Bab 11

163 1 0
                                    

FIKIRAN June dilanda kebimbangan. Sejak peristiwa semalam, Dani seakan-akan memencilkan diri darinya. Puas dia mendail nombor Dani. Namun, tidak berangkat. Pesanan melalui aplikasi WhatsApp juga tidak berbalas. Hendak menghubungi pejabat Yellow House, segan pula dirasakannya.

Akhirnya, dia membuat keputusan. Tengah hari itu dia memandu keretanya ke pejabat Dani. Tiba di sana, hatinya hampa. Melalui rakan sepejabat Dani, dia mendapat tahu Dani tidak hadir ke pejabat hari itu. Lantas dia segera menyusuri Lebuhraya Persekutuan menghala ke Shah Alam.

Terpandang oleh matanya Vespa milik Dani di tempat letak motosikal di kawasan kediaman Dani ketika dia bergerak ke arah lif. Tiba di pintu bernombor 501, diketuknya beberapa kali pintu itu sambil memanggil nama Dani. Beberapa ketika menunggu, namun tiada apa-apa reaksi. Dani seperti tiada di rumah. Akhirnya, dia kembali semula ke pejabatnya dengan hati yang hampa.

DI TENGAH-tengah Ibu kota Kuala Lumpur, Dani merayau tanpa tujuan. Perilakunya sewaktu awal kematian Ayumi dulu kembali menghantuinya. Pernah satu ketika, satu hari dia menjelajah ke seluruh bandar di Jepun tanpa hala tuju dengan kereta api laju. Dia seperti mencari-cari Ayumi di setiap bandar-bandar itu.

Selepas penat berjalan tanpa tujuan, dia melabuhkan punggung di atas satu pelantar tempat duduk dalam LRT yang sedang menuju ke arah KL Sentral dari Menara KLCC. Dia bersandar pada kerusi aluminium itu. Fikirannya cuba dikosongkan. Namun gagal.

Fikirannya tetap diganggu bayang-bayang wajah Ayumi. Sekonyong-konyong dia teringat foto Ayumi yang masih tersimpan dalam galeri telefon bimbitnya. Segera dia membuka galeri itu.

You're so beautiful, Nona Manis, keluhnya perlahan. Di bingkai kedua-dua matanya mula bergenang.

LRT perlahan-lahan berhenti di satu hentian. Beberapa orang penumpang masuk ke gerabak itu.

"Ayumi?" Dani tersentak. Ayumi muncul betul-betul di hadapannya.

"Maaf, awak silap orang." Seorang gadis Cina yang baru melabuhkan punggung di hadapannya itu membetulkan kekeliruannya.

"Errr... Sorry." Dani memohon maaf selepas menyedari kesilapannya. Wajah gadis itu memang ada iras dengan Ayumi.

Tiba di KL Sentral, Dani mengubah keputusan untuk berpatah ke Central Market. Dia masuk semula ke dalam sebuah LRT yang lain selepas mendapatkan tiket baru.

Ruang kabin LRT agak lengang ketika itu. Mungkin kala itu, warga Kuala Lumpur masih di tempat kerja. LRT berhenti di stesen Masjid Jamek. Dani pantas melangkah ke arah bangunan biru di tengah-tengah kota metropolitan Kuala Lumpur beberapa meter dari stesen Masjid Jamek. Beberapa jejaka sasa berkepala botak mengeluinya ketika dia melewati sebuah restoran berhampiran dengan pentas hiburan di belakang bangunan biru itu. Namun kelui nakal itu sedikit pun tidak diendahkannya.

Dani merayau di sekitar kedai yang menjual pelbagai jenis barangan, terutamanya barangan kraf tangan dan hasil-hasil halus seni. Kemudian dia mengunjungi ruang pelukis. Beberapa lukisan dan lakaran menarik perhatiannya. Dia menyapa seorang pelukis di situ untuk bertanyakan tentang teknik melukis pelukis itu yang sedikit membuatnya rasa kagum. Mulanya, pelukis lewat usia 50-an itu seperti enggan berkongsi ilmunya, namun setelah diberitahu bahawa dia merupakan seorang graduan seni, pelukis itu tidak betah berbual dengannya.

"Mungkin orang seni akan bercakap dengan orang seni kerana percakapan itu akan jadi lebih mudah bila sama-sama memahami. Dan mungkin seorang seniman itu akan mengalami kepayahan untuk menjelaskan sesuatu yang berkaitan dengan seni kepada seseorang yang tiada asas pengetahuan dalam bidang itu. Mungkin ia juga akan jadi buang masa..." Falsafah ini pernah didengari oleh Dani daripada mulut Sensei Nakamura. Kini, Dani mula mengerti dan bersetuju dengan falsafah itu.

BADI BUDDYWhere stories live. Discover now