BAB 5

47 6 6
                                    

Seperti hari-hari biasa, Ris menjalani rutin hariannya. Disebabkan ketibaannya di tempat kerjanya agak awal pada hari itu, Ris berseorangan di dalam gudang. Rakan sekerjanya yang lain belum tiba lagi. Ris mula memeriksa senarai stok penghantaran yang perlu diuruskan pada hari itu. Sungguh banyak tugasan yang perlu dibereskan. Nasib badan. Tanpa melengahkan masa, Ris mula melakukan kerjanya.

Tidak lama selepas itu, rakan-rakan sekerja Ris yang lain telah tiba. Perkara pertama yang mereka lakukan adalah menemui Ris. Sudah tentulah kerana kuih-muih Kak Zie. Mereka bersarapan beramai-ramai sambil berbual sebelum waktu bekerja bermula. Ris menuju ke tandas yang disediakan untuk mencuci tangannya yang kotor sebelum turut serta dalam acara makan berjemaah itu.

Sewaktu keluar dari tandas, Ris telah disapa oleh seorang lelaki yang berpakaian kemas dan bertali leher. Nampak gayanya seperti pekerja pejabat.

"Maaf cik, tumpang tanya, di mana pejabat ya?", lelaki itu bertanyakan soalan kepada Ris sambil tersenyum manis. Ris terpana sebentar tatkala matanya bertembung dengan mata jejaka itu. Nasib tidak ketara perubahan wajah Ris ketika itu.

"Oh pejabat. Encik jalan ikut lorong sebelah kanan ni dan bila jumpa tangga nanti, encik naik ke tingkat dua. Encik akan jumpa pejabat nanti.", Ris menjawab dengan penuh sopan meskipun perwatakannya yang sebenar bukanlah sesopan mana. Takut juga jika jejaka itu merupakan orang atasan yang bakal menjawat jawatan tinggi di situ. Jika dia menunjukkan sikap tidak professionalnya, sudah tentu dia akan mendapat reputasi yang buruk.

Lelaki itu mengucapkan terima kasih sebelum bergerak menuju ke arah pejabat seperti yang ditunjukkan oleh Ris. Ris terus bergerak menuju ke gudang dan mengambil tempat duduknya untuk sama-sama menikmati kuih yang dibelinya. Para pekerja yang lain sedang asyik bergosip. Entah apa berita yang mereka peroleh, Ris sendiri tidak tahu. Dia malas mahu mengambil tahu. Buat tambah dosa saja.

"Ris, hang tau dak supervisor baru tu masuk kerja hari ni?", Azim, rakan sekerja Ris yang berasal dari Kedah melontarkan soalan setelah terlihat akan susuk tubuh Ris. Ris mengerutkan dahinya seolah-olah mahu mencerna soalan dari Azim itu.

"Oh, yang gantikan Encik Mustafa tu ke? Entah, aku tak tahu dan aku tak kisah pun. Lantaklah dia nak masuk bila.", Ris sudah sedia maklum bahawa pengganti penyelia mereka yang lama  akan dihantar untuk bertugas di situ dalam masa yang terdekat. Walau bagaimanapun, Ris tidak berapa peduli akan kehadiran penyelia baru itu kerana padanya ada baik dia melakukan tugasannya sendiri daripada mengambil tahu hal orang lain.

"Ish, hang ni Ris. Tak sporting langsunglah. Yalah, kita kenalah ambik tau sapa sopervisor baru tu. Nanti kita kena jugak kerjasama dengan dia. Aku dengaq segak habih na supervisor baru tu. Muda pula tu.", Azim masih lagi berceloteh mengenai penyelia baru itu. Mengalahkan perempuan. Satu kilang sudah sedia maklum dengan sikap Azim yang sememangnya becok itu. Ada sahaja cerita-cerita 'panas' yang dikongsinya.

"Eh yang kau sibuk dia segak tak segak tu dah kenapa? Kau kena ingat, kau tu jantan, dia pun jantan. Jangan bagitahu aku yang kau dah tangkap cintan pula dengan dia. Eee, meremang bulu roma aku.", Ris membuat gaya geli sebelum ketawa terbahak-bahak bersama rakan sekerjanya yang lain. Asyik sungguh menyakat Azim.

"Aku cili mulut hang kang. Suka-suka tok nenek hang ja nak kata aku lagu tu. Minta simpang lah wei. Aku ni anak jantan sejati tau Ris. Tak dak seleralah nak sama jantan ni. Mampuih aku kalau mak aku dengaq ni.", tawa masih bergema. Telatah mereka berdua cukup membuatkan semua terhibur. Rakan-rakan sekerja Ris yang lain mula ikut campur dalam sesi sakat-menyakat itu. Tiba-tiba, satu pengumuman telah dibuat melalui corong pembesar suara yang diletakkan di setiap bahagian di dalam kilang itu. Mereka diminta untuk berkumpul.

Para pekerja mulai memenuhi ruang dewan. Kelihatan Encik Taufik, pengurus kilang tersebut berserta beberapa staf pejabat yang lain sudah menanti di bahagian hadapan dewan. Ris terpandang akan jejaka yang menyapanya awal pagi tadi sedang berdiri di sebelah Encik Taufik. Dia mengagak pengumuman sebentar tadi ada kaitannya dengan jejaka itu. Pekerja-pekerja wanita sudah mula berbisik-bisik sesama sendiri sambil mengerling ke arah jejaka tersebut.

Bimbing Aku (ON HOLD)Where stories live. Discover now