Senyuman tidak lekang dari bibir mungil Ris sejak dia pulang dari pusat membeli belah. Gembira bukan kepalang apabila dapat bertemu sahabat lama. Tambahan pula, kepulangan Aqim itu sememangnya dinanti-nantikan. 5 tahun tempoh perpisahan tidak membawa perubahan langsung kepada kemesraan mereka berdua. Terasa seperti sewaktu di zaman persekolahan dahulu. Ris mengenali Aqim bukan dalam setahun dua, tetapi hampir sepanjang hayatnya. Bermula di rumah kebajikan atau lebih mudah, rumah anak yatim hinggalah ke dewasa. Hanya Aqim yang sudi bersahabat dengannya ketika itu. Perlahan-lahan memori lama mula bermain di layar minda Ris.
__________________________________________________________________
15 tahun yang lepas....
Seorang kanak-kanak perempuan berusia dalam lingkungan 8 tahun sedang berlari dalam keadaan tercungap-cungap. Sesekali dia menoleh ke belakang. Khuatir dia sedang diekori. Malam yang makin larut menjadikan suasana di sekeliling gelap-gelita. Namun bukan itu yang ditakuti kanak-kanak itu. Kelelahan yang mula menyelinap di tepis jauh-jauh. Nyawanya dalam ancaman. Dia harus meminta bantuan, tetapi tidak tahu pada siapa atau bagaimana.
Dari kejauhan, dia mulai melihat akan kesamaran cahaya. Apabila jaraknya semakin mendekat, kelihatan sebuah rumah yang agak besar dan terdapat papan tanda besar di hadapannya. Akibat terlalu penat berlari, kanak-kanak perempuan itu jatuh terjelepok di atas tanah. Dia tidak mempunyai kudrat lagi untuk bergerak. Tubuh kecilnya begitu lesu dan lemah. Cuba digagahinya jua untuk terus bergerak namun gagal. Suara kecilnya mula dilontar bagi mendapatkan sebarang bantuan.
"Tolong! Tolong saya! Tolong!"
Berulang kali kata-kata itu diteriakkan sehingga tekaknya perit dan kering. Pandangan matanya mulai kabur. Suaranya pula makin perlahan sehingga tiada perucapan yang mampu dilontarkan lagi. Matanya mula menangkap satu bayang yang berlari-lari anak ke arahnya sebelum semuanya menjadi kelam.
Kanak-kanak itu mulai sedar tatkala merasakan ada tangan yang mengusap kepalanya. Pantas dia membukakan matanya seraya bangun dari pembaringannya. Seorang wanita bertudung sedang duduk di sisi katil itu sambil tersenyum kepadanya. Kanak-kanak perempuan itu jelas masih di dalam keadaan trauma namun, wajah damai milik wanita di hadapannya itu begitu menenangkan. Lantas, kanak-kanak itu memeluk erat wanita itu sambil memejamkan matanya. Wanita itu sedikit terkejut dengan reaksi kanak-kanak perempuan itu tetapi segera dibalas pelukan itu.
"Jangan risau. Kamu sudah selamat sekarang.", ujarnya sambil mengusap lembut kepala kanak-kanak itu. Kanak-kanak perempuan itu mendongakkan kepalanya sambil mulutnya terkumat-kamit seperti mahu membicarakan sesuatu. Wanita itu kembali tersenyum.
"Tak apa. Umi tahu kamu masih lagi terkejut. Kamu rehat dulu. Kemudian nanti baru kita berbual ya.", wanita yang membahasakan dirinya sebagai Umi itu tadi segera merebahkan tubuh kecil kanak-kanak itu sambil menyelimutkannya. Tidak lama selepas itu, bayang wanita itu mulai hilang di balik pintu.
"Wida, macam mana dengan budak tu? Dia okay ke?", sapa seorang wanita setelah melihat kelibat Umi Wida keluar dari bilik yang menempatkan kanak-kanak itu tadi.
"Alhamdulillah, dia dah sedar. Cuma dia masih trauma sedikit. Jadi aku suruh dia rehat dulu. Nanti baru kita soal dia."
"Eloklah kalau macam itu. Aku pun kesian tengok dia. Nampak macam dalam masalah besar. Mak ayah dia pun kita tak tahu lagi ni.", wanita itu menghela nafas sebelum meminta diri untuk menguruskan kanak-kanak yang sedang berkelahi di bahagian ruang utama. Tugas menguruskan anak-anak yatim bukanlah satu perkara yang mudah. Sebenarnya, ia agak menduga iman. Tambahan lagi dengan fi'il mereka yang pelbagai. Namun, ganjaran pahala yang berlipat kali ganda menanti bagi mereka yang bersabar dalam menjalankan tugas tersebut.
YOU ARE READING
Bimbing Aku (ON HOLD)
RomanceMembesar di rumah anak yatim bersama telah membuatkan hubungan mereka begitu akrab. Meskipun berlainan jantina, itu bukanlah penghalang untuk mereka menjalin persahabatan. Satu tragedi telah mendorong kepada dendam. Masa memisahkan mereka. Masa juga...