Bab 8

905 20 0
                                    

Naqiya terlopong walau setelah beberapa saat berlalu sejak Ellisa menghabiskan ceritanya. Ekspresinya sukar ditafsir. Ia terletak antara riak percaya dan tidak percaya. Wajah kakaknya yang sedang berbaring di atas katil ditenungnya dalam-dalam sambil mindanya ligat menyusun permasalahan yang ingin dia kemukakan.

Ellisa menantikan soalan yang bakal menyusul dari bibir Naqiya, namun apabila Naqiya masih mendiamkan diri, Ellisa mencapai satu bantal lalu baring mengiring, berpura-pura untuk tidur. Naqiya yang menyedari tindakannya cepat-cepat menghalang.

"Kenapa dia bagi syarat macam tu?" Naqiya menanyakan soalan yang berkali-kali telah Ellisa tanyakan kepada diri sendiri.

"Ingat aku tahu ke?" jawab Ellisa malas.

"Takkan dia kenal dengan Amier?" Naqiya mengutarakan andaian.

"Kalau dia kenal dengan Amier, kenapa dia tak suruh aje Amier yang approach aku?" jawab Ellisa dengan satu lagi soalan.

"Entah-entah Amier yang minta tolong dia buat macam tu tak?" Satu lagi tekaan diluahkan Naqiya.

"Confirm ke dia kenal dengan Amier? Kalau kenal pun, tak pelik sangat ke sebab kebetulan dia pula yang jumpa emas wan?"

"Tapi, macam mana dia jumpa emas wan?"

"Eh, aku tak cerita lagi pasal tu?" Ellisa menggaru-garu kepalanya tatkala menyedari kisah perjumpaan antara emas dan Zayn belum lagi diceritakan kepada Naqiya.

"Kau pastikah emas tu memang emas wan dan bukan emas lain?" Naqiya terus menyoal mengikut hati.

"Bukankah set emas wan tu satu-satunya dalam dunia?" balas Ellisa.

"Er, kenapa kita berbalas-balas soalan aje dari tadi?" soal Naqiya di luar topik perbincangan apabila menyedari mereka berdua asyik berbalas soalan sahaja dari tadi. Kalaulah mereka sedang bermain permainan jawab soalan dengan soalan, mungkin salah seorang antara mereka boleh menjadi pemenang.

"Yakah?" Ellisa tidak sedar.

"Tapi, bila fikir balik... Dia sebenarnya memaksa kau untuk bertegur sapa dengan Amier yang kau suka sangat tu." Naqiya memulangkan kembali fokusnya pada topik perbincangan.

"Itu perkara baikkah?"

"Mestilah baik. Selama ni aku suruh kau cuba berkawan dengan Amier tu kau tak nak. Macam-macam alasan kau bagi. Kali ni, apa lagi alasan kau? Nak tak nak, kau kena buat sebab emas tu ada pada dia."

"Walaupun tak ada alasan, tapi aku ada cara lain untuk selesaikan masalah ni," jelas Ellisa dengan senyuman penuh keyakinan.

"Kau memang tak nak cuba dekati Amier langsung? Tak nak ambil peluang ni?" risik Naqiya dengan nada yang agak kecewa. Inilah perangai Ellisa yang dikenalinya. Sukar untuk memulakan walaupun Amier sudah lama dia sukai.

"Aku segan..." balas Ellisa perlahan.

"Sampai bila kau nak segan? Kau nak kawan aje dengan dia. Bukan salah pun..."

"Seganlah. Nanti dia kata aku tergedik sana sini."

"Bukan menggedik. Nak kawan aje. Nak kenal, kan?"

"Tapi, kalau buat macam tu nanti dia tahulah aku suka dia."

"Orang suka, sebab tu kawan. Habis kawan-kawan dia yang lain tu, kau nak takrifkan macam mana? Kalau dia orang tak suka Amier, dia orang kawan tak dengan Amier? Kalau kau tak suka aku, kau kawan tak dengan aku? Kalau aku tak suka kau, kau ingat aku nak sangat kawan dengan kau?" Panjang Naqiya membebel.

"Eee, susahlah. Kekadang beruntung juga kan jadi orang yang tergedik sana sini... Tak reti segan."

"Haish, kau ni. Balik-balik itu aje ayat merepek kau. Nak berkenalan tak semestinya gedik. Kau aje yang suka fikir bukan-bukan," omel Naqiya panjang.

Percaturan HatiWhere stories live. Discover now