Buku notanya dibuka lagi. Rancangan yang telah dia rangkakan sejak perjumpaannya dengan Zayn dibaca entah untuk kali yang keberapa, dia sendiripun kurang pasti. Sungguh, dia tidak menyangka dirinya akan berasa selesa dengan kepulangan Wan Jamsiah. Waktu ini, dia cuma perlu menanti seruan Wan Jamsiah untuk berbicara dengannya setelah beberapa hari pulang dari melancong.
"Ellisa!" Kedengaran teriakan Wan Jamsiah dari sebalik pintu bilik Ellisa.
"Yes!" Ellisa bermonolog. Cepat-cepat dia menutup buku notanya. Masa yang dinanti-nantikan telah pun tiba.
"Ya, wan..." jawab Ellisa seraya melangkah keluar dari bilik yang ghalibnya dihuni oleh pembantu rumah neneknya.
"Kau mari sini. Aku ada benda nak bincang dengan kau," panggil Wan Jamsiah dari dapur.
Lis tahu... Ellisa menjawab dalam hati yang menyanyi-nyanyi. Langkahnya ringan menuju ke dapur. Di situ, Wan Jamsiah dilihat sedang duduk di meja makan sambil menikmati hidangan minum petangnya; macaroon yang dibeli dari Australia dan kopi O tanpa gula.
"Apa dia, wan?" Ellisa berpura-pura menyoal. Dia memakukan langkah di hadapan Wan Jamsiah tanpa ada sebarang niat untuk duduk sekali di meja tersebut.
"Dah dapat dah emas aku?" soal Wan Jamsiah sambil mengangkat keningnya nan tajam.
"Belum..."
"Belum?! Kau tahu tak, semakin lama kau tangguh untuk dapatkan balik emas aku, semakin lama kau akan jadi kuli aku?" Wan Jamsiah menggertak tegas.
"Memanglah emas tu Lis belum dapat lagi. Tapi, sekurang-kurangnya dia dah tukarkan syarat dia untuk pulangkan emas tu," jelas Ellisa tenang. Dia kekalkan mindanya supaya sentiasa positif dan tidak melenting sebelum keadaan menjadi tegang.
"Apa syarat-syarat? Dia kan kawan kau, minta ajelah. Kan aku dah kata aku tak nak ada syarat-syarat ni!"
"Dia bukan kawan Lislah," nafi Ellisa pantas.
"Pembohong!" Perkataan mudah yang diluahkan Wan Jamsiah itu berjaya menggugat kesabaran Ellisa. Dia menarik nafas dalam-dalam sambil menggenggam tangan demi memujuk diri.
"Suka hati wanlah nak anggap Lis ni apa. Yang Lis tahu, apa yang Lis cakap ni semua cerita betul. Macam mana wan nak sangat emas tu, macam itulah juga Lis nak sangat pulangkannya kepada wan," akui Ellisa selamba.
"Okey. Suka hati kaulah. Tapi, ingat... Aku takkan kira gaji kau selagi kau tak pulangkan emas aku."
"Lis tak kesah kalau wan nak buat macam tu. Tapi, alang-alang Lis tak dapat apa-apa buat masa ni, baik Lis balik rumah mak, betul tak? Kalau tak pun, biarlah Lis cari kerja lain. Sekurang-kurangnya masa Lis terbayar walaupun tak dapat sepuluh ringgit sehari daripada wan."
"No way! Kau nak mencari alasan untuk keluar dari rumah aku, kan?!" Wan Jamsiah menghentak keras tangannya ke meja. Bergegar segala barang yang berada di atasnya. Cawan yang berisi kopi O turut menumpahkan isinya. Wan Jamsiah nyata tidak bersetuju dengan cadangan cucunya. Hampir gugur jantung Ellisa dengan tindakan drastiknya.
Ellisa kemudiannya tersenyum sinis. Benar, itulah tujuan sebenarnya. Dia nampak peluang untuk sedikit kebebasan diri melalui syarat baru Zayn. Kerana, untuk memenuhi syarat itu, dia perlukan kelonggaran untuk keluar rumah. Hak itulah yang disekat daripadanya oleh Wan Jamsiah sekaligus menyukarkan misinya menunaikan syarat yang telah dipersetujui.
"Wan, mahu atau tidak, percaya atau tak... Lis kena tunaikan syarat mamat tu sebelum dia boleh pulangkan emas wan tu. Jadi, apa yang Lis buat ni untuk kita berdua. Bukan untuk Lis aje," terang Ellisa lagi.
"Aku tak benarkan. Ini cuma alasan kau untuk larikan diri daripada aku!"
"Lis akan tetap keluar dari rumah ni sama ada wan benarkan atau tidak. Melainkan kalau wan boleh benarkan Lis keluar rumah sekali-sekala."

YOU ARE READING
Percaturan Hati
Roman d'amourTajuk: Percaturan Hati Penulis: Freezia Muka Surat: 528 Terbitan: Ogos Penerbitan: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-31-0 Harga: RM22.00 (Semenanjung) // RM25.00 (Sabah & Sarawak)