsiah pagi tadi.
Apabila emaknya mengkhabarkan tentang panggilan itu, Ellisa terus menjadi tidak keruan. Sedar tidak sedar, sudah hampir tiga bulan rupanya dia meninggalkan rumah neneknya. Dalam tempoh itu, tiada apa-apa perkembangan yang dia lakukan terhadap usahanya untuk mendapatkan kembali emas Wan Jamsiah. Boleh dikatakan dia terlupa. Dia cuma ingat untuk membuat perubahan pada hidupnya dengan mencari kerja.
Mujur dia tidak didesak supaya kembali ke mahligai Wan Jamsiah.
Dalam tempoh tiga bulan ini, walau dalam keterpaksaan dia telah berjaya membuka langkah terhadap Amier. Mereka berkawan namun bagi Ellisa, segalanya hambar. Tidak seperti yang diharapkan. Amier seperti tidak berapa berminat untuk bergaul dengannya, membuatkan dia terasa menyesal dan malu atas tindakannya. Namun, dia tidak boleh berputus asa. Sekurang-kurangnya, kini dia memiliki persahabatan dengan Amier. Lebih baik ada daripada tiada. Itu prinsipnya...
Ellisa mengeluh. Dalam banyak-banyak hari, mengapa Wan Jamsiah pilih untuk mengganggu hidupnya pada hari ini? Hari ini hari penting buatnya. Akibat panggilan Wan Jamsiah pagi tadi, Ellisa langsung hilang semangat. Temu duga kerja yang dihadirinya tadi juga terasa terganggu. Ellisa menghadapi temu duganya dengan baik, namun disebabkan dirinya yang tidak tenteram, dia tidak yakin untuk mendapat tawaran bekerja daripada syarikat itu.
Pelbagai perkara sarat dalam mindanya. Wan Jamsiah, Zayn, Amier...
"Balik dah?" tegur Naqiya ketika terserempak dengannya di anak tangga paling atas.
"Haah. Balik dah..." luah Ellisa malas.
"Aku nak turun kejap minum air," jelas Naqiya tanpa ditanya lalu berlari menuruni anak tangga. Ellisa perhatikan kosong gelagat Naqiya sebelum dia terpandang ke dalam bilik adiknya yang pintunya terbuka luas.
Matanya tertancap pada skrin komputer di bilik Naqiya yang mempamerkan gambar mereka berdua di hadapan Fontana di Trevi. Ellisa tersenyum sendirian seraya mendekati komputer untuk melihat dengan lebih jelas. Gambar itu diambil sebelum dia tercampakkan syiling emas Wan Jamsiah. Kalaulah dia mempunyai kuasa super dan boleh merentasi masa, akan dia masuk ke dalam gambar itu dan mengubah keadaan.
Ellisa menggeleng-gelengkan kepala. Perkara yang lepas sepatutnya dibiarkan berlalu. Mahu ditangisi pun sudah tidak berguna. Sepatutnya dia hargai apa yang dimiliki sekarang. Sewajarnya dia bersyukur kerana dipertemukan dengan insan yang boleh menyelamatkan keadaan kerana memiliki emas yang pernah dia campakkan secara tidak sengaja.
A knight in shining armor... Entah mengapa ayat yang pernah disebut Zayn itu timbul dalam mindanya. Lekas-lekas dia hapuskan segala angan yang bakal menerawang.
"Kau buat apa termenung dekat sini?" tegur Naqiya yang tak semena-mena terpaku di sisi. Ada riak hairan di wajahnya. Pandangannya dialihkan pula ke skrin komputer sebelum dipulangkan ke wajah Ellisa.
"Kau tengok wallpaper aku, eh?" duga Naqiya sambil tersengih-sengih sebelum Ellisa sempat menjawab pertanyaannya yang tadi.
"Mesti kau rindukan tempat tu..." ulas Naqiya lantas melabuhkan punggung di atas kerusi di meja komputer itu.
Ellisa tersenyum. Sekali lagi dia mengilaskan pandangan pada gambar tadi. Waktu itu, imej seseorang yang dikenalinya tertangkap oleh penglihatan. Sambil mengerutkan dahi, dia mendekatkan wajahnya pada skrin. Tindakannya membuatkan Naqiya terpinga-pinga.

YOU ARE READING
Percaturan Hati
RomansTajuk: Percaturan Hati Penulis: Freezia Muka Surat: 528 Terbitan: Ogos Penerbitan: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-31-0 Harga: RM22.00 (Semenanjung) // RM25.00 (Sabah & Sarawak)