Rawan jua hati seorang lelaki,
andainya cinta itu datang dan pergi,
berkali-kali...
DEDAUN waktu berguguran lagi. Persis kuntum-kuntum sakura pada musim luruh. Musim silih berganti. Kitar usia juga pantas berpusing. Hari baru muncul sekali lagi.
Dani bangkit dari lena yang panjang. Sambil mengurut muka sembapnya, satu hela nafas dihembus tak bermaya. Perlahan-lahan dia bangun dan menapak ke jendela. Langsir diselak lalu pandangannya dilemparkan ke sekeliling. Jalur-jalur cahaya mentari mula jingga di kaki langit. Bunyi bising enjin dan roda kereta api menyusup ke liang telinganya tatkala melintasi sebuah kereta api yang membawa berpuluh-puluh gerabak panjang di atas landasan di sebelah Apartmen Komuter Raya itu.
Dia termenung seketika di jendela itu. Dedaun waktu disedarinya kian bersilih. Kitarannya juga dirasakan pantas sekali. Satu lagi hari yang baru. Namun, untuknya hari itu tetap suatu hari yang kosong dan sepi.
Perlahan-lahan tubuhnya dipusingkan. Dia menapak ke arah penyidai tuala. Sehelai tuala tebal dicapainya dan dililit ke pinggang. Langkah kemudian diaturnya ke arah ruang tamu apartmen yang baru seminggu diinapnya itu. Suis sebuah radio antik yang dibeli di pasar karat Shah Alam semalam dipetiknya. Omelan Halim Othman, Fizi dan Zulin kemudian menguasai ruang itu. Apa yang dicelotehkan tiga DJ itu sekadar menyusup sepintas lalu ke liang telinganya. Langkah kaki membawanya masuk ke bilik air.
Dia memandang kosong ke arah cermin yang terlekat di dinding di atas singki. Wajah cengkung dan lesunya terpantul di cermin itu. Rambutnya yang kian menjurai ke bahu juga kusut-masai. Sudah sekian lama tidak diuruskan dengan baik. Rerambut kasar juga sudah mula lebat dan liar di pinggir pipinya berselerak hingga ke bawah dagu. Hanya rerambut di bahagian atas bibirnya sahaja sedikit nipis. Tubuhnya juga semakin hari semakin susut. Lamunnya bertambah sepi. Sudah banyak yang berubah tentang dirinya.
Tangannya perlahan-lahan mencapai berus gigi. Cukup jelas perilaku seorang yang patah semangat. Dibubuh sedikit ubat gigi pada berus itu sebelum perlahan-lahan menyental giginya. Seketika, dia berkumur. Berus itu diletak semula ke dalam gelas di atas singki.
Tuala yang melilit pinggang ditanggalkan dan disangkut pada penyangkut yang terpaku di belakang pintu bilik air. Gerinya seperti anak sekolah yang malas membasah tubuh pada pagi hari. Segala-gala tentang hidupnya kini seolah-olah bergerak perlahan.
Pili paip diputar sehabis takuk. Air dingin kemudian terjun menjirus setiap inci tubuhnya. Dari hujung rambut ke hujung kaki. Kesejukan menyerap ke ulu hati. Lama juga dia membiarkan air paip itu membilas tubuhnya. Fikirannya sungguh kosong.
Lagu Yesterday dendangan The Beatles sayup-sayup kedengaran dari corong radio ketika dia keluar melewati pintu bilik air. Sehelai kemeja coklat berjalur kecil berjenama Padini kemudian dikenakan ke badannya dan dipadankan dengan slek cerah jenama Industrial. Seketika dia merapikan sedikit rambutnya di hadapan cermin sebelum menuju ke ruang dapur.
Sisa kopi malam tadi dihirup dua tiga teguk untuk membasahkan tekaknya. Rasa kelat sedikit payah untuk ditelannya. Selepas bendalir pahit hitam pekat dan berkeladak itu terjun ke perut, dia menggalas beg sandangnya. Sepatu New Balance hitam pekat disarungkan ke kaki. Sebelum melewati pintu, dia mencapai sebuah topi keledar yang rupanya seakan-akan cangkerang seekor kura-kura dari atas rak kasut.
Beberapa ketika kemudian, Vespa LX150 berwarna jingga yang baru beberapa hari dibeli membawanya meluncur ke tempat kerja dengan menyusuri Lebuhraya Persekutuan yang mula disesakkan dengan ratusan kenderaan yang satu hala tujuan, menuju ke ibu kota Kuala Lumpur.
Hari ini merupakan hari pertama dia bertugas di Yellow House, iaitu sebuah syarikat pengiklanan yang terletak di Bangsar South. Dia sebenarnya sudah ditawarkan jawatan di syarikat itu sejak dia berada di Tokyo lagi atas usaha rakan karibnya, Hafifi yang terlebih dahulu pulang ke Malaysia selepas tamat pengajian di Jepun.
YOU ARE READING
BADI BUDDY
General FictionTajuk: Badi Buddy Penulis: Marki Miharbi Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-040-3 Harga: RM22.00 (Semenanjung) // RM25.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Februari 2017