Sheren tersenyum lebar. Sebaik pintu kondonya ditutup, jemari Redza ditarik masuk ke dalam bilik. Redza pula, bagai orang mengantuk disorongkan bantal hanya mengikut dengan wajah meleret senyum.
"Nak mandi dulu?" Manja Sheren bersuara. Butang kemeja yang tersarung di tubuh lelaki itu dibuka satu per satu.
Senang diperlakukan begitu dan dengan senyum lebar di bibir, Redza menggeleng. "I tak suka buang masa," bisiknya dan zip di belakang gaun singkat yang dipakai Sheren terus ditarik ke bawah.
Mengerti dengan maksud kata-kata dan perlakuan lelaki itu, senyum Sheren semakin melebar. Kemeja yang sudah terbuka luas butangnya itu ditanggalkan dari batang tubuh lelaki itu dan dicampakkan ke lantai.
Redza membiarkan sahaja apa yang dilakukan Sheren malah langsung tidak membantah. Sebaik jean yang dipakainya juga sudah terlondeh ke lantai, tangan Sheren terus diraih dan dibawa ke katil. Baju gaun yang masih tersarung di tubuh Sheren terus direntap dan gadis itu terus diperlakukan semahunya.
"I HAVE to go." Redza bingkas bangun. Tanpa mengendahkan keadaan dirinya ketika itu, langkah terus diayun menuju ke bilik air. Usai membersihkan diri, dia keluar semula dan seluar jean miliknya yang tersadai di atas lantai terus dicapai.
"You nak balik juga malam ni?" tegur Sheren sedang mata langsung tak berkalih memandang Redza yang sedang mengemaskan butang seluar jeannya. Melihat batang tubuh yang agak tegap itu, bibir terus mengoyak senyum. Redza, lelaki itu bukan lelaki sembarangan. Bukan hanya bijak menguruskan perniagaan tetapi bijak juga memuaskan permintaan batinnya. Masih leka memerhati, tubuhnya yang hanya beralaskan comforter ditegakkan dan disandarkan ke kepala katil.
Tidak menjawab, Redza mengangguk. Baju kemejanya dicapai pula dan disarungkan ke tubuh.
"Esok tak kerja, kenapa nak rushing balik? Selalunya kalau hari cuti you akan teman I sampai pagi." Sheren bersuara lagi melepaskan rasa tidak puas hati. Rambutnya yang agak tidak terurus itu dikemaskan.
Melihat Redza yang langsung tidak mengendahkan kata-katanya, dengusan kecil dilepaskan dan kotak rokok di meja sisi dicapai.
"Yang..." panggilnya dengan suara yang meleret manja. "Tak payahlah balik. Teman I," rengeknya pula dan masih cuba memujuk. Manalah tahu tiba-tiba Redza berubah fikiran.
"Tak boleh. Pagi-pagi I nak gerak balik kampung. Kalau dari kondo you ni, jammed nanti." Malas-malas Redza membalas. Baju kemejanya dikemaskan sebaik butang yang terakhir elok dipasang.
Sheren betulkan duduk dan kening dijongket tinggi. "Balik kampung? You tak pernah beritahu pun you nak balik kampung?" Rokok yang baru dihisap terus dilenyekkan ke dalam bekas abu sedang mata semakin tajam memandang Redza di hadapan. Boleh pula Redza terus pergi sebaik melampiaskan nafsunya? Tak guna punya jantan! makinya dalam hati.
Tidak mengendahkan rajuk Sheren, langkah terus diatur menuju ke meja solek. Rambut yang agak kusut-masai itu dikemaskan.
"Yang..." Suara rengekan Sheren kedengaran lagi apabila Redza hanya diam membatu di tempatnya.
"I ada urusan dekat kampung. Cousin I kahwin." Acuh tidak acuh sahaja Redza membalas. Sikat di tangan diletakkan semula ke atas meja solek dan langkah dibuka.
"I nak ikut." Cepat sahaja Sheren membalas. Tubuh ditegakkan.
Mendengar apa yang diucapkan Sheren, langkah Redza terhenti dan tubuhnya dipalingkan. "Tak ada sebab kenapa I perlu bawa you, Reen," tegasnya. Gila nak bawa Sheren bersamanya esok sedangkan Jeslina juga ada bersama? Oh, tidaklah dia hendak mencari pasal.
"Tak salah kan kalau I ikut dan kenal dengan family you?" Sheren terus melompat turun dari katil. Comforter yang menutupi tubuhnya dikemaskan dan Redza dihampiri.
YOU ARE READING
AKU SHARK... DAN AKULAH LELAKI ITU
Художественная прозаPENULIS: MYRA AMEER TAJUK: AKU SHARK... DAN AKULAH LELAKI ITU TERBITAN MEI 2017 HARGA: RM28 (SM) / RM31 (SS) Dia bukan anak raja, bukan juga CEO syarikat ternama atau pelajar lulusan dari luar negara, tetapi dia hanyalah insan biasa yang punya kisa...