BAB 1

141 7 17
                                    

Suasana di taman permainan ketika itu sungguh riuh dengan suara kanak-kanak yang sedang asyik bermain. Pelbagai gelagat boleh dilihat. Ada yang bermain buaian, jongkang-jongket, gelongsor serta alat permainan yang lain yang terdapat di taman permainan tersebut. Tidak kurang juga yang bermain basikal serta layang-layang. Di suatu sudut di taman tersebut, kelihatan seorang gadis bertudung hitam dikerumuni sekumpulan kanak-kanak. Gadis itu sepertinya sedang mengagihkan sesuatu. Kanak-kanak itu pula kelihatan sungguh girang tatkala menerima pemberian gadis itu.

Ris. Itulah gerangan bagi si gadis bertudung itu. Gemar sungguh dia bermain bersama kanak-kanak tersebut. Memandangkan dia sendiri tidak berkeluarga, maka kanak-kanak itu dianggap seperti adik-adiknya sendiri. Setelah bermain untuk beberapa ketika, Ris mengucapkan selamat tinggal kepada kumpulan kanak-kanak itu sebelum mengorak langkah menuju ke rumah sewanya yang terletak tidak jauh dari taman tersebut. Kedengaran suara kanak-kanak itu mengeluh tetapi pantas dipujuk oleh Ris.

Salam diberi sebelum kaki dijejakkan ke dalam rumah itu. Hanya satu suara sahaja yang menyambut salam Ris. Itu pun dalam nada yang penuh kemalasan. Teman serumahnya yang lain hanya memandang dingin ke arah Ris yang tersenyum lebar di muka pintu sebelum kembali melakukan aktiviti masing-masing. Ya, hubungannya dengan rakan serumahnya yang lain kurang baik. Ris sendiri tidak tahu mana silapnya. Pelbagai cara digunakan Ris untuk bermesra dengan mereka tetapi hampa. Pada mulanya Ris agak terasa dengan cara layanan mereka. Lama-kelamaan dia sudah mulai membiasakan diri dengan situasi tersebut. Alah bisa tegal biasa. Memandangkan sudah hampir 3 tahun Ris tinggal sebumbung dengan mereka semua, maka Ris tidak menghiraukan lagi gelagat mereka itu.

Melihatkan situasi yang dingin itu, Ris segera menuju ke biliknya. Untuk apa dia terpacak di situ jika tiada siapa yang mengendahkannya. Beg selempang kulit cap pasar malamnya diletakkan di atas katilnya. Tudung hitam yang tersarung kemas dikepalanya di buka sebelum tubuhnya direbahkan sebentar di atas katil bagi menghilangkan lenguh pada badannya. Seharian bekerja, sudah tentu penat bukan. Tambahan pula kerjanya tidak seperti gadis-gadis yang lain. Bekerja di bahagian gudang memaksa Ris mengangkat serta menyusun kotak-kotak yang besar lagi berat. Ris tidak punya pilihan lain selain bekerja di bahagian itu bersama para pekerja lelaki memandangkan tiada kekosongan di bahagian lain. Inilah akibatnya apabila hidup di ibu kota tanpa sebarang ijazah mahupun kelayakan-kelayakan lain yang lebih tinggi. Memang silap dirinya sendiri kerana tidak belajar bersungguh-sungguh dahulu.

Walau bagaimanpun, Ris tidak kisah dengan pekerjaan yang sedia ada. Asalkan dia mampu menampung kehidupan sehariannya tanpa menyusahkan orang lain dan yang pasti rezekinya itu halal. Setelah berbaring untuk beberapa minit, Ris bingkas bangun lalu mencapai tuala mandinya. Dia perlu segera bersiap kerana azan maghrib akan berkumandang tidak lama lagi. Begitulah kehidupan seharian Ris. Adakalanya, dia sendiri merasa bosan dengan rutin hariannya itu tetapi dia tidak boleh mengeluh. Barangkali, Allah ada perancangan yang lain buat dirinya di kemudian hari.

Keesokan harinya, Ris bercadang mahu bersiar-siar sebentar di pusat membeli belah yang berdekatan memandangkan hari itu merupakan hujung minggu. Tentu sesak jalan raya di ibu kota. Itu tidak menjadi masalah buat Ris kerana dia menggunakan motosikal. Kebiasaannya Ris akan memasakkan sarapan untuk rakan-rakan serumahnya pada hujung minggu. Apalah salahnya jika dia berbuat baik pada mereka walaupun dia tahu perbuatannya itu tidak akan dibalas. Ris melakukan kebaikan bukan kerana mengharapkan balasan tetapi ganjaran dari Tuhan. Setelah bersarapan, dengan hanya memakai kasut sneakers jenama Converse berwarna biru, berseluar jeans biru, berkemeja-t warna putih, berjaket kulit hitam serta bertudung bawal warna hitam, Ris menggalas beg selempangnya lalu menghidupkan enjin motor Modenas Kriss 110nya. Gaya Ris sememangnya ringkas. Dia tidak begitu gemar berpakaian ala-ala feminin. Maklum sajalah, Ris merupakan bekas tomboi. Meskipun dia telah berhijrah dan berhijab, itu tidak menghalang dirinya untuk terus berpakaian seperti itu. Paling penting, pemakaiannya tidak melanggar hukum syarak.

Bimbing Aku (ON HOLD)Where stories live. Discover now