Bab 2

1.4K 31 0
                                    

"Cucu tak guna!" Terngiang-ngiang suara teriakan Wan Jamsiah sebaik sahaja dia menyampaikan khabarnya yang terkini.

Sudah agak lama dia tidak bersua muka dengan neneknya yang satu itu. Setiap kali dia datang melawat, ada sahaja perkara tentang dirinya yang tidak menyenangkan Wan Jamsiah, tidak kira sama ada perkara itu secara tersirat atau tersurat, baik ataupun tidak. Sejak dia kecil lagi dia diperlakukan begitu. Baginya, nenek berat sebelah. Cucu-cucunya yang lain tidak pernah pula dia marah sedemikian rupa. Mengapa mereka semua nampak sempurna pula di matanya?

Ellisa mengetap bibir sambil melemparkan pandangannya ke luar tingkap kapal terbang. Yang dilihat hanyalah kegelapan malam yang pekat. Dia melepaskan satu keluhan berat. Dia benci apabila dirinya dilemparkan dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan tanpa diberikan peluang untuk membela diri.

"Oi, mengeluh bukan main!" tegur adiknya, Naqiya yang duduk bersebelahan dengan tempat duduknya.

"Biarlah," jawab Ellisa ringkas.

"Kita nak pergi bercuti ni... Happylah sikit. Jangan difikirkan sangat pasal wan," ujar Naqiya selamba. Matanya ditumpukan pada skrin yang tertanam pada tempat duduk di hadapannya.

Ellisa mengerling ke arah skrin yang ditonton Naqiya. Filem animasi Frozen sedang bermain. Entah sudah berapa kali filem itu ditonton, Naqiya boleh tertarik untuk menonton lagi. Ellisa cuma menggeleng. Tak pandai bosan ke budak tu?

"Mana kau tahu aku tengah fikir pasal wan?" Ellisa cuba menarik perhatian Naqiya.

"Mestilah tahu. Kau tiba-tiba ajak aku pergi bercuti lepas kena brainwash dengan dia hari tu, kan?"

"Dia panggil aku cucu tak guna." Ellisa mula mengadu dengan nada yang mendatar.

"Tak payah nak kecoh. Title cucu tak guna tu aku dah dapat dulu waktu aku dapat tiga A aje masa aku SPM. Dapat aje tau result aku, terus dia membebel. Sejam setengah aku duk menghadap muka dia. Ayat yang dia balik-balik ulang: Keputusan macam ni tak boleh bawa kau masuk ke mana-mana universiti." Naqiya mengimitasi suara Wan Jamsiah pada ayatnya yang terakhir membuatkan Ellisa tertawa.

"Aku ni cucu tak guna sebab tak dapat banyak A waktu SPM. Bagi dia, banyak A tu boleh bagi terang kubur kut," sambung Naqiya lagi.

Ellisa hanya mendiamkan diri. Segala kemarahan yang dirasai terhadap Wan Jamsiah kian terhakis dengan ingatan bahawa dia telah melarikan harta neneknya yang paling berharga. Biarlah kali ini cucu-cucu kesayangan Wan Jamsiah yang menerima habuan sepertimana yang selalunya dia kena.

"Bagi dia, pandai akademik boleh dapat kerja bagus. Tapi, tak semestinya macam tu, kan? Zaman sekarang banyak aje orang tak sekolah mengalahkan orang yang ada PhD bagai!" Naqiya mencebik, tidak habis-habis dengan komennya.

"Apa lagi yang dia bisingkan dekat telinga kau selain cucu tak guna?" soal Naqiya sebelum Ellisa sempat melayarkan mindanya ke tempat lain.

"Ayat biasalah... Dia kata aku sombong sebab jarang datang rumah jumpa dia. Dia banding-bandingkan aku dengan sepupu-sepupu yang lain, dia cerita pasal hidup dia dulu yang susah sebab tak ada duit, dia cerita pasal duit..."

"Dah tu, celah mana pula kau ni cucu dia yang tak berguna?"

"Aku ni cucu tak guna dia sebab baru dua minggu masuk kerja dah kena buang," ujar Ellisa selamba.

Naqiya meledakkan tawanya. Sesaat, bergema suaranya di ruang kapal terbang namun dia sempat menutup mulut. Bergoyang-goyang tubuhnya menahan tawa. Kisah kakaknya dibuang kerja sudah menjadi salah satu bahan ketawa buatnya kebelakangan ini.

"Itu aku setuju dengan dia. Emak pun marah pasal tu, kan?" Naqiya bersuara apabila tawanya semakin surut.

"What can I say? Rezeki tak panjang," kata Ellisa seraya menjongketkan bahu.

Percaturan HatiWhere stories live. Discover now