Bab 1

5.9K 92 0
                                    

Prolog 1

"Awak nak ke mana, Yan?" Melihat isteri yang tergesa-gesa mengemas pakaiannya, cepat sahaja dia menyoal dan tangan terus dibawa ke mulut untuk menahan batuk daripada terlepas. Sebaik batuknya sedikit reda, dadanya diusap pula untuk meredakan sakit.

"Bukan urusan kaulah!" balas si isteri agak keras.

"Bukan urusan saya? Saya ni suami awak, Yan!" Walaupun kata-katanya berbaur marah tetapi disebabkan keadaannya, suara itu seakan tidak terkeluar dari bibir. Seolah-olah tersekat di kerongkong. Isteri yang sibuk mengemaskan kain baju ke dalam beg pakaiannya ketika itu dipandang dengan riak bingung. Apa tidaknya, hairan dia apabila isteri yang begitu baik selama ini tiba-tiba berubah laku begitu.

"Suami apanya kalau hidup tak habis-habis menyusahkan aku?! Aku dah penatlah jaga kau selama ni. Mana nak cari duit untuk kau dan anak-anak makan, terpaksa pula jaga kau yang sakit tak baik-baik! Kau ingat aku ni apa? Khadam kau?" Kata-kata yang dilempar semakin kesat sedang mata tajam merenung suami yang ibarat bangkai tidak bernyawa itu dengan riak benci.

Mendengar jawapan isteri, tubuh yang agak longlai dan tidak bermaya itu terus terduduk di atas katil usang yang hanya menunggu masa untuk rebah. Kepala ditundukkan memandang lantai. Kesal dan kecewa dengan perlakuan isteri yang dilihatnya semakin hilang pertimbangan diri.

"Saya bukan mintak jadi macam ni, Yan. Kalau boleh, saya pun tak nak menyusahkan awak. Saya tahu tanggungjawab saya sebagai suami tapi buat masa ini saya tak mampu," luahnya agak sayu. Dada yang terasa semakin sempit itu diusap.

"Hei, boleh tak jangan sebut tentang tanggungjawab? Aku dah muak dengar perkataan itu dari mulut kau. Bukan baru dua, tiga bulan tapi dah hampir setahun kita macam ni. Dari aku terus hidup melarat dengan kau sampai ke tua, baik aku cari kehidupan lain di luar. Aku dah tak sanggup lagi hidup macam ni!" bentaknya semakin kasar. Si suami dijeling pula.

"Awak sanggup tinggalkan anak-anak macam tu aje, Yan?" Suara dilempar semakin sayu dan nada bergetar. Pedih rasa hati mendengar kata-kata isteri sedari tadi. Allah, aku tak minta untuk jadi begini tetapi aku tetap reda. Kerana aku tahu, setiap sesuatu yang Engkau berikan itu pasti ada sebabnya, rintih hatinya. Mengenangkan sakit kanser paru-paru yang dihidapinya sejak setahun setengah yang lepas, lagilah berat rasa beban dalam jiwa.

"Anak-anak? Itu bukan anak-anak aku. Pandai-pandailah kau jaga. Lagipun budak-budak tu bukannya kecik lagi. Dah besar-besar."

"Besar? Mereka tu baru sembilan dan dua belas tahun, Yan. Masih memerlukan kita lagi untuk membesar."

"Argghhh... Sudahlah! Aku malas nak ambil tahu pasal budak-budak tu lagi. Biarlah dia orang nak jadi apa pun, aku tak peduli. Nak hidup atau nak mati, bukan urusan aku!" bentaknya semakin keras. Tangan pula masih ligat mencapai kain baju untuk dimasukkan ke dalam beg.

"Astaghfirullahalazim, apa yang merasuk fikiran awak ni Yan sampai macam tu sekali kata-kata awak? Awak tak ingat Tuhan, Yan? Tak ingat dosa dan pahala?" Sungguh dia terpempan. Sudah tak tertanggung rasa hati mendengar setiap butir bicara isterinya sedari tadi. Kenapa tiba-tiba isterinya berubah laku begitu? Allah... Dada diusap lagi. Berkali-kali.

Malas hendak mengendahkan kata-kata suami, beg baju terus dizip dan dia mula berdiri. Beg dicapai.

"Kau dengar sini, mulai hari ni aku akan keluar dari rumah yang macam neraka ni dan jalani hidup aku sendiri. Aku nak kau ceraikan aku sebab aku dah jumpa orang yang lebih baik dan mampu beri kemewahan kepada aku. Bukan hidup merempat macam ni. Dengan dia, aku boleh duduk dalam rumah besar, ada duit banyak. Tak macam rumah ni, reban ayam pun lagi cantik dari ni!" ucapnya bersahaja dan sinis. Langsung tidak mengendahkan perasaan suami yang sudah hancur luluh dengan kata-katanya sejak tadi.

AKU SHARK... DAN AKULAH LELAKI ITUWhere stories live. Discover now