"Mama..."
"Apa dia sayang?"
"Abang Iz datang sini tak?"
"Kamu rindu dekat abang Iz?"
Hazril menayangkan muka monyok. Suraya seakan mengerti. Sejak tadi, soalan itu saja yang kerap ditanya. Sudah disuruh makan, tak nak makan. Minum pun tidak mahu. Macam orang tak ada selera aje. Dia bingung pula. Anaknya itu asyik duduk di buaian dan termenung saja. Apa pun dia sebagai seorang ibu tidak sanggup hendak membiarkan anaknya begitu.
"Abang Iz sibuk kut." ujar Suraya sebaik saja tiba di sisi Hazril.
"Mama ada telefon abang Iz tak?"
"Mama tak nak ganggu abang. Pada waktu macam ni kan dia sibuk."
"Manalah tahu dia tak sibuk."
"Sayang..."
"Mama memang tak sayang Ril."
"Ish dia ni! Mama sayanglah. Abang Iz pun sayang Ril."
"Kalau sayang, apa kata mama telefon abang Iz. Ril nak cakap dengan dia."
Erk!
Suraya terus duduk di bersebelahan Hazril. Dia mengusap lembut kepala anaknya. Walaupun usia sudah menginjak ke angka lima belas, sikap manja anaknya tak hilang. Bukan saja manja terhadapnya tetapi kepada Iz juga. Anaknya itu memang rapat dengan Iz. Takkan dia hendak menelefon Iz pula? Dia tak nak menganggu lelaki itu.
Tapi...
Pilihan apa yang dia ada?
Dia tak sanggup nak lihat anaknya dalam keadaan begitu.
"Anak mama ni nak makan apa? Ril cakap apa aje, mama boleh buatkan."
"Tak nak. Ril nak abang Iz juga."
"Sayang...'
"Tak nak! Ril nak abang Iz juga!"
Suraya mengeluh. Sungguh dia bingung. Dia memandang telefon bimbit di tangan. Dia memikir lagi, perlu atau tidak dia menelefon Iz, Hati berbelah bagi. Nama lelaki itu dicari juga. Jari berat saja hendak menelefon dan dia tetap dengan andaiannya tadi. Takut menganggu. Dia sudah memandang anaknya pula. Tanpa berlengah lagi, dia terus menelefon nombor tersebut.
Tak lama selepas itu, panggilan yang dibuat tidak dijawab. Dicuba lagi namun jawapan masih sama. Teramat pasti lelaki itu sibuk. Dia harus mencari idea pula macam mana hendak menggembirakan anaknya. Memang wajarlah Hazril monyok begitu. Seorang adik terlampau rindu terhadap abangnya. Sudah lama mereka tidak berjumpa.
+++++
Apa yang terjadi semalam, Zahrah memang tak boleh lupa. Dia kena mendapatkan juga jawapan pada detik itu. Tak boleh nak ditangguhkan lagi. Selagi tak mendengar sebarang jawapan dari mulut lelaki itu, dia takkan tenang. Dia mula gusar.
Ibrahim dan Fatimah di ruang dapur masih mengemas apa yang patut. Pandangan mata Zahrah sudah terhala di bahagian atas rumah. Satu tekad dibuat. Langkah terus diatur sedikit perlahan. Entah betul atau tidak dengan tindakannya kala itu. Takut pula dia dibuatnya. Mesti si suami pelik dengan sikapnya nanti.
Fatimah yang perasaan kelibat anaknya menuju ke bahagian atas rumah, sudah menggeleng. Hendak mengelak saja membuat kerja rumah.
"Biarlah dia tu. Nak pergi layan suami dia agaknya. Orang dah ada suami, macam tulah. Dia mengutamakan suami dia. Anak kita tu bukan macam dulu lagi. Awak kena ingat tu!" Ujar Ibrahim perlahan.
YOU ARE READING
Cinta Roller Coaster -Ery Aieril
RomanceSebuah cerita suspense romance yang penuh dengan kejutan dan debaran. kisah pasal Faizul Arman dan Zahrah Imani. Sudah terbit. Terbitan december 2016. Boleh dapatkan di pasaran.