Bab 8

217 2 0
                                    

DANI tiba di pejabatnya sedikit awal pagi itu. Rakan-rakan sepejabatnya yang lain belum tiba. Dia menapak tenang ke arah bilik pejabatnya. Daun pintu bilik itu ditolak perlahan. Ada sedikit kejutan saat dia melangkah masuk. Ruang pejabatnya itu kemas dan tersusun. Hatinya menduga tentu Miss Janet telah mengarahkan pekerja pencuci pejabat membersihkan biliknya itu.

Beg sandangnya diletakkan di atas meja. Kakinya kemudian menapak ke arah tingkap. Langsir diselak luas-luasnya. Cahaya menerobos masuk. Panorama pagi kota Kuala Lumpur terhidang di layar matanya. Kenderaan mula bersesak di atas jalan. Penunggang motosikal celah-mencelah. Batang-batang tubuh manusia berpusu-pusu turun dari bas-bas yang berhenti di hentian. Pelayan-pelayan restoran mamak juga mula sibuk mengambil pesanan. Kota Kuala Lumpur tidak pernah sunyi.

Dani kembali semula ke meja. Dia menarik kerusi dan melabuh punggungnya. Ketika membuka beg sandang, anak matanya sempat menjeling papan memo yang tergantung di dinding bilik pejabatnya itu. Ada tiga memo terlekat di situ. Dia bingkas bangun semula. Memo-memo itu ditanggalkan. Segera dibaca. Dua memo itu adalah berkaitan dengan tugasan baru. Manakala satu lagi adalah jemputan makan malam daripada Japan Motors.

Pantas Dani teringatkan June. June cukup ramah walaupun baru saja mengenalinya. Rumusan itu tersimpul dalam hatinya.

Dia duduk semula. Dia merenung kosong ke segenap ruang biliknya itu. Tangan kanannya yang berbalut tiba-tiba berdenyut pedih. Lantas anak matanya mengalih pandang kepada tangannya itu. Peristiwa malam tadi menerjah ke fikirannya.

Sedang dia mula dipanggil ke alam lamun, tak semena-mena pintu biliknya diketuk. Terjongol di muka pintu, Si Amira.

"Awal datang hari ini?"

Dani sekadar mengukir sengih. Dia faham maksud Amira itu. Pekerja penyambut tetamu itu bukan memujinya tapi memerlinya. Selama ini, dia merupakan staf Yellow House yang paling lewat tiba. Boleh dikatakan setiap hari.

"Dah baca memo?" soal Amira kemudian.

Dani mengangguk.

"Okey, saya nak pastikan itu sahaja," ujar Amira sebelum menutup semula pintu.

Dani memulakan tugasannya pagi itu dengan menyemak fail tugasan baru yang tersusun di penjuru meja. Dia membelek helaian-helaian dokumen di dalam fail itu. Segala butiran cuba difahaminya. Kemudian, dia menekan butang suis komputernya. Sementara menunggu komputer itu loading, dia bangun dan memulas tombol pintu bilik pejabatnya. Kakinya melewati pintu itu dan menapak ke arah ruang dapur mini. Terasa tekaknya merintih minta dijirus kopi pekat.

Tiba di ruang itu, tangannya pantas mencapai sebiji mug. Serbuk kopi dicedokkan ke dalam mug itu. Air panas yang telah sedia dimasak oleh Amira kemudian dijiruskan ke dalam mug itu. Dia mengacau sehingga serbuk kopi sebati dengan air panas.

"Hai Dani, dah baik demam?" sapa Jessica.

"Hai," balas Dani ringkas. Disusuli satu anggukan.

"Kenapa dengan tangan?" soal Jessica lagi.

"Tak ada apa-apa, terhiris kaca gelas."

"Ayo, awak ini macam satu peribahasa. Sudah jatuh ditimpa... Ditimpa apa, ya?" Jessica mengentuk-ngetuk dahinya selepas gagal mengingati peribahasa yang turut tertulis dalam soalan peperiksaan anaknya yang disemak malam tadi.

"Ditimpa tangga," celah Amira yang tiba-tiba muncul di ruang itu.

"Hah! Betul. Sudah jatuh ditimpa tangga," tukas Jessica.

Dani sekadar melebarkan sengihannya.

"Sudahlah demam, tercedera pula tangan." Jessica terus memperincikan maksud peribahasa itu.

BADI BUDDYWhere stories live. Discover now