Bab 12

657 12 0
                                    

Suasana di dalam kafe Starbucks itu tampak tenang biarpun penghuninya sederhana ramai. Dia cuba meneliti dan mentafsir tujuan setiap pelanggan yang duduk di kelilingnya dengan minat yang separuh. Apabila dia menyedari perbuatannya sia-sia, perhatiannya dialihkan semula ke telefon bimbit. Hatinya mula rasa tidak selesa. Orang yang cuba dihubunginya sejak tadi masih belum memberi apa-apa respons.

Ellisa mengalihkan pandangannya ke arah pintu masuk kafe, khuatir orang yang dinantikannya muncul sebelum waktu yang sepatutnya. Dugaannya tepat. Matanya terus tertancap pada kelibat Zayn yang sedang berjalan menuju ke arahnya. Spontan, dia terus menumpukan perhatian pada telefonnya sekali lagi. Sebuah mesej pesanan ringkas dihantarkan kepada Amier.

"You're early," komen Zayn selepas memberi salam. Dia melabuhkan punggung di tempat duduk di hadapan Ellisa. Ellisa hanya mampu memaksakan senyuman.

"Macam biasalah. Awak bukan Amier. Kalau dengan Amier saya datang lewat sebab dia akan datang lagi lewat," balas Ellisa tenang. Secawan minuman coklat panas yang sudah surut suhunya diteguk.

"Kalau awak lambat pun tak apa. Saya tak marah."

"Awak punctual. Saya pun patut punctuallah," komen Ellisa. Dia terasa janggal dengan pertemuan mereka kali ini. Mungkin kerana kali ini Amier akan menyertai mereka.

"Saya tahu. Don't worry about it," ujar Zayn sambil tersenyum.

Ellisa tidak meneruskan bicara. Sebaliknya, dia merenung wajah Zayn yang sedang membuat pesanan kepada pelayan kafe. Zayn nampak bertambah tampan dengan gaya potongan rambutnya yang lebih pendek.

"Saya ingat awak datang sama-sama dengan dia." Zayn memulakan bicara apabila Ellisa terus mendiamkan diri.

"Dia suruh saya datang dulu. Dia kata ada hal yang perlu dia selesaikan," balas Ellisa tenang. Jiwanya yang bergelora dengan pelbagai perasaan berjaya diselindungkan. Tuhan sahaja yang tahu apa perasaannya apabila dia terfikirkan kemungkinan ketidakhadiran Amier dalam pertemuan itu.

Sudah terlalu hampir baginya untuk mendapatkan kembali emas Wan Jamsiah. Harapannya cuma satu, janganlah Amier menghampakan permintaannya untuk hadir di situ.

Saat itu juga, telefon bimbitnya berbunyi. Jemarinya cekap menekan butang tertentu agar mesej yang sampai dapat dibaca dengan pantas. Buat seketika, perutnya terasa kecut. Sebaik sahaja dia membaca mesej itu, dia terus mengeluh berat. Telefon diletakkan di atas meja dengan kasar.

"Amier cakap dia tak dapat datang. Kereta dia rosak tengah jalan," jelas Ellisa tanpa minat. Nalurinya kuat mengatakan bahawa Amier tidak berkata benar.

Jauh di sudut hati, dia terasa mahu menjerit. Mengapalah susah sangat untuk dia dapatkan kembali emas Wan Jamsiah? Mungkinkah syiling emas itu benar-benar ada kuasa mistik?

"Bila tengok muka awak hari ni, baru saya sedar... Awak sengaja ke bagi syarat macam ni? Supaya saya ni nampak macam mempergunakan Amier?" ujar Ellisa tak semena-mena. Dia tidak berpuas hati dengan keadaan dan sebelum sempat dia menahan diri, dia telah menjadikan Zayn tempat dia melepaskan geram.

"I wouldn't put it that way. Sebelum ni, awak juga cakap awak sukakan dia. Jadi tak adalah awak permainkan dia, kan? I mean, you want to befriend him and you want the gold. So, I want to give you both," nyata Zayn. Dia dapat membaca ekspresi Ellisa yang kecewa dengan Amier.

"Honestly, syarat tu untuk push awak supaya bertegur dengan dia. Itu aje," sambung Zayn lagi apabila Ellisa terus mendiamkan diri.

Ellisa buntu dengan kata-kata. Benar kata Zayn. Sebelum ini, dia yang beria-ia memperteguhkan bahawa apa yang dilakukan tiada kaitan dengan mempermainkan perasaan Amier. Tetapi, mengapa sekarang dia mula rasa bersalah?

Percaturan HatiWhere stories live. Discover now