Beg kamera Canon EOS 6D yang dibawa diletakkan di atas meja dan tubuh terus direbahkan ke kerusi. Mata dipejamkan dan perlahan-lahan nafas dihela. Lama dia begitu sebelum mata dibuka semula dan tubuh ditegakkan menghadap meja. Dengan wajah yang masih beku seperti tadi, kamera di dalam beg dikeluarkan. Tak sanggup rasanya hendak mengedit gambar-gambar yang diambilnya lebih-lebih lagi apabila teringatkan kemesraan merpati dua sejoli itu tadi.
"Macam mana photo shoot tadi? Okey tak?"
Terdengar satu suara menegur di muka pintu, kepala didongakkan. Sebaik mata terpandangkan Brian, kepala ditundukkan semula. Butang on kamera ditekan dan gambar di dalamnya diselak satu per satu.
"Shark?"
Shaqir berdeham. Mata masih lagi tancap merenung kamera di tangan.
"So, macam mana tadi?" Brian mengulang pertanyaannya tadi.
"Okey," balas Shaqir sepatah.
"Erm... Kau? Kau okey tak?" Shaqir yang masih leka merenung kameranya itu dipandang. Melihat riak sahabatnya itu, dia tahu Shaqir tidak senang untuk berbicara tentang Jeslina mahupun Redza sekarang.
"Hurm..." Sepatah lagi Shaqir membalas.
Brian menggeleng. Shaqir kalau sudah sampai mood tidak okey dia, memang begitulah riaknya. Suara pun serasa berat untuk keluar dari mulutnya. "Shark, kalau kau tak sanggup nak edit, biar aku yang buat. Tak pun suruh Ary yang settlekan," ucapnya menawarkan diri. Kasihan pula dia melihat reaksi Shaqir begitu. Beku dan tidak bersemangat sahaja.
Senyap.
Shaqir masih terus leka memerhati gambar-gambar yang diambilnya tadi. Gambar Jeslina direnung. Dengan hanya mengenakan jean dipadankan dengan blouse putih dan bersolek nipis, Jeslina tetap nampak cantik. Jelas tergambar wajahnya yang ceria dan bahagia. Diserikan pula dengan pemandangan indah di ladang ternakan UPM yang sememangnya cantik untuk sesi fotografi begitu. Puas memerhati, gambar lain diselak pula. Sebaik mata tertala ke arah gambar Redza dan Jeslina yang sedang merenung antara satu sama lain dengan riak manja dan malu-malu, hampir sahaja dilempar kamera tersebut ke dinding untuk melepaskan kekecewaan dalam hati.
"Sharkkk..." panggil Brian apabila air muka sahabatnya itu tiba-tiba berubah tegang. Bimbang juga kamera kesayangan sahabatnya itu menjadi mangsa dinding batu.
Nafas berat dilepaskan dan tubuh disandarkan ke kerusi semula. "Aku tak tahu kenapa aku buat semua ni sedangkan ia begitu menyakitkan hati!" bentaknya dan satu ketukan kuat dihempaskan ke atas meja.
"Relaks, Shark," pujuk Brian cuba menenangkan sahabatnya.
"Aku tak tahu sama ada aku boleh teruskan semua ni semasa majlis perkahwinan mereka nanti," keluhnya lagi.
"I know it's hard but you have to. Janji tetap janji." Brian mengingatkan pula.
Sekali lagi nafas berat dilepaskan dan dia bingkas bangun. Sambil mundar-mandir, hati yang sedang berantakan cuba ditenangkan.
"Entahlah Brian, benda ni memang sukar buat aku. Melihat orang yang kau suka tersenyum bahagia dengan orang lain depan mata memang menyakitkan," luahnya lagi tanpa segan silu. Rasanya sudah tidak mampu lagi untuk dia simpan perasaan itu.
Brian turut hela nafas. "Okey, kalau kau betul-betul tak boleh, aku akan ambil alih. Biar aku yang uruskan masa majlis tu nanti." Akhirnya dia mengalah. Dia ingat Shaqir dapat menerima kenyataan apabila melihat Redza dan Jeslina bersama tetapi semakin teruk kesakitan yang dilaluinya. Nampaknya perasaan Shaqir kepada Jeslina benar-benar serius.
Shaqir menoleh. Sahabatnya itu dipandang. "Please Brian. I really need your help this time," pintanya.
Brian tersenyum. Shaqir dihampiri dan bahu sahabatnya itu ditepuk. "That's what friends are for," balas Brian dengan kening terjongket tinggi. "Lagipun skill aku pun hebat juga," sambungnya membangga diri.
YOU ARE READING
AKU SHARK... DAN AKULAH LELAKI ITU
Ficção GeralPENULIS: MYRA AMEER TAJUK: AKU SHARK... DAN AKULAH LELAKI ITU TERBITAN MEI 2017 HARGA: RM28 (SM) / RM31 (SS) Dia bukan anak raja, bukan juga CEO syarikat ternama atau pelajar lulusan dari luar negara, tetapi dia hanyalah insan biasa yang punya kisa...