Bab 10

193 1 0
                                    

DANI bersandar pada penyandar sofa. Hafifi selepas menghantar Dani, terus pulang ke rumahnya. Anak mata Dani merenung kosong ke arah siling. Nasihat-nasihat Hafifi tengah hari tadi berlegar-legar dalam fikirannya.

Sekilas, dia terpandang gitar akustik yang tersandar di hujung sofa. Gitar itu segera dicapainya. Selepas mencari ilham seketika, tali-temali gitar itu dipetiknya. Kemudian, dia berlagu sebuah lagu yang paling menggamit nostalgianya.

Belum sempat lagu itu dihabiskan, telefon tangannya berdering.

"Helo assalamualaikum, Dani." June menyapanya di dalam talian.

"Waalaikumussalam," balas Dani lembut.

"Dani free tak?" soal June.

"Free, kenapa ya?" Dani membalas.

"Jom tengok wayang. Kita tengok cerita Ada Apa Dengan Cinta 2. Kawan June cakap cerita itu best," ujar June dengan nada berharap.

"Okey, pukul berapa ya?" Dani bersetuju. Dia sememangnya tiada apa yang hendak dilakukan petang itu. Lagipun dia perlu menenangkan dirinya.

"Pukul 2.30 June ambil Dani," ujar June.

"Okey," balas Dani pantas.

MEREKA tiba di Space U8 kurang seminit jam 3.00 petang. Dani segera mendapatkan tiket. June pula ke ruang menjual makanan dan minuman ringan. Selepas itu, mereka segera masuk ke dewan tayangan. Tayangan itu baru sahaja bermula saat mereka masuk.

Ketika tayangan filem yang bergenre komedi romantik itu berlangsung, para penonton mengosongkan fikiran dan menumpukan mata sepenuh perhatian pada layar gergasi. Kebanyakkan penonton terdiri dari kalangan muda-mudi yang barangkali sedang mabuk cinta. Filem sekuel lakonan Dian Sastrowardoyo dan Nicholas Saputra itu nyata menjadi satu filem yang ditunggu-tunggu selepas filem pertama yang bertaraf box office dan pecah panggung ditayangkan pada tahun 2002, kira-kira 14 tahun yang lalu. Mereka seperti mahu mengetahui kesudahan cerita antara Cinta dan Rangga.

June turut menyertai mereka. Namun, Dani tidak dapat menumpukan perhatiannya pada skrin gergasi di hadapannya. Fikirannya melayang-layang mengingati peristiwa yang dimimpinya lewat petang semalam. Kejadian itu dirasakannya seperti baru berlaku semalam. Dapat diingatinya rentetan drama tragis itu dari awal hingga akhir.

"Ayumi..." Tiba-tiba mulutnya mengeluh sepi.

"Dani, are you okay?" soal June di sebelahnya. Telinganya dapat menangkap apa yang disebut oleh Dani itu.

Dani termangu-mangu bila bahunya disentuh oleh June. Dia tidak menjawab soalan June itu tapi sebaliknya bangun dan melangkah keluar. June jadi semakin hairan. Dia turut bingkas bangun dan mengejar Dani dari belakang.

Dani menghilang ke dalam tandas di luar dewan tayangan itu buat seketika. June terpaksa menunggunya.

Dani memandang kosong ke arah cermin tandas. Pili paip dibukanya. Air dingin kemudian disimbah ke mukanya tiga kali. Nafas panjang ditariknya berulang kali. Setelah sedikit tenang, dia keluar semula. June segera mendapatkannya.

"Dani, are you okay?" soal June sekali lagi.

"I'm so sorry, June. Saya rosakkan malam ini." Dani bersuara kesal.

"Tak apa. Dani okey?" ungkap June dengan terus bertanyakan soalan yang sama.

Dani bungkam. Dia tidak tahu bagaimana untuk dia menjelaskan kepada June. Riak mukanya jelas menceritakan kebuntuannya.

"Okey begini, kita cari tempat duduk dulu," cadang June cuba menenangkan keadaan. Hatinya turut dilanda kerisauan.

Mereka turun ke tingkat paling bawah kompleks yang sedikit lenggang itu. Namun, terdapat satu keluarga sedang beristirahat di situ sambil melihat anak-anak mereka yang sedang bermain kasut roda di sekitar itu. Menyedari Dani perlukan privasi, June mengajak Dani ke tempat parkir kereta. Mereka kemudian masuk ke dalam kereta. June menghidupkan enjin kereta dan pendingin hawa. Selepas mendiamkan diri seketika, Dani mula bercerita.

"Sewaktu di Jepun dulu, saya berkenalan dengan seorang gadis Jepun bernama Ayumi. Sama-sama belajar di Universiti Tsukuba. Sama kelas dan pengkhususan. Kami kemudian bersama dua orang lagi rakan menubuhkan sebuah kumpulan muzik yang diberi nama The Plastic Tree. Saya dan Ayumi kemudian bercinta. Waktu itu, kami boleh diibaratkan seperti John Lennon dengan Yoko. Saya sangat mencintai dia. Dia baik, cantik dan ada keserasian antara kami berdua."

"Tamat belajar, saya dan Ayumi merancang untuk bertunang. Hanya tunggu keluarga saya datang dari Malaysia. Ayumi ketika itu juga sudah mendalami Islam. Tahun itu kami sibuk dengan persembahan jelajah seluruh Jepun. Suatu hari itu, kami dapat undangan untuk bermain muzik di satu festival muzik di Osaka, jadi band pembuka kepada sebuah band antarabangsa dari England. Awal pagi sebelumnya, kami berangkat ke Osaka dengan berkonvoi dua buah kenderaan. Saya pandu sebuah van Camper Volkswagen yang membawa peralatan muzik kami dan Ayumi duduk di sebelah. Dalam perjalanan, hujan turun. Mulanya renyai sahaja, tapi kemudian lebat. Sungguh lebat. Tiba-tiba van yang saya pandu hilang kawalan lalu..."

Cerita Dani terhenti. Hatinya tiba-tiba jadi sayu. Air mata mula mengalir di pipinya.

"Dan... Dan... Kereta yang saya pandu itu terbabas melanggar pembahagi jalan dan berpusing-pusing beberapa kali sebelum terbalik di tengah lebuh raya. Kemudian, datang sebuah kenderaan lain melanggar kereta kami. Ayumi terpelanting dan..."

Sekali lagi cerita Dani terhenti. Sebak di dadanya makin memuncak. Air jernih di pipinya kini mengalir lebih laju.

"Sabar ya, Dani," pujuk June, mengerti kesudahan cerita itu. Kepala Dani dibawa ke bahunya. Dani menangis semahu-mahunya. Melihat keadaan Dani yang kesedihan itu, June terus menghantar Dani pulang ke apartmennya untuk berehat.

Dani masih bersandar di sofa. Dia di situ sejak June menghantarnya tadi tanpa berganjak selangkah pun. Seolah-olah dia telah terpaku di situ. Hatinya masih bersarang rasa kesal kerana membuatkan June tidak sempat mengetahui kesudahan filem yang ditontonnya tadi.

Ruang legar fikirannya kemudian memadam rasa itu dan menggantinya dengan keresahan. Saat-saat terakhirnya bersama Ayumi terimbau sedikit demi sedikit. Pantas dia teringatkan sebuah kotak yang dilihatnya sewaktu mencari gitar di dalam stor. Dia bingkas bangun dan menyusun langkah ke arah stor yang terletak di antara bilik utama dengan bilik kedua apartmennya itu.

Tombol pintu stor dipulasnya sebelum menguak daun pintu itu. Suis lampu dibukanya. Pantas anak matanya menjejaki kotak yang dicarinya itu. Selepas seketika melilau, anak matanya itu dapat menjejaki sebuah kotak yang sedikit terperosok di bawah timbunan barang-barang. Selepas mengalih sedikit barang-barang yang menindan, kotak itu ditariknya keluar. Kemudian kotak yang tertulis nama Ayumi itu dibawanya ke ruang tamu dan meletakkannya di atas meja tamu.

Dia membuka pintu gelangsar di bahagian balkoni supaya aliran angin dapat keluar masuk. Langsir yang melindungi cahaya matahari juga diselaknya luas. Dia mendapatkan semula kotak yang diletakkannya di meja tamu tadi dan membuang habuk yang ada pada kotak itu.

Perlahan-lahan tangannya membuka selofan yang membungkus kemas kotak itu sebelum dibuka. Hatinya sayu tatkala melihat beberapa barang peribadi Ayumi. Tangannya kemudian terpegang satu helaian skor lagu. Hatinya makin diserbu rasa sebak setelah melihat kata-kata...

AYUMI N DANI, A PERFECT MATCH!

Kata-kata yang tercatit dalam simbol hati pada satu sudut helaian skor lagu itu. Anak matanya kemudian teralih kepada satu pendrive. Segera diambil laptopnya untuk melihat isi kandungan pendrive itu. Selepas menunggu seketika, dia mencucuk pendrive itu ke satu lubang di sisi laptopnya. Kemudian, tertera beberapa fail maklumat di skrin. Anak matanya lebih tertarik kepada satu video yang tertulis kata-kata yang sama yang tercatit pada skor lagu dilihatnya tadi. Dia segera menekan butang Enter untuk memainkan video itu.

Matanya terpaku dengan visual yang tertayang pada skrin. Pantas dia mengingati waktu video itu terakam. Ketika itu mereka berada di studio mini di apartmen Ayumi. Ayumi mahu memperdengarkan kepadanya sebuah lagu baru ciptaannya. Dia mahu Dani mengolah lagu itu menjadi lebih baik untuk dijadikan single album terbaru band mereka. Sambil memetik piano, dia melagukan melodi lagu itu. Dani kemudian mencapai gitar dan mengiringinya. Nyata lagu itu mempunyai melodi yang cukup indah.

Hati Dani tiba-tiba menjadi lebih haru bila mengenangkan lagu itu tidak sempat dirakam mereka. Mengikut perancangan, mereka mahu merakam lagu itu selepas balik dari konsert di Osaka. Dani tak sanggup lagi melihat video itu. Hatinya dirasakan seperti terhiris dengan kaca. Tanpa disedarinya pipinya sudah basah. Dia segera menutup laptopnya.

BADI BUDDYWhere stories live. Discover now