Epilog (Flashback)

1K 97 13
                                    

2014

Hasya POV.

Di atas bukit. Angin menderu laju. Seakan membisik kalimah-kalimah yang entah apa-apa. Menyapa perlahan tubuh yang sememangnya kedinginan di dalam. Pokok bergerak-gerak. Awan mendung berarak perlahan. Seperti bersatu melindungi segala hidupan dari terik matahari.

Lutut aku peluk erat. Di sini lah tempat kita berkenalan. Di sini lah tempat kita mula-mula menjadi rapat. Di sini lah tempat kita meluah pelbagai cerita. Kenapa kau masih tak nampak? Setelah semua benda yang telah aku buat? Kenapa Adib? Kenapa?

Dada aku sebak. Tak larat menahan rasa sakit. Dengan cas yang kian menghentam platlet di dalam salur darah. Menelan dan menghancurkan mereka tanpa mengira masa. Terasa basah di atas bibir, aku lap dengan lengan baju kanan. Darah cair itu aku pandang biasa. Apa sangatlah sakit ini dengan kesakitan yang aku pendam.

Kepala hoodie aku tarik bagi menutupi bahagian dahi. Sejuk. Aku tekan tangan pada dada. Terasa menjalar-jalar kesakitan di dalamnya. Plastik ubat dikeluarkan, aku telan sebiji ubat dan sebiji lagi. Kemudian mengambil botol air di tepi dan meneguknya. Helaan lega aku lepaskan. Rasa sakit masih terasa tapi sekejap lagi mesti hilang. Jika aku ada peluang untuk memilih, aku memilih untuk teruskan hidup dan berusaha sebaik mungkin untuk bahagiakan Adib.

"Hasya, ni ubat."

Hakim menegur dari belakang kemudian duduk di sebelah aku. Menghulur botol ubat namun aku menggeleng. "Aku okay lagi..." balas aku.

Hakim tersenyum nipis. "Ingat Adib ke?" soalnya.

"Macam biasa lah."

Hakim ketawa sekejap.

"Kau tahu tak Sya, kau lah orang paling kuat aku pernah jumpa. Kalau satu dunia tentang kau sekalipun, aku rasa kau tetap dengan pendirian kau. Percaya dengan apa yang kau nak percaya. Angkat apa yang kau nak angkat."

Aku berdecit, "Bodek aku ke, Hakim?"

"Tak lah. Serius. Aku tak pernah jumpa orang macam kau. Macam dunia ini kau yang punya!"

"Kau apahal hahaha..."

Hakim mengusap-usap rambut kemudian tersengih. "Saja... aku tak pernah suka orang, Sya. Kau rasa salah ke kalau aku bagitahu yang aku sukakan kau? Eh tapi sumpah aku tak nak bercinta ke apa... aku cuma sukakan kau." Ucap Hakim. Ini entah kali ke berapa dia memberitahu aku tentang itu.

"Kau ni tak habis-habis."

"Tapi aku tahu kau sukakan Adib. Dari kecik kau sukakan dia. Aku tak nak ganggu kau atau apa-apa... cukuplah kau tahu kalau kau sesak ke apa... kau ada aku." Hakim berkerut dahi lepas berkata.

"Kenapa?" tanya aku.

"Darah."

"Oh, geli ke?" Aku tengok lengan baju yang basah dengan sedikit darah.

"Takdelah. Kau ni pengotor betul. Gunalah tisu ke apa..."

"Kau budak bandar, baik kau diam." balas aku.

Hakim ketawa. "Haihhh kenapa lah kita tak jumpa awal-awal. Adib ni potong betul."

Aku alih kembali pandangan ke kawasan hutan. "Apa boleh buat..."

Tak Percaya Cinta [Completed]Where stories live. Discover now