Bab 2

2.1K 37 0
                                    

Asap rokok dihembus. Perlahan-lahan sambil kepala menerawang jauh mengingatkan majlis pertunangan Redza dan Jeslina yang baru berlangsung beberapa hari lepas. Cantik. Jeslina memang nampak sangat cantik pada hari tersebut. Dengan persalinan moden berwarna putih dan berselendang warna sedondon, dioles solekan nipis, wajahnya tampak berseri persis seorang puteri. Entah kenapa, walaupun kerjayanya dikelilingi model-model jelita tetapi mereka tetap juga tidak dapat menandingi kecantikan Jeslina di matanya.

Hurm... Nafas dihela. Berat, kau Shark. Lupa, Jeslina tu tunang kawan baik kau? marahnya kepada diri sendiri. Rokok di tangan dihisap lagi sebelum asapnya dihembus rakus. Mula terasa bosan, baki rokok yang masih seinci panjangnya dilenyek-lenyekkan ke dalam bekas abu dan tubuhnya disandarkan ke kerusi. Matanya dipejamkan seketika dan satu keluhan berat dilepaskan.

"Lepaskan, Shark... Dia bakal menjadi milik orang lain. Milik kawan baik kau sendiri." Sekali lagi akal mengingatkan tetapi kenapa hati tetap degil untuk menerima kenyataan walaupun setelah puas diingatkan? Macam mana hendak melepaskan kalau perasaan yang ada tak mampu untuk dibuang jauh? Bukan baru sehari dua tetapi sejak berbelas tahun yang lalu perasaannya begitu. Perasaan yang sukar untuk dia sendiri fahami bagaimana ia bermula.

"Forget it, Shark! Ramai lagi gadis lain dalam dunia ni. Yang gilakan kau pun ramai. Kau pilih aje mana yang kau suka." Hati berbicara lagi cuba memujuk diri sendiri. Tetapi walau puas dipujuk tetap juga wajah dingin Jeslina yang muncul dalam ingatan.

"Jesss..." Nama Jeslina diseru lagi untuk kesekian kalinya dan wajah diraup.

"Hai, Shark."

Terdengar namanya disapa, Shaqir tersentak. Mata terus dibuka dan kepalanya ditegakkan.

"Benz," ucapnya sepatah dan datar sahaja nadanya.

"Tak sihat ke?" Tidak diundang, Benz terus duduk. Jaket kulit yang tersarung di tubuhnya dibuka dan diletakkan di kepala kerusi.

Shaqir menggeleng. Lelaki di hadapannya itu dipandang tak beriak dan duduknya dibetulkan. "Kalau okey, kenapa muka tu lain macam aje aku tengok?" soalnya. Kotak rokok di atas meja dicapai dan diletakkan di balik bibir. Pemetik api diambil pula dan dipetik sebelum diacukan di hujung rokok.

"Hurm... Penatlah," balas Shaqir acuh tak acuh.

"Kau kerja kuat sangat. Rehat-rehatlah. Duit banyak, mati nanti bukan boleh bawa masuk kubur pun," kutuk Benz sambil ketawa.

Dengan mood yang agak merudum, Shaqir hanya tersengih sahaja dikutuk begitu. Selalunya pantang kata-kata begitu didengarinya, pasti dia akan membidas semula.

"Ha, kau nak jumpa aku apa hal?" Asap rokok dihembus perlahan-lahan. Shaqir yang masih beriak kaku itu terus dipandang.

Shaqir terdiam. Bucu meja dipandang. Lama dia begitu sebelum kepala diangkat semula. "Aku nak minta tolong kau sesuatu," ucapnya dan pandangan Benz dibalas.

Dengan kepala tergangguk-angguk, Benz betulkan duduk. "Okey, nak aku tolong apa?" soalnya dengan kening terjongket. Melihat reaksi Shaqir ketika itu, dia tahu pasti ada sesuatu.

Sambil membetulkan tubuh, sampul surat kecil di dalam poket jaket denim di sebelahnya dicapai kemudian diletakkan ke atas meja sebelum disorong ke hadapan. Betul-betul di hadapan Benz.

Dengan wajah yang berkerut seribu, sampul yang dihulurkan Shaqir diambil dan terus dibuka. Isi di dalamnya dikeluarkan kemudian kepala diangkat memandang sahabatnya itu semula. "Apa ni?" soalnya. Sekeping gambar di tangan digoyang-goyangkan tidak faham.

"Aku nak kau cari dia."

Benz pegun. Gambar tersebut dipandang semula. "Siapa dia ni?" Hampir bersambung keningnya melihat gambar tersebut. Siapa pulalah gadis ini agaknya? Cantik tetapi sejak dia mengenali Shaqir, tidak pernah pula dia melihat gadis itu.

AKU SHARK... DAN AKULAH LELAKI ITUWhere stories live. Discover now