Ellisa terkedu. Jiwanya tiba-tiba terasa berat. Perutnya mula terasa sebu. Serta-merta perasaannya bercampur baur. Kekecewaan yang melanda ketika Amier mengkhabarkan berita palsu tentang keretanya pagi tadi terus bertandang kembali. Malah, perasaan itu berlipat ganda apabila memang tidak syak lagi Amier telah mendustakan kata.
Hatinya turut merasa terluka apabila yang hadir bersama Amier ketika itu ialah seorang gadis yang dia kenali sebagai bekas teman istimewa Amier, Bee. Tidak! Bukan bekas teman istimewa kerana melalui pemerhatiannya, mungkin itu satu lagi dusta. Amier dan Bee nampak mesra seperti pasangan kekasih. Mereka asyik berpegangan tangan sejak tadi. Itulah yang Ellisa nampak sekilas pandang sewaktu dia baru melangkah masuk ke dalam panggung, sekaligus menyimpulkan bahawa dua orang itu pasangan kekasih.
Ellisa menggeleng. Tanggapan itu ditolaknya jauh-jauh. Dia memujuk diri agar tidak berfikir yang bukan-bukan. Dia sedapkan hati dengan mengatakan lelaki di hadapannya bukan Amier tetapi seseorang yang seiras dengan Amier.
Ayat sedapkan hatinya tidak berjaya kerana dia betul-betul yakin lelaki itu Amier. Ellisa mengeluarkan telefon dari beg tangannya. Nombor telefon Amier pantas didail tanpa berfikir panjang. Tidak lama selepas itu, telefon bimbit lelaki di hadapannya berbunyi. Nada deringannya juga sama dengan nada dering telefon Amier. Ellisa menghela nafas dalam-dalam, cuba menenangkan diri.
Memang sah lelaki itu Amier! Cuma dia tidak sangka, dalam banyak-banyak pasangan kekasih dalam dunia ini, tayangan romantis tidak berskrip antara Amier dan Bee yang perlu dia saksikan. Bengkak hatinya. Bodoh sangatkah dia sehingga mampu ditipu sebegitu?
"Alamak, I lupa nak silentkan handphone," kata Amier tatkala telefonnya berbunyi. Dia mengeluarkan alat itu dari koceknya. Nama yang tertera di skrin dipandangnya sekilas sebelum mematikan telefon itu. Ellisa perhatikan sahaja gelagatnya dengan hati yang terbakar.
"Siapa yang call tu?" Bee menyoal manja.
"Ellisa..." jawab Amier.
"Apa dia nak?" Suara manja Bee bertanya dalam intonasi yang meluat.
"Entah. Malas I nak jawab. I dah bagi tahu dia tadi kereta I rosak. Selalunya dia tak macam ni. Selalunya dia tak banyak tanya."
"Mengganggu betul," rungut Bee.
"Janganlah macam ni. I tak jawab pun panggilan dia." Amier cuba memujuk.
"You sebelahkan dia? Mentang-mentanglah emak you sukakan dia dan tak sukakan I." Bee memuncungkan bibir, pura-pura merajuk. Tangannya yang dipegang Amier disentapnya kasar dan tubuhnya dipalingkan sedikit dari Amier.
"Emak I yang suka dia. Tapi, I sukakan you. Itu yang penting." Amier bagaikan tidak pernah jemu cuba mengambil hati. Namun, Bee masih mencebik.
"Hati I milik you. Ellisa tu dummy aje. Ada dia, emak I dah senang hati. Tak adalah dia bising lagi pasal kita, atau pasal you," sambung Amier lagi. Tangan Bee diraih kembali.
Ellisa menelan liurnya yang terasa kelat di anak tekak. Begini rupanya sikap Amier. Dirinya diterima hanya untuk dipergunakan sebagai bahan dusta terhadap ibunya. Keji punya perangai! Membuak-buak perasaan meluat Ellisa. Selimut yang ditebarkan pada diri digenggam kuat bagi menahan perasaan. Mahu menangis pun ada, tapi memikirkan dirinya sedang berada di tempat awam, dia kuatkan ego.
"Kalau macam tu, kenapa dari awal you tak berlakon sukakan dia?"
"Memang I berlakon. Tapi, perangai dia tu I susah nak ikut. Dia tu sebenarnya tak kena dengan selera I. I tak pandai layan perempuan yang tak pandai ambil hati I." Amier berterus terang.
"Bila dia tiba-tiba pandai ambil berat pasal I, baru I boleh jalan. Entah dari mana dia belajar jadi caring, I pun tak tahu. Tapi, kalau dia sanggup berubah sebabkan I, I la untung, kan? Itu menunjukkan dia betul-betul suka dekat I. Tapi, you jangan risau. I tak suka pun dekat dia," sambung Amier lagi.

YOU ARE READING
Percaturan Hati
RomanceTajuk: Percaturan Hati Penulis: Freezia Muka Surat: 528 Terbitan: Ogos Penerbitan: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-31-0 Harga: RM22.00 (Semenanjung) // RM25.00 (Sabah & Sarawak)