Prolog

1.8K 29 0
                                    

HUJAN yang mulanya renyai bertambah lebat. Pengelap cermin van Volkswagen Camper yang dipandu oleh seorang pemuda Melayu kian pantas bergerak. Kelajuan van yang sarat dengan peralatan muzik itu menurun sekitar 70 km/j. Sesekali gadis Jepun di sebelahnya pula mengelap cermin hadapan yang mula berkabus dengan sehelai tuala muka.

Wajah pemuda Melayu itu sedikit resah. Sebuah lagi kereta yang pada mulanya bergerak secara berkonvoi bersamanya sudah tidak kelihatan. Dia resah memikirkan jika tidak tiba di destinasi yang dituju tepat pada waktunya. Kembara itu masih jauh lagi untuk tiba di kota Osaka. Keadaan van tua itu nyata meresahkannya, ditambah pula cuaca yang tiba-tiba berubah.

Hujan kian hebat. Dani segera menghidupkan lampu kecemasan Volkswagen tua itu kerana penglihatannya semakin terbatas akibat kabus yang muncul di cermin hadapan ekoran sistem pendingin hawa yang tidak berfungsi. Ayumi di sebelahnya terus bertungkus lumus mengelap cermin yang berkabus itu dengan tuala kecil. Air hujan terus mencurah seperti tiada tanda mahu berhenti. Langit juga kian gelap. Sesekali cahaya putih membelah langit bersama dentuman keras.

Melewati satu selekoh, sekilas melayang satu objek entah dari mana datangnya di hadapan mereka. Sepantas kilat juga tangan Dani memulas stereng ke kanan, cuba mengelak daripada merempuh objek berwarna jingga itu dan berusaha juga untuk mengelak daripada menghentam sebuah kereta di sebelah kirinya. Serentak tindakan refleks itu, Volkswagen tua buatan Jerman itu bergesel dengan penghadang lebuh raya. Bunyi seretan tayar bersama dentuman kemudian menyelangi suara jeritan cemas Ayumi yang berpusing-pusing.

Dalam keadaan van yang beroleng-oleng, Dani masih berusaha menunjal pedal brek berulang kali. Namun, kenderaan yang dipandunya itu tetap tidak dapat dihentikan. Van itu akhirnya hilang kawalan sepenuhnya dan berpusing-pusing beberapa kali sebelum terbalik dan menggelongsor di atas lebuh raya.

Sebuah trak yang menarik sebuah kontena dari arah belakang gagal mengelak dan akhirnya menghentam dinding van itu sehingga menyebabkan Ayumi terpelanting melalui cermin hadapan van yang telah pecah ke atas jalan. Tubuhnya berguling-guling longlai sebelum kepalanya terhentak ke tembok pembahagi lebuh raya. Impak itu cukup memecahkan urat-urat darahnya. Cecair merah pekat memancut deras keluar dari rongga mulut dan hidungnya.

Dalam kebinggungan, Dani sedaya upaya cuba melepaskan kakinya yang tersepit di antara celah pedal minyak dan pedal brek. Selepas berjaya, dia segera merangkak keluar dari van itu. Dalam kepayahan, dia memerah segala kudrat yang masih ada untuk cuba bangun.

Kepalanya sudah basah dengan cecair merah pekat. Namun, kakinya tiada daya untuk berdiri. Dia berpaut pada badan van yang sudah terbalik sepenuhnya dengan wajah kaget dan cemas. Matanya liar mencari Ayumi sambil menjerit memanggil nama Ayumi berulang kali.

Kaget dan cemasnya makin menggila apabila Ayumi dilihatnya tiada di dalam van. Matanya meliar ke segenap kawasan itu. Beberapa saat kemudian, anak matanya berjaya menjejaki sekujur tubuh di atas jalan.

Sekeliling gadis itu berlopak merah. Darah dari tubuhnya mengalir deras mengikut aliran air hujan. Dadanya berombak lantaran nafasnya yang tersekat di kerongkong. Sekali lagi gadis itu muntah darah. Dia kelihatan sungguh bingung. Matanya cuba dililaukan ke sekeliling.

Bang!!!

Tubuh Ayumi sekali lagi terpelanting. Kali ini, dibawa lebih jauh. Jauh dan terus jauh.

Ayumi!!!

BADI BUDDYWhere stories live. Discover now