MALAM kian larut. Dani masih belum dapat memejamkan matanya. Ajakkan Hafifi tadi mula mengetuk pintu kamar fikirannya. Dirasakan seperti ada batu harapan yang berat terkandar di bahunya.
Dulu, memang muzik adalah keghairahannya. Nama The Plastic Tree juga cukup gah di persada muzik Indie di kepulauan Honshu. Populariti mereka juga pantas meredah lautan hingga ke Hokkaido, Kyushu dan Shikoku. Dani juga pernah digelar sebagai jelmaan Kurt Cobain kerana bakat semula jadi yang dimilikinya dalam penciptaan lagu, suara dan gaya persembahannya yang sentiasa bertenaga. Paling yang ditunggu oleh khalayak setiap kali persembahan pentas oleh The Plastic Tree pastinya petikan gitar solo Dani yang mengasyikkan dan ada elemen nusantara yang tebal.
Banyak juga anugerah telah dirangkul oleh The Plastic Tree sepanjang enam tahun berada dalam industri muzik Jepun. Tapi sayang, hasrat untuk membawa The Plastic Tree balik ke Malaysia dan menembusi pasaran antarabangsa tidak kesampaian selepas kematian Ayumi. Oleh sebab itulah juga The Plastic Tree terbubar.
Selepas The Plastic Tree terbubar, Hafifi mendirikan rumah tangga dan pulang ke tanah air. Begitu juga Kobayashi, pemain bass yang membawa haluan sebagai pemuzik undangan dan promoter gig di sekitar Tokyo. Dani pula, dengan dibantu oleh abang Ayumi dia menguruskan syarikat pengiklanan yang ditubuhkannya bersama Ayumi. Namun, perniagaan itu menuju kehancuran ekoran Dani yang kemurungan. Akhirnya, selepas setahun kematian Ayumi, dia membuat keputusan kembali ke Malaysia.
Satu hela nafas dilepaskannya. Kepalanya disandarkan pada kepala katil beralaskan bantal. Fikirannya sedikit demi sedikit terkenangkan saat-saat sebelum kejadian kemalangan itu berlaku.
Tokyo, 2014...
DANI berlari anak memanjat setiap mata tangga kediaman Ayumi di tingkat atas bangunan syarikat pengiklanan yang ditubuhkan mereka berdua. Jelas keriangan di raut wajahnya. Sudah lama dia mengimpikan peluang untuk berkongsi pentas dengan band muzik kegemarannya dari England. Dia sendiri tidak menyangka akan mendapat peluang keemasan itu. Mereka mendapat tawaran itu seminggu yang lalu. Seminggu itu juga mereka berlatih dengan bersungguh-sungguh.
Selesai sahaja kerja-kerja memasukkan peralatan muzik ke dalam van Volkswagen kepunyaan Ayumi, Dani segera mendapatkan Ayumi yang meminta diri untuk tidur seketika selepas latihan terakhir lewat malam tadi. Mereka sepakat untuk bergerak pada awal pagi ke Osaka.
Pintu kayu diketuknya berulang kali dengan hati berbunga riang. Selepas menunggu seketika, Ayumi membuka pintu. Ayumi kelihatan pucat dan keletihan.
"Nona Manis okey?" Dani pantas menyedari akan hal itu. Sejak bergelar pasangan kekasih, mereka membahasakan diri masing-masing sebagai Nona Manis dan Sayang kerana Ayumi cukup gemar dua perkataan itu.
"Okey," balas Ayumi pendek. Suaranya jelas tidak bermaya.
"Tapi sayang lihat muka Nona Manis pucat. Betul Nona Manis tak apa-apa?"
Ayumi tidak memberi apa-apa respons. Dia sekadar melangkah ke arah sofa di ruang tamu dan perlahan-lahan merebahkan tubuhnya kembali di atas sofa itu. Rupa-rupanya, sejak pulang dari latihan tadi, dia tertidur di atas sofa itu.
Selepas menuntup pintu, Dani segera mendekati Ayumi. Tangannya menyentuh dahi Ayumi.
"Panasnya, Nona Manis demam," ujar Dani. Rasa cemas menyentak fikirannya.
"Sedikit sahaja," balas Ayumi pantas. Dia tidak mahu menimbulkan rasa gusar kepada Dani walaupun hakikatnya dia berasa sungguh lemah ketika itu. Dia tidak mahu mengecewakan impian Dani. Selama ini, Dani telah bekerja keras menaikkan nama The Plastic Tree demi mencari peluang untuk mengembangkan muzik mereka ke arus perdana dan ke persada antarabangsa. Jadi, peluang menjadi pembuka acara kepada band yang terkenal di peringkat antarabangsa itu adalah satu peluang keemasan. Dia juga sedar peluang sebegitu hanya datang sekali.
YOU ARE READING
BADI BUDDY
General FictionTajuk: Badi Buddy Penulis: Marki Miharbi Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-040-3 Harga: RM22.00 (Semenanjung) // RM25.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Februari 2017