Bab 10

1.3K 34 2
                                    

"Intan, jangan bawa Kak Jes sampai ke belakang. Semalam hujan, tanah dekat belakang tu licin. Bahaya, nanti jatuh susah!" laung Shaqir apabila melihat Intan dan Jeslina sedang berjalan melintasi parit kecil menuju ke belakang rumah mereka.

Langkah Intan dan Jeslina terhenti. Tubuh dipalingkan.

"Orang tak pergi jauh. Nak duduk dekat pangkin tu aje," balas Intan juga dengan suara yang agak kuat. Mata pula ditalakan ke arah pangkin yang terletak di bawah pokok jambu batu di belakang rumah.

"Hati-hati..." pesannya dan pandangan dibuangkan ke arah Jeslina yang sudah tarik muka. Meluat agaknya dengan sikap terlebih ambil beratnya itu.

"Orang tahulah," balas Intan jengkel. Tangan Jeslina terus diraih dan ditarik supaya mengikutnya.

Jeslina mengekor. Shaqir dijeling dengan wajah dicemikkan seakan mengejek.

Melihat reaksi Jeslina, Shaqir tersenyum sahaja. Jeslina ingat dia kesah diejek begitu? Tak... Langsung tak kesah malah dia lebih suka melihat riak comel Jeslina setiap kali gadis itu mencemikkan wajah menunjukkan rasa marah atau menyampahnya.

Tidak beredar dari tempatnya berdiri, perlakuan Jeslina dan Intan terus diperhati. Melihat wajah Jeslina dan Intan yang ceria bercerita, bibirnya juga ikut sama menguntum senyum walaupun dia tidak mendengar butir bicara kedua-duanya.

"Dah kenapa dipandangnya tunang orang sampai beria macam tu sekali? Kan tak baik," tegur Mak Ngah Iman bersama gelengan. Shaqir yang sedang leka memerhati Jeslina dari tingkap kayu rumahnya dihampiri. Melihat Shaqir yang langsung tidak memberikan sebarang reaksi dengan kata-katanya tadi, bahu anak saudaranya itu terus ditepuk.

Terkejut, Shaqir terus berpaling. "Uish, mak ngah, terkejut Qir." Dadanya diusap. Mak ngah suka betul main terkejut-terkejutkan dia begitu. Nasib jantung dia molek lagi. Kalau tidak, tentu dah jatuh tergolek ke bawah tingkap tadi.

"Tahu pun terkejut. Itulah, leka sangat mengintai tunang orang. Tak baik tahu tak?" bebel Mak Ngah Iman mengulang kata-kata tadi walaupun dalam versi yang berbeza.

Shaqir mencemik. Tubuhnya disandarkan ke tepi tingkap dan tangan dipelukkan ke tubuh. "Baru bertunang mak ngah, bukannya dah kahwin. Sedangkan yang kahwin pun boleh bercerai inikan pula yang baru bertunang," balasnya selamba.

"Astaghfirullahalazim... Kamu ni dah kenapa? Lupa Jes tu tunang kawan baik kamu?" marah Mak Ngah Iman dengan suara yang sedikit meninggi. Dulu bukan main teruk lagi disakatnya Jeslina sampai benci budak tu dengan dia. Sekarang lain pula kisahnya. Pantang nampak budak tu, tak berkelip mata memerhati. Haishhh, tak faham betul dia dengan fikiran budak-budak muda sekarang ni. Mak Ngah Iman menyambung bebelan dalam hati.

Shaqir terdiam. Pandangannya dibuangkan ke arah Jeslina yang sedang berbual mesra dengan Intan semula.

"Untuk memiliki perempuan yang kita suka bukan senang, mak ngah. Jadi kalau ada peluang, kawan pun boleh jadi lawan," balasnya bersahaja.

"Ya Allah, kamu dah hilang akal ke apa? Tak sampai dua bulan aje lagi Si Jes dan Redza tu nak menikah. Kamu jangan cari pasal, Shaqir. Ingat sikit, Redza tu kawan baik kamu. Sanggup kamu khianati kawan sendiri? Kalau kamu nak kahwin, cari orang lain. Kalau tak ada calon, biar mak ngah yang carikan," tegasnya.

Sekali lagi Shaqir terdiam sedang mata masih tak berkalih memandang Jeslina dan Intan yang sedang tergelak-gelak sedari tadi.

"Shaqir..." Mak Ngah Iman semakin resah. Dia bukan tidak tahu anak saudaranya itu bagaimana sikapnya. Kalau sudah bernekad, macam-macam perkara akan dibuatnya nanti.

"Yang lain memang ramai tapi tak akan sama dengan yang ada ni, mak ngah," ucapnya dan terus berlalu pergi dari situ.

Mendengar jawapan Shaqir, Mak Ngah Iman hanya mampu beristighfar. Langkah Shaqir diperhati bersama gelengan. Haih! Mati kutu dia hendak menasihati lagi.

AKU SHARK... DAN AKULAH LELAKI ITUWhere stories live. Discover now