Tiket percutian di atas mejanya direnung sambil kotak fikirannya cuba mengimbas memori silam. Perlahan-lahan satu senyuman manis terukir di bibirnya.
___________________________________________________________
"Wei, Qim. Kau tahu tak yang ada lawatan sambil belajar ke Pulau Tioman?" soal Ris dengan nada teruja. Aqim yang ketika itu sedang asyik mengulang kaji pelajaran segera mengalihkan pandangannya ke arah wajah Ris yang berseri dengan senyuman yang tak pernah padam.
"Oh, maksud kau lawatan anjuran Persatuan Pelajar Tingkatan 4 tu ke? Tahu, kenapa?" Aqim masih lagi dengan sikap acuh tidak acuhnya.
"Ish, kau ni Qim. Takkanlah kau tak tahu yang aku ini kan memang dah lama teringin nak pergi pulau itu. Aku nak pergilah lawatan itu, Qim", Ris meluahkan keinginannya pada Aqim. Aqim segera membulatkan matanya setelah mendengar kenyataan dari mulut Ris.
"Serius ke ni Ris? Tapi, aku dengar bayaran dia mahal lah. Mana nak keruk duit wei? Takkanlah kau nak minta duit pada Umi. Tak mampu Umi", Aqim mengutarakan pendapatnya dengan bersungguh-sungguh. Terkejut benar dia dengan keinginan Ris itu. Tidaklah menjadi satu kesalahan keinginan Ris itu tetapi jika diukur dari sudut kemampuan mereka, agak mustahil untuk dipenuhi. Ris sudah mula mengukirkan senyuman penuh makna.
"Itu lah yang aku nak bincang dengan kau ni. Aku fikirkan, aku nak buat kerja sambilanlah. Setakat untuk cukupkan bayaran pergi lawatan itu saja. Aku takkan minta pada Umi. Kau jangan risau, aku takkan susahkan Umi pun. Macam mana? Bagus tak idea aku?", Ris menjongketkan sebelah keningnya persis Ziana Zain.
"Okey juga idea kau itu. Tapi, kerja apa yang kau nak buat? Lagi satu, waktu bila kau nak kerja tu?"
"Aku dapat tahu yang warung Pak Dollah tepi simpang itu nak pakai orang. Upah dia pun boleh tahan wei, sepuluh ringgit satu hari. Aku pergi kerja lepas balik sekolah lah", terpancar riak kegembiraan dan keterujaan Ris pada wajahnya. Nampaknya, kali ini dia benar-benar tekad dengan kemahuannya. Bukannya Aqim tidak tahu sikap Ris. Apa yang dihajati pasti diusahakan untuk dipenuhi.
"Kalau kau dah kata macam itu, apa lagi yang aku boleh cakap kan? Tapi kau bincanglah dulu dengan Umi. Apa-apa pun kena ada restu dia", Aqim akhirnya bersetuju dengan idea Ris itu. Jika dia tegah sekalipun pasti tidak akan berhasil. Ris merupakan seorang yang keras kepala. Bukan mudah untuk menasihatinya. Memerlukan cara yang betul barulah berhasil, namun kebiasaannya gagal. Ris sudah tersenyum lebar sambil membayangkan suasana Pulau Tioman yang begitu nyaman dan indah.
Setelah pulang dari sekolah, Ris segera menerpa ke arah Umi Wida yang sedang ralit melakukan tugasan di dapur. Tidak sabar rasanya mahu mengutarakan ideanya yang telah dibincang bersama Aqim sewaktu di sekolah. Segera diceritakan perkara yang ingin disampaikan dari mula hingga akhir.
"Bila lawatan itu Ris?", soal Umi Wida dalam keadaan tenang meskipun dia agak terkejut mendengar butir bicara dari dua ulas bibir milik Ris. Dia tidaklah begitu terkejut dengan keinginan Ris untuk mengikuti lawatan itu, tetapi yang menggusarkan hatinya itu adalah idea gila Ris yang ingin bekerja sambilan itu.
"Lebih kurang dua bulan lebih lagi Umi", Ris menjawab dengan penuh keterujaan.
"Yurannya pula berapa?"
"Kalau tak silap Ris, RM 180. Umi jangan risau, Ris takkan minta satu sen pun dari Umi. Nanti Ris kerja di warung Pak Cik Dollah itu, bayar yuran guna duit upahlah. Boleh ya Umi?", Ris merayu pada Umi Wida sambil membuat wajah minta simpati. Umi Wida mula diterpa rasa serba salah.
"Bukannya Umi tak bagi sayang. Tapi Umi risau, apa pula orang kampung kata nanti. Takut kalau diorang fikir yang Umi ini dera anak-anak Umi suruh bekerja. Lagipun, Ris juga yang akan penat nanti, nak. Pagi pergi sekolah, petang pula nak bekerja. Kesian anak Umi ni", tutur Umi Wida dengan penuh kelembutan. Dia membelai rambut Ris yang pendek itu.
YOU ARE READING
Bimbing Aku (ON HOLD)
RomanceMembesar di rumah anak yatim bersama telah membuatkan hubungan mereka begitu akrab. Meskipun berlainan jantina, itu bukanlah penghalang untuk mereka menjalin persahabatan. Satu tragedi telah mendorong kepada dendam. Masa memisahkan mereka. Masa juga...