Masuk sahaja ke pejabat Redza, laju langkah diayun menuju ke bilik lelaki itu. Sejak semalam lagi hatinya membara apabila terfikirkan tentang lelaki itu. Patutlah sibuk sangat sejak kebelakangan itu, rupanya sibuk dengan betina lain! Marahnya apabila teringatkan kemesraan Redza dengan entah mana-mana gadis keluar dari kedai emas semalam. Sudahlah panggilannya pun susah hendak dijawab sekarang.
"Cik Sheren..." Baru sahaja Sheren ingin menyerbu masuk ke bilik Redza, cepat sahaja Anna, pembantu Redza menahan.
"I nak jumpa Redza," selambanya.
"Encik Redza tak masuk lagi."
"Tak masuk lagi?" Tombol pintu dilepaskan dan jam di pergelangan tangan dikerling. "Dah dekat pukul sebelas tak masuk lagi?" marahnya. Ermmm... Patutlah daddy sudah mula bising dengan prestasi kerja Redza sekarang, rupa-rupanya sudah hampir tengah hari pun masih belum masuk pejabat lagi!
"Rasanya Encik Redza masuk lepas lunch sebab pagi ni dia ada urusan di pejabat agama," beritahu Anna jujur.
"Pejabat agama? Buat apa?" Kening Sheren semakin terjongket tinggi.
"Cik Sheren tak tahu ke Encik Redza nak kahwin?" Bersungguh Anna bercerita. Dia teruja sebenarnya dengan berita gembira tersebut.
Sheren tergamam. "Apa? Kahwin?" soalnya dengan suara yang sudah mula berubah rentak.
Laju Anna anggukkan kepala. "Tinggal tiga minggu aje lagi." Tiga jari diangkat dengan sengih yang melebar.
Senyap. Sheren masih pegun dengan mata tak berkelip.
"Ermmm... Kenapa I tak tahu Redza dah bertunang?" soalnya setelah lama terdiam. Demi Tuhan, dia terkejut mendengar perkhabaran yang tiba-tiba itu. Patutlah Redza selalu tiada masa sekarang, rupanya sedang sibuk menguruskan hal perkahwinannya. Sibuk konon. Rupanya sibuk melayan tunang. Arghhh! Tak guna kau, Redza! jeritnya dalam hati.
"Encik Redza bertunang tak lama, Cik Sheren. Tiga bulan aje. Rasanya masa Encik Redza bertunang, Cik Sheren berada di luar negara. Mungkin sebab tu Cik Sheren tak tahu agaknya." Anna bercerita lagi seolah-olah membela bos sendiri. Bimbang juga sekiranya anak Datuk Fauzan di hadapan ini mengamuk tidak tentu pasal. Walaupun hubungan antara kedua-duanya adalah sebagai rakan niaga tetapi dia tahu Sheren sudah lama menaruh hati kepada bosnya.
"Oh..." Hanya sepatah perkataan itu yang terkeluar dari bibirnya.
"Siapa bakal isteri dia?" soalnya berbasa-basi dan dengan senyum yang dibuat-buat. Walau dalam hati sudah panas membara dengan amarah tetapi dia masih cuba untuk beriak bersahaja. Siapalah yang tahu tentang hubungan mesranya dengan Redza? Orang tuanya sendiri pun menyangka hubungannya dengan Redza adalah atas urusan perniagaan semata-mata.
"Cik Jeslina. Encik Redza kata kawan satu sekolah dan sekampung." Anna masih galak bercerita. Orang lain yang hendak kahwin, dia pula yang terlebih teruja.
Kepala diangguk-anggukkan perlahan dan bibir terus kelu untuk bersuara lagi. Kejam kau, Redza. Kau lampiaskan nafsu pada aku dan dalam masa yang sama kau pilih gadis lain untuk dijadikan isteri. Tak guna punya jantan! jeritnya dalam hati melepaskan amarah.
Fine! Kau belum kenal lagi siapa Sheren dan kau...Memang sengaja cari nahas! Hati menjerit lagi dengan perasaan yang membara.
"Cik Sheren nak tunggu Encik Redza masuk ke?" Melihat Sheren yang hanya terpaku di tempatnya, Anna bertanya lagi.
Sheren menggeleng. "Tak. Nanti I akan call dia. Thanks," balasnya dan terus buka langkah untuk pergi dari situ.
Anna memandang sahaja dengan wajah berkerut-kerut. Apa yang pasti, dia nampak dengan jelas kemarahan yang terpancar di wajah Sheren sebelum beredar tadi.
YOU ARE READING
AKU SHARK... DAN AKULAH LELAKI ITU
General FictionPENULIS: MYRA AMEER TAJUK: AKU SHARK... DAN AKULAH LELAKI ITU TERBITAN MEI 2017 HARGA: RM28 (SM) / RM31 (SS) Dia bukan anak raja, bukan juga CEO syarikat ternama atau pelajar lulusan dari luar negara, tetapi dia hanyalah insan biasa yang punya kisa...