Zahrah tersengih lalu menggeleng perlahan. Belum sempat dia hendak membuang patah kata, Faizul menyambung lagi katanya.
"Kalau awak buat, awak akan dapat ganjaran."
"Ganjaran? Apa dia?"
"Awak akan dapat... dapat..."
Kepala yang tidak gatal mula digaru. Susah pula Faizul hendak mengungkapkan hal yang satu itu. Malu pun ada juga. Kalau difikirkan balik, sampai bila hendak malu. Jangan disebabkan malu nanti, dia juga yang melepas. Menyesal dan kecewa tak sudah. Kata hendak mula hubungan yang baru. Jadi kena mengatur strategi. Senyuman terukir kembali di bibir.
"Awak dapat kasih sayang saya."
Terus tertutup rapat bibir Zahrah. Biar betul dia mendengar semua itu? Kasih sayang? Macam pelik aje bunyinya tapi kenapa dia berasa bahagia apabila mendengarnya?
"You can love me, I will give free gifts to you."
Zahrah masih diam dan otak tak dapat proses apa yang hendak dikatakan. Macam kilang kasut terputus wayar. Pemberian apa pula? Selama ni bukan ke lelaki itu sudah memberi yang sepatutnya. Tempat tinggal, pakaian dan makanan.
Jika hendak mengutarakan tentang kehendak? Tidak! Selama ini Zahrah tidak pernah meminta apa-apa pun kepada Faizul. Dia bukan jenis yang meminta. Sudah mendapat tempat tinggal pun dah bersyukur. Kemewahan adalah satu bonus untuknya.
Faizul menapak ke hadapan Zahrah. Dia mendekatkan kembali mukanya ke muka Zahrah. Dia tersenyum lebar.
"Awak akan dapat cinta saya."
"Cin...cin... cinta?"
"Saya ikhlas beri cinta saya dekat awak."
Bertambah membulat anak mata Zahrah mendengar kata-kata lelaki itu. Mendapat cinta lelaki itu? Bukan ke selama ini dia mengharapkan cinta lelaki yang bernama Faizul Arman? Ya! Dia memang mengharapkan cinta lelaki itu. Tetapi ada masalahnya.
"Ada masalah sikit."
"Apa?"
"Saya tak pandai nak buat ketupat." Perlahan saja Zahrah menuturkannya.
Zahrah mula tersengih. Habislah rahsia besarnya yang satu itu sudah terbongkar. Aduh! Selepas ni macam manalah dia hendak menghadap muka lelaki itu. Malu! Dia perasan mata lelaki itu membulat sedikit besar dan tak berkelip. Terkejut kut!
Erk!
+++++
"Sampai ke subuhlah kamu menunggu isteri kamu ni buat ketupat. Takkan menjadilah. Kamu makan ajelah ketupat yang ibu buat ni. Sama aje." Sampuk Fatimah yang berada di hadapannya.
"Hah! Betul tu. Sama aje." Celah Zahrah.
Faizul memandang Zahrah. Zahrah hanya tersenyum kelat. Tahu sangatlah apa maksud pandangan suaminya itu. Dia meneruskan lagi membuat ketupat. Dah diajar pun, masih tak pandai nak membuatnya. Satu keluhan perlahan dilepaskan.
"Faizul bukannya apa ibu. Faizul teringat sangat nak rasa ketupat buatan anak ibu ni. Tahun ni kan raya pertama Faizul beraya sebagai suami dia. Naklah juga saya merasa hasil tangan isteri saya sendiri. Lagi pun bukannya selalu dapat makan ketupat. Betul tak, bu?" kerlingnya terhadap Zahrah.
Zahrah yang mendengarnya, rasa geram pun ada. Itu bukan macam perli ke? Menyindir? Habis daun kelapa tu digulungnya. Nak kena masuk dekat lubang sana, lubang sini. Pening dibuatnya. Kan senang kalau beli yang sudah siap. Tak payah hendak menganyam lagi. Fatimah hanya tersenyum sahaja mendengar kata-kata Faizul. Dia meneruskan lagi membuat ketupat nasi. Cantik saja bentuknya. Empat segi tepat. Kalau ketupat bawang, bentuknya tak sama seperti ketupat nasi. Bentuknya ada sedikit bujur.
YOU ARE READING
Cinta Roller Coaster -Ery Aieril
RomanceSebuah cerita suspense romance yang penuh dengan kejutan dan debaran. kisah pasal Faizul Arman dan Zahrah Imani. Sudah terbit. Terbitan december 2016. Boleh dapatkan di pasaran.