SETIBA di apartmennya, sudah masuk waktu maghrib. Terus dia ke bilik air. Beberapa ketika kemudian, dia melabuhkan punggung di atas sofa dengan hanya bertuala. Jarinya segera menekan alat kawalan jauh TV. Saluran berita diikutinya. Selepas seketika, segala yang disampaikan pembaca berita tidak lagi masuk ke kornea mata dan liang telinganya. Tiada berita yang menarik perhatiannya. Alat kawalan jauh TV sekali lagi dicapainya. Saluran 551 kemudian ditekan.
Selepas meletak semula alat kawalan jauh TV ke atas meja tamu di hadapannya, perlahan-lahan dia bersandar pada sofa dengan kedua-dua tapak tangan menjadi alas belakang kepala. Seketika, rancangan di saluran Discovery Journal itu memaku matanya ke layar skrin. Namun kemudian, mata kuyunya perlahan-lahan dilarikan ke arah siling. Siling itu direnung kosong.
Belum sempat dia mengalamun jauh, telefon bimbitnya berdering. Dia segera mengambil telefon yang bergetar di atas meja tamu di hadapannya.
"Helo..."
"Waalaikumussalam."
"Sihat."
"Belum."
"Pun belum."
"Okey."
Ringkas sahaja setiap balasannya. Perbualan dengan ibunya itu tidak berlangsung lebih lama kerana dia tiada lagi keterujaan seperti dahulu. Ibunya bertanyakan tentang kesihatannya dan mengambil berat tentang soal amal ibadat dan makan minumnya. Perbualan itu ternoktah dengan kehambaran. Sedikit bersarang juga rasa kesal dalam hatinya. Sejak kembali semula ke Malaysia, dia belum lagi menjejakkan kaki ke kampung halamannya untuk berjumpa dengan kedua-dua orang tua dan ahli keluarganya yang lain.
Selepas meletak telefon, dia masuk ke kamar tidurnya. Tuala yang melilit pinggangnya ditukarkan dengan kain pelekat dan sehelai T-shirt kosong.
Segera dikerjakan solat maghrib yang waktunya kian menuju kemuncak seperti yang diingatkan oleh ibunya sebentar tadi. Selesai sahaja solat maghrib dia terus menyambung dengan solat 4 rakaat selepas mendengar azan dari surau berdekatan. Usai solat isyak, dia menukar kain pelekat kepada seluar pendek. Tubuhnya kemudian direbahkan ke atas sofa di ruang tamu.
Perutnya tiba-tiba merintih minta diisi. Sambil memegang perut, dia bingkas bangun dan menapak ke ruang dapur. Malam-malam begitu, dia malas nak keluar ke restoran. Pintu kecil kabinet dapur dibukanya. Sepaket Maggi perisa kari dikeluarkan dari kabinet itu. Kemudian, dia menjerang air menggunakan heater. Seminit menunggu, suis heater berbingkas menandakan air yang dijerang sudah masak. Air menggelegak itu terus dijirusnya pada Maggi yang sudah diletakkan di dalam sebuah mangkuk seramik.
Selepas menutup mi Maggi yang direndam air panas itu dengan pinggan seketika, dia membawa mangkuk itu ke ruang tamu. Dia mencuah dua tiga titik sos cili ke dalam mangkuk yang masih berasap itu dan dia menikmati mi segera itu sambil menonton filem Rock Ooo yang sedang ditayangkan di saluran Astro Citra.
Dia menonton filem arahan Mamat Khalid itu sehingga penamatnya. Tercuit juga hatinya bila mengenangkan filem yang mengandungi unsur komedi itu. Jalan ceritanya juga seperti dekat dengan kehidupannya suatu ketika dulu, ghairah untuk mencipta nama di persada industri muzik. Menempuh pelbagai onak cabaran. Bermula dengan satu pertandingan Battle Of The Band hinggalah menjelajah pentas ke pentas saban minggu. Pengembaraan seni muziknya juga tak ubah seperti penamat cerita itu, cuma bandnya terbubar ketika sedang berada di kemuncak dan dengan cara yang berbeza.
Menjelang tengah malam itu, dia menjengah balkoni untuk mengambil sedikit angin malam. Malam tika itu kian larut. Dakwat gelap makin memekat. Hanya lampu jalan menerangi beberapa sudut kawasan. Suasana di landasan kereta api bersebelahan apartmen itu juga kelihatan sunyi. Satu nafas dalam dihela sebelum dia berlalu ke bilik.
Tubuhnya kemudian perlahan-lahan direbahkan ke atas tilam. Tangannya seraya menyilang di atas dahi. Anak matanya mengikut ritma kipas yang berputar di siling. Fikirannya cuba menyerap kekosongan.
Sayang...
Tak semena-mena bisikan itu mendayu bersama angin dingin yang menghembus dari bilah-bilah kipas ke telinganya.
"Ayumi?"
Bingkasnya dengan anak mata terkebil-kebil. Dia gelisah mencari Ayumi di sekeliling. Namun, Susuk Ayumi gagal dijejaki. Hatinya hampa bila menyedari itu hanyalah satu ilusi.
Dia merebahkan semula badannya ke atas tilam. Fikirannya mula menerawang ke kota Tokyo beberapa tahun yang lalu.
Tokyo, 2010...
LANGIT cukup cemerlang petang itu. Awan mendung berarak bersama bayu dingin. Sepasang kekasih kelihatan sedang memadu kasih di atas bumbung van Volkswagen menghadap horizontal luas di pinggir Tokyo Bay itu. Dari kejauhan kelihatan Rainbow Brigde yang megah merentangi lautan yang membiru.
"Sayang betul cintakan Nona Manis?"
Ayumi memang cukup gemar dengan dua kata panggilan itu. Katanya, panggilan itu memberi maksud yang mendalam. Dani hanya menurutinya saja walaupun dia sendiri kurang mengerti abstrak itu. Namun, Dani sedar dengan kata panggilan itu, rasa cintanya terhadap Ayumi terikat utuh. Baginya, keikhlasan Ayumi adalah bukti kesungguhan cinta mereka.
Dani mengangguk dengan iringan senyuman walau anak matanya ke horizontal luas. Bayu dingin dari dataran laut biru perlahan-lahan menyentuh kulit mukanya. Rambut paras bahunya turut terbuai. Ayumi kemudian menyandarkan kepala ke atas bahu Dani. Seraya Dani mengusap-usap rambut Ayumi yang lembut.
"Kenapa?" tanya Ayumi lagi.
"Sebab Nona Manis cantik macam Snow White," balas Dani sambil mencuit hidung Ayumi. Anak mata Ayumi yang sedikit sepet tatkala itu bersinar. Dani melihatnya dengan pegun.
"Sungguh?" soal Ayumi lagi dengan suara yang lebih manja.
"Yup," balas Dani ringkas tapi bersungguh. Ayumi melirik senyum sebelum terdiam buat beberapa ketika.
"Sayang, apa akan jadi kepada kita di depan hari nanti?" soal Ayumi selepas keluar dari dunia lamunannya.
Dani yang asyik menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan sedikit terpinga bila mendengar soalan itu. Pandangannya segera dipalingkan ke wajah Ayumi. Satu senyuman diukir seperti selalu dibuatnya setiap kali menatap wajah tenang Ayumi.
"Emmm... Kita akan kahwin. Kita bina rumah impian kita. Kita akan ada Putra dan Putri. Kita warnai kehidupan keluarga kita dengan pelangi. Dan sayang akan pastikan kita hidup bahagia sentiasa." Dani memberi jawapannya dengan wajah yang berbunga.
Ayumi melirik senyum bila mendengar kata-kata Dani itu.
"Sayang percaya itu?" Namun, senyuman Ayumi tak sempat melirik. Dia terus bermain dengan kata tanya.
"Apa?" Dani mengerut dahinya. Dirasakan soalan Ayumi itu sedikit aneh.
"Perjalanan hidup kita akan sejauh itu." Ayumi menjawab dengan wajah seperti memendam sesuatu.
"Ya, pasti." Dani jawab dangan yakin.
Ayumi perlahan-lahan mengalih pandangannya ke arah lautan. Dia seperti memikirkan sesuatu yang meresahkan. Dani dapat menjejaki kekhuatiran di wajah Ayumi. Namun, entah apa yang bermain di dalam kotak fikiran Ayumi ketika itu, dia tidak pasti.
Dani kembali semula ke alam nyata. Dia berfikir tentang peristiwa yang dilamunkannya tadi. Satu rumusan kemudian tersimpul di kamar fikirannya itu.
"Oh, Nona Manisku... Kau sudah tahu yang kau akan pergi meninggalkan aku rupa-rupanya," keluh Dani sepi.
Suis lampu di atas meja di sisi katil kemudian dipetiknya untuk menutup lampu kecil itu. Kini ruang biliknya itu gelap gelap. Dan ia bertambah gelap bila Dani memejamkan matanya.
YOU ARE READING
BADI BUDDY
General FictionTajuk: Badi Buddy Penulis: Marki Miharbi Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-040-3 Harga: RM22.00 (Semenanjung) // RM25.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Februari 2017