# SATE GAGAK

77 4 0
                                    

"Manalah aku nak cari duit ni? Nak pinjam orang, hutang lama pun belum langsai lagi." Pak Cik Leman membebel seorang diri depan pintu rumah. Dah dua minggu dia berfikir mana nak cari duit. Beli nombor asyik takkena. Nak pinjam dah taktahu nak pinjam siapa lagi.

"Leman!" Pak Deris menjerit dari jauh sambil menunggang motor kapcainya.

"Hah, Deris. Ada apa datang rumah aku ni? Nak minum ke makan ke memang takdelah. Beras pun nak habis. Kopi buntut kuali adalah kalau kau nak." Pak Cik Leman berbunyi macam nak menghalau.

"Macam nak menghalau aku ni kenapa? Masalah duit lagi ke? Bukan hari tu kau ada beli nombor ke? Takkan takkena. Dulu nombor kau lah yang selalu kene." Pak Deris mengingatkan kenangan manis masa Pak Cik Leman jadi jutawan nombor ekor dulu.

"Entahlah Deris." Biasalah kalau dah berduka mesti mengeluh. Keluh Pak Cik Leman bukan keluh biasa. Keluh kuat punya sebab kempunan nak duit.

"Aku ada satu jalan. Cuma, kalau kau amik jalan ni, kau takboleh patah balik dan kau takboleh berhenti. Yang baiknya, wang masyuk lumayan. Kerja pun senang." Pak Deria bagi cadangan yang bunyi macam bagus untuk Pak Cik Leman.

"Ceritalah. Mana tahu aku boleh buat." Mestilah Pak Cik Leman tertarik. Dah nama pun wang masyuk lumayan.

"Kau pernah dengar sate gagak?" Muka Pak Deris nampak serius.

"Mana ada orang makan sate gagak. Ini bukan buat duit. Ini buang tenaga." Pak Cik Leman mengalah.

"Aku takhabis cakap lagi. Sate gagak memanglah orang takmakan tapi ada yang makan sate gagak. Kalau kau nak cuba, buatlah. Syaratnya, kau takboleh berhenti. Nahas kau kalau kau berhenti." Pak Deris lanjutkan kata-katanya.

"Dah tu aku nak jual dekat mana?" Pak Cik Leman dah mula berminat.

"Malam Jumaat tepat pukul 12 tengah malam, kau bawa segala perkakas yang diperlukan untuk buat sate ke tanah perkuburan. Jangan bawa daging lain selain daging burung gagak. Kau bakar sate kau dekat situ. Nanti akan ada yang datang beli. Kau kene tabah dan kau kene datang setiap minggu." Pak Deris berkata. "Aku balik dulu." Pak Deris menghidupkan enjin motornya dan berlalu pergi.

Pak Cik Leman berfikir panjang. Lama dia berfikir sampai azan maghrib pun dia takdengar.

Malam Jumaat tinggal dua malam lagi. Pak Cik Leman bertekad untuk mencuba apa yang dikatakan oleh Pak Deris.

Malam Jumaat tiba. Pak Cik Leman macam takut-takut nak pergi. Demi duit yang takmasuk dua tiga minggu, Pak Cik Leman membawa semua perkakas yang diperlukan untuk membakar sate gagak ke tanah perkuburan yang terdekat.

Tanah perkuburan itu seperti menanti-nanti kehadiran Pak Cik Leman. Kawasannya terang bukan kerana cahaya bulan tapi seperti lampu. Yang peliknya tanah perkuburan itu jauh ke dalam. Tiada rumah  yang hampir dengan tanah perkuburan itu.

Pak Cik Leman mula mengeluarkan semua perkakas dan mula membakar sate gagak yang telah diperap.

Tiba-tiba, di hujung mata Pak Cik Leman ternampak satu tangan yang keluar daripada salah satu kubur yang ada disitu. Pak Cik Leman hampir sahaja lari dari situ tapi Pak Cik Leman ternampak duit yang dipegang oleh tangan itu.

Ibarat ada suara yang berkata Pak Cik Leman menghulur beberapa sate gagak ke tangan itu. Tidak sampai 60 minit, sate gagak yang disediakan habis dalam sekelip mata.

Apa yang memeranjatkan, duit yang terdapat dalam bekas yang disediakan Pak Cik Leman boleh dikatakan hampir mencecah RM600.

"Kalau begini, aku sanggup datang hari-hari." 

Semenjak hari itu, Pak Cik Leman mula berniaga di tanah perkuburan itu serta beberapa tanah perkuburan yang lain sampai satu masa Pak Cik Leman berhenti berniaga kerana dia merasakan duitnya sudah cukup banyak dan dia ingin memulakan perniagaannya sendiri.

Selang sebulan Pak Cik Leman berhenti berniaga sate gagak, Pak Cik Leman didatangi mimpi ngeri. Badannya dicakar-cakar oleh banyak tangan yang datangnya entah dari mana. Setiap malam gagak-gagak datang berkunjung ke rumah Pak Cik Leman.

Sampai satu hari, Pak Cik Leman tidak lagi boleh sabar sebab badannya berdarah-darah selepas bangun dari tidur.

Dia pergi semula ke tanah perkuburan.

"Aku dah takjual sate gagak untuk kau. Aku dah kaya. Kau boleh cari peniaga lain!" Pak Cik Leman marah.

Tiba-tiba, banyak tangan keluar dari setiap kubur. Tangan-tangan tersebut menarik-narik badan Pak Cik Leman.

Keesokkannya, orang kampung menjumpai Pak Cik Leman terbaring di atas kubur dengan pakaian tercarik-carik dan menjerit-jerit "Aku tak jual sate gagak! Aku tak jual sate gagak!"

Kesudahan hidup Pak Cik Leman aku sendiri takpasti. Mungkin gila , mungkin sudah mati.

Pengajaran?
Boleh fikir sendiri. 

BILA AKU NAMPAK 'DIA'Where stories live. Discover now