TIGA dara berlari-larian sambil tergelak riuh. Berkejar-kejaran cuba menangkap si gadis yang paling periang dan gebu. Deretan pokok jambu dan mangga menjadi tempat sorok menyorok.
"Aku nak jadi pengantin yang paling jelita!" jerit Husna.
"Aku nak jadi perempuan yang paling dicintai!" jerit Misha dengan lebih kuat.
"Beranganlah korang!" sergah pipi pau.
Ketawa mengilai terhenti dengan ejekan pipi pau.
"Takkan kau tak ada angan-angan?" soal Misha. Sentap.
"Hmmm... tak ada. None. Nil. Yillek!"
"Takkan tak ada?" gesa Husna. Pun sentap.
"Tak ada!"
"Karutlah! Setiap orang pasti ada impian. Cakaplah! Bukannya kena bayar pun kalau nak berangan!" paksa Misha. Sangat tidak puas hati dengan jawapan yang langsung tiada jiwa.
Pipi pau digeletek kiri kanan. Terkekeh ketawa dan menggeliang-geliut cuba melepaskan dirinya tetapi tidak berjaya kerana dipegang kiri dan kanan. Gurauan kasar sedemikian menyebabkan mereka bertiga terjatuh ke atas rumput. Halaman vila menjadi port tempat mereka bercanda dan berangan. Ditanam dengan deretan pokok buah-buahan tempatan. Juga bonsai dan taman bunga yang cantik. Terurus dengan penjagaan yang rapi daripada tuan vila.
Mereka menyanyi dan menari. Bebas laku tanpa siapa menegur. Laman vila yang bertembok tinggi tiada siapa mampu lihat. Vila sunyi sepi dengan penghuni yang boleh dibilang dengan jari. Jari pun boleh terlebih kerana terlampau sedikitnya penghuni di sini.
Gelak ketawa tetap sabung-menyabung tanpa henti.
"Cakaplah!" paksa mereka berdua. Pipi pau dipeluk erat sehingga tidak boleh bernafas.
"O.K.! OK.! Ha ha ha..." Tidak tahan didera, pipi pau mengalah.
"Aku nak jadi bidadari pelindung!"
YOU ARE READING
Mikayla
General FictionBACAAN BAB AWAL SAHAJA Tajuk: Mikayla Penulis: Melur Jelita Muka Surat : 682 Penerbit: Karyaseni Terbitan : November ISBN: 978-967-469-020-5 Harga: RM27.00 (Semenanjung) // RM30.00 (Sabah/Sarawak)