Sewaktu ingin ke tandas, Ris terlihat akan sesusuk tubuh yang amat dia kenali di balik sepohon pokok yang agak rendang di bahagian belakang kilang. Hati Ris tergerak untuk mengintip. Dia bergerak menuju ke arah semak samun berhampiran pokok tersebut. Alangkah terkejutnya Ris apabila dia terlihat sepasang kekasih sedang memadu asmara di balik pohon itu. Apa yang lebih mengejutkan ialah salah satu dari pasangan itu adalah orang yang amat dikenalinya.
Miraz. Ris benar-benar tidak menyangka bahawa Miraz sanggup menduakan Aqim. Apa yang dilihatnya kini, seorang lelaki yang berdiri berhadapan dengan Miraz sedang menggenggam erat kedua-dua belah tangan Miraz. Miraz pula hanya tersenyum manis. Sesekali terdengar tawa manjanya meletus. Jejaka di hadapan Miraz itu kelihatan seperti dari golongan berada dengan pakaiannya yang kemas dan berjenama.
Ris menggenggam penumbuknya. Sungguh dia berasa sakit hati melihat kemesraan pasangan dua sejoli di hadapannya itu. Meskipun yang dicurangi ialah Aqim tetapi Ris turut merasakan kesakitannya. Bak kata pepatah cubit paha kanan, paha kiri terasa. Ris tidak dapat membayangkan bagaimanakah nanti reaksi Aqim apabila mengetahui berita ini. Dia berfikir sejenak. Cuba mencari akal bagi membantu Aqim dari terus-terusan menjadi mangsa penipuan Miraz.
Bukannya Ris tidak pernah mendengar berita berkenaan Miraz yang kononnya merupakan seorang pisau cukur. Namun, Ris cuba untuk tidak mengendahkannya setiap kali rakan-rakan sekerja yang lain mula bercerita berkenaan Miraz. Bersangka baik adalah lebih elok. Kini, bukti sudah di depan mata. Bukan sekadar dapat melihat malahan Ris sendiri mendengar bicara-bicara manis yang meniti di bibir pasangan dua sejoli itu. Semakin bertambah rasa geramnya terhadap Miraz. Dia harus bersemuka dengan Miraz. Ris beredar dari kawasan persembunyiannya.
Miraz yang baru sahaja selesai menemui buah hati pengarang jantungnya berjalan dengan riang memasuki kawasan kilang. Tiba-tiba dia terasa ada tangan yang merentap lengannya sehingga dia terdorong ke belakang. Dia segera menoleh ke belakang. Muncullah wajah Ris yang sudah memerah akibat menahan marah yang sedang meluap-luap.
"Eh Miraz, baik kau jujur dengan aku. Apa yang kau nak sebenarnya dengan Aqim hah?" Ris masih cuba mengawal nada suaranya agar tidak didengari oleh pekerja yang lain. Dia tidak mahu perkara ini dihebohkan.
"Apa yang kau cakap ni? Aku dengan Aqim kan couple. Takkan kau tak tahu," Miraz mulai geram dengan kelakuan Ris. Tidak ada ribut, tidak ada taufan, tiba-tiba sahaja mengamuk.
"Kau tak payah nak buat-buat tak tahulah? Kau ingat aku tak nampak ke tadi? Kau tengah baik punya menggedik kan dengan jantan entah siapa entah. Aku nak ingatkan kau, kalau aku tahu yang kau cuma main-mainkan Aqim, kau takkan hidup perempuan," Ris menghalakan jari telunjuknya tepat di hadapan wajah Miraz. Wajah Miraz sedikit berubah apabila mendengar ucapan Ris. Namun, dia segera berlagak tenang kerana tidak mahu nampak lemah di hadapan Ris.
"Apasal kau nak sibuk hal aku dengan Aqim? Suka hati akulah nak buat apa pun. Kau tak ada hak nak halang aku. Atau kau jealous aku dengan Aqim hah?" Miraz menyerkap jarang. Wajah Ris bertambah bengis tatkala mendengar ucapan dari bibir Miraz. Ternyata kelembutan serta kesopanan yang ditunjuk hanyalah lakonan semata-mata.
"Mulut kau tu jaga sikit eh. Aqim tu kawan baik aku. Aku tak nak tengok dia diperbodohkan oleh perempuan tak ada maruah macam kau. Kau dah kikis duit dia lepas tu kau suka-suka nak buang dia saja. Jangan ingat aku tak tahu apa yang kau buat belakang dia. Aku diam tak bermakna aku bodoh. Ingat, kalau aku tahu apa-apa yang jadi pada Aqim, kau akan menyesal," Ris terus beredar dengan rasa sebal di hatinya. Miraz hanya mencebik setelah mendengar ugutan Ris.
Sekembalinya Ris di ruang kafeteria, dia melihat Aqim sedang bergurau senda bersama Miraz. Saat memandang wajah Miraz yang penuh dengan kepura-puraan, amarahnya kembali meluap. Ris beristighfar beberapa kali sebelum mendekati meja pasangan itu. Tanpa menunggu mendapat keizinan, Ris segera duduk di kerusi berhadapan dengan Aqim bersama segelas air teh o' ais. Sempat Ris menghadiahkan senyuman sinis buat Miraz. Miraz sudah mulai tidak senang duduk.
YOU ARE READING
Bimbing Aku (ON HOLD)
Lãng mạnMembesar di rumah anak yatim bersama telah membuatkan hubungan mereka begitu akrab. Meskipun berlainan jantina, itu bukanlah penghalang untuk mereka menjalin persahabatan. Satu tragedi telah mendorong kepada dendam. Masa memisahkan mereka. Masa juga...