Ellisa tersenyum sendiri seraya menyandarkan tubuh di kerusi. Matanya melirik ke arah Amier yang sedang berdiri di kaunter untuk membeli dua cawan kopi. Hatinya puas. Semakin hari hubungannya dengan Amier semakin baik. Dia akui, tidak mungkin dia dapat mendekati Amier kalau bukan kerana pertolongan Zayn.
Sepertimana hubungannya dengan Amier, perkenalannya dengan Zayn juga nampaknya berlarutan sehingga ke hari ini. Dia tidak pernah berniat untuk berkawan dengan Zayn tetapi nampaknya ia tidak boleh dielakkan. Selagi syiling emas berada di tangan Zayn, selagi itu Ellisa duga, mereka akan berhubung.
Namun, apa yang agak menghairankan Ellisa, Zayn bersungguh-sungguh membantunya mendekati Amier. Pelbagai nasihat dia berikan agar Ellisa berjaya mengambil hati Amier. Selagi ia tidak bercanggah dengan landasan agama, Ellisa ikut. Dan, setakat ini segalanya berjalan dengan lancar.
Ya tak ya juga. Kenapa dia tolong aku penuhkan syarat yang dia bagi? fikir Ellisa. Matanya dilemparkan ke luar tingkap kafe.
Walau tuntutannya ke atas syiling emas Wan Jamsiah bersyarat, namun syarat itu memberat kepadanya. Malah, Zayn siap menolong Ellisa untuk memenuhi syarat itu. Mengapa? Mengapa Zayn meletakkan syarat yang terlalu menyebelahi dirinya? Sehingga ke hari ini, dia kurang faham dengan tindakan Zayn.
Alang-alang dia nak menyenangkan tugas aku, kenapa dia tak pulangkan aje emas tu dekat aku, hah? Kenapa syarat macam ni? Atau, kenapa dia tak letak syarat supaya aku dating dengan dia kalau betul dia nak kenal aku dengan lebih dekat? Ellisa mula berteka-teki.
"Berangan jauh, nampak!" teguran Amier menyentakkan lamunan Ellisa.
Ellisa lantas mengukirkan senyuman di bibirnya. Dia perhatikan sahaja Amier melabuhkan punggungnya di kerusi yang terletak berhadapan dengan tempat duduknya. Sebuah dulang yang berisi dua cawan kopi terhidang di atas meja.
Hatinya masih lagi tersenyum mengenangkan pertemuannya dengan Amier yang berlaku secara kebetulan di pusat membeli-belah itu. Antara mereka, tiada lagi perasaan kekok atau janggal. Ellisa pun sudah boleh berlagak seperti biasa sahaja di hadapan Amier. Tidak seperti dahulu.
Dan tidak seperti dahulu, Amier melayan dirinya dengan cara yang agak istimewa. Dia tidak mahu membuat andaian lebih-lebih tetapi dia mula terasa dirinya sudah mempunyai kepentingan dalam hidup Amier. Dan dia sangat-sangat menghargai perasaan itu.
"Awak buat apa dekat sini?" soal Amier bersahaja.
"Saja jalan-jalan. Window shopping. Hari ni hujung minggu, bosan pula duduk dekat rumah aje," balas Ellisa.
"Kalau bosan, kenapa tak call aje? Saya boleh bawa awak jalan-jalan," ujar Amier sambil tersenyum nipis.
"Saya tak naklah asyik ganggu awak."
"Mana ada awak mengganggu."
"Ellisa!" Tiba-tiba sebuah suara garau menyapanya entah dari mana. Ellisa mengangkat wajah, cuba mencari punca suara itu. Terkedu dia sejenak apabila dilihat Zayn terpacak berdiri di belakang kerusi Amier. Mujur kopi hitam yang dihirup tidak tersembur keluar dari mulut.
"Zayn... Apa awak buat dekat sini?" Ellisa menyahut, sedikit terkejut. Amier di hadapannya mula menoleh ke belakang, meneliti Zayn dari bawah ke atas.
"Apa saya buat? Apa yang awak buat dekat sini? Awak kata tadi awak dekat rumah, tolong emak awak masak!" ujar Zayn dalam nada yang ditinggikan sedikit seolah-olah dia keberangan.
Ellisa terpinga-pinga seketika. Apakah yang sudah merasuk Zayn ketika ini? Selalunya dia tenang sahaja. Dia mula merasa tidak selesa dengan kehadiran Zayn di situ.
"Awak kenal dia ke?" tanya Amier kepada Ellisa.
Ellisa mengangguk perlahan. Pergerakannya agak kaku. Perasaannya berbaur dan dia tidak bisa memikirkan apa yang sewajarnya dia lakukan ketika ini.
YOU ARE READING
Percaturan Hati
RomantikTajuk: Percaturan Hati Penulis: Freezia Muka Surat: 528 Terbitan: Ogos Penerbitan: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-31-0 Harga: RM22.00 (Semenanjung) // RM25.00 (Sabah & Sarawak)