Bab 6

236 2 2
                                    

KITARAN waktu terus berputar. Pantas dan deras masa berdetik. Bulan baru muncul dengan kesibukan.

Ruang legar dewan pameran PWTC itu hingar bingar. Batang tubuh manusia di mana-mana sahaja. Sebentar lagi pelancaran kereta terbaru keluaran Japan Motors akan dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Walaupun acara belum bermula dan selimut kereta belum ditarik, adegan perang cahaya kamera telah berlangsung.

Dani menyelit di tengah-tengah orang ramai. Dia yang turut dijemput ke majlis itu mula berasa rimas. Pada mulanya dia keberatan untuk hadir, namun akur dengan arahan Miss Janet sebagai mewakilinya yang tidak dapat meluangkan masa kerana ada urusan keluarga.

Dani berlegar-legar di sekitar dewan pameran automotif itu. Terbit juga rasa kagum dalam hatinya apabila melihat kecanggihan dan potongan tubuh badan kereta-kereta yang dipamerkan di situ. Namun begitu, kereta-kereta rekaan terkini bukanlah menjadi kegemarannya. Dia lebih gemarkan sesuatu yang bersifat antik dan vintaj, seperti kereta Toyota AE86 yang dimiliki oleh Hafifi.

Dahulu juga, ayahnya pernah menghadiahkan kepadanya sebuah Volkswagen Beetle. Rakan-rakan sekampungnya menggelarkan kereta itu kereta kura kerana bentuk tubuhnya seperti seekor kura-kura. Namun, kereta yang berusia seabab Perang Dunia Kedua itu terbiar selepas dia melanjutkan pelajaran ke Jepun. Mungkin tubuhnya kini telah mereput di belakang rumahnya di kampung.

"Assalamualaikum..." ucap satu suara ketika dia asyik memerhati sebuah kereta buatan nasional yang telah dimodifikasi. Dia memaling mukanya. June melirik senyum kepadanya.

"Waalaikumussalam," balas Dani.

"Dani seorang saja ke?" soal June.

Dani hanya mengangguk. Jantungnya entah mengapa mula berdegup pantas.

"Miss Janet tak datang ke?" soal June lagi.

"Tak. Dia minta maaf sebab ada urusan yang tak dapat dielakkan. Saya diminta mewakilinya," jelas Dani.

"So, apa pendapat Dani tentang hari ini?"

"Nice," jawab Dani ringkas. Dia sebenarnya masih kelu. Kotak fikirnya masih kemarau idea saat itu.

"Ada yang berkenan?" tanya June dengan wajah yang sentiasa ceria.

Dani mengerut sedikit dahinya, kurang mengerti.

"Maksud saya, kereta-kereta yang ada di sini ada yang berjaya menambat hati Dani?" June memberi lebih kefahaman kepadanya.

Dani menggeleng dengan satu riak malu. Satu senyuman cuba diukirnya untuk menutup rasa malunya itu. Pantas gerinya yang sedang tersipu itu mencuit hati June.

"Bagaimana pula dengan kereta baru kami?" June terus bersuara. Seperti Dani, dia juga gemuruh tatkala berdepan dengan Dani, entah mengapa.

"Masih tidur," balas Dani dengan bersahaja walaupun dengan niat untuk melucu. Giliran June pula mengerut sedikit dahinya bila mendengar jawapan Dani itu.

"Masih berselimut, jadi masih tidur lagilah," ulas Dani selepas menyedari June tidak dapt menangkap maksud jenakanya itu. Dia sebenarnya cuba untuk menghilangkan rasa kekoknya. Ulasan bersahajanya itu membuatkan June mendekah tawa.

"Lupa pula saya. Tapi bukankah you yang buat iklannya? Takkan buat sambil pejam mata?" ungkap June memulangkan buah jenaka. Dani tersenyum kambing, terkena checkmate oleh June.

"Hmmm, secara peribadinya memang sebuah mesin beroda empat yang mengagumkan," ulas Dani secara spontan. Niatnya sekadar mengambil hati June.

"Wah, dah macam tagline bunyinya. Saya kira ia satu testimonial yang jujur." June mengungkap dengan wajah berseri.

BADI BUDDYWhere stories live. Discover now