BAB 3

63 6 18
                                    

Illustrasi: Kuih ketayap

Ris bersenandung sambil menyiapkan dirinya untuk ke tempat kerja. Terasa begitu bertenaga pada hari itu. Setelah menyarung kasutnya serta memakai topi keledar, Ris memulakan perjalanannya. Jalan raya ketika itu tidak begitu sibuk dan memudahkan perjalanan Ris. Dia gemar tiba awal di tempat kerjanya. Lebih mudah untuk melakukan tugasan. Sesampainya dia di satu selekoh, Ris memberhentikan motosikalnya di hadapan sebuah gerai kecil. Kelihatan seorang wanita berusia dalam lingkungan awal 40-an sedang tersenyum ke arah Ris.

"Assalamualaikum Kak Zie. Hari ni macam biasa. Karipap sepuluh ringgit, donat lima ringgit, cucur badak lima ringgit, pulut panggang lima ringgit dan kuih ketayap pun lima ringgit.", Ris menyapa mesra peniaga yang dipanggil Kak Zie itu sambil membuat pesanannya. Menjadi kebiasaan bagi Ris untuk singgah ke gerai Kak Zie terlebih dahulu sebelum ke tempat kerjanya.

" Kak Zie tahu dah. Ni akak dah siap bungkuskan dah. Suka betul ya kamu dengan kuih karipap. Sampai sepuluh ringgit kamu borong.", Kak Zie menghulurkan bungkusan kuih-muih yang dipesan oleh Ris. Ris tersenyum sumbing.

"Mestilah akak. Kuih karipap yang akak buat ni paling best tau. Bukan Ris saja yang suka, kawan-kawan Ris kat tempat kerja tu pun semua gilakan kuih-kuih akak ni. Kalau satu hari Ris tak beli, mesti diorang akan membebel kat Ris.", seraya itu Ris menghulurkan sekeping not RM50 pada Kak Zie sambil membuat isyarat agar Kak Zie menyimpan bakinya.

"Akak terharulah Ris. Hari-hari kau beli kuih-kuih akak. Lepas tu kalau ada baki mesti kau sedekahkan pada akak. Tak terbalas jasa kau Ris pada akak sekeluarga.", Kak Zie menyeka air matanya yang menitis. Hatinya tersentuh dengan sikap prihatin Ris. Sejak suaminya meninggal dunia 2 tahun yang lepas akibat kemalangan, Kak Zie terpaksa menyara 5 orang anaknya yang masih bersekolah dengan menjual kuih-muih. Ris adalah antara pelanggannya yang paling setia dan murah hati. Adakalanya Ris akan memborong habis jualan Kak Zie semata-mata mahu membantu Kak Zie. Kak Zie tahu, tidak mungkin kuih-kuih yang dibeli oleh Ris itu dimakannya seorang diri. Pasti Ris akan berikan pada kawan-kawannya di tempat kerjanya.

"Ish, akak ni. Tak payahlah touching-touching sangat. Apalah sangat yang Ris buat untuk akak sekeluarga. Ris bantu sekadar mampu je kak. Ada rezeki lebih, dapatlah Ris borong macam hari ni. Pijul mana kak?", Ris segera menukar topik. Dia tidak betah melihat Kak Zie yang sudah dianggapnya seperti kakaknya sendiri itu menangis. Sengaja dia bertanyakan soal anak bongsu Kak Zie yang baru berusia 3 tahun.

"Ada ni hah, tengah tidur. Yalah, awal-awal pagi akak dah kejutkan dia suruh ikut akak meniaga kat sini. Mana tak mengantuknya.", Kak Zie menunjukkan ke arah seorang kanak-kanak lelaki yang sedang nyenyak tidur di atas kerusi di balik kabinet gerai Kak Zie.

"Comel betul Ris tengok. Okaylah kak, Ris nak kena gerak dulu. Takut lambat pula nanti. Assalamualaikum.", setelah salamnya disambut Kak Zie, Ris menyambung perjalanannya untuk ke tempat kerjanya. Setibanya di kilang tempat Ris bekerja, dia segera menuju ke arah bahagian gudang sambil menjinjit beg-beg plastik yang mengandungi kuih-muih yang baru dibelinya.

"Assalamualaikum semua. Macam biasa bro, kuih karipap. Kongsi dengan yang lain. Jangan melantak sorang pula.", Ris menghulurkan salah satu dari beg plastik yang dibawanya pada salah seorang rakan sekerjanya. Serentak dengan itu, salam Ris dijawab oleh rakan-rakan sekerjanya.

"Terbaiklah kau ni Ris. Eh, takkanlah kuih karipap je. Tak ada ke yang lain?", Shah, rakan sekerja Ris yang sudah menerima bungkusan plastik dari Ris mula menjengukkan kepalanya ke arah bungkusan plastik yang masih digenggam oleh Ris.

"Tamak betullah kau ni, Shah. Nanti aku bagilah. Aku nak bagi kat budak-budak sana tu dulu. Kau kan dah banyak mencekik. Bagilah orang lain makan dulu.", Ris menyakat Shah yang sememangnya mempunyai tubuh badan yang sedikit gempal. Rakan-rakan sekerjanya yang lain hanya ketawa apabila melihat Shah mula membuat muka cemberut. Begitulah situasi di gudang itu setiap pagi. Pasti gamat dengan gurauan serta hilaian tawa para pekerja di gudang.

Bimbing Aku (ON HOLD)Where stories live. Discover now