Bab 14

1.1K 23 0
                                    

"Busy ke sekarang?" Gelas coke di tangan diletakkan semula ke atas meja dan Shaqir yang sedang menghidupkan api rokok dipandang.

Tidak menjawab pertanyaan Benz, Shaqir mengangguk. Asap rokok yang penuh di dalam mulut dihembus lepas.

"Macam mana budak yang aku suruh kau cari tu? Ada berita?" tanyanya pula.

Benz terdiam. Tubuhnya disandarkan ke dinding kerusi. Kotak rokok di atas meja dicapai dan sebatang rokok dikeluarkan. "Tak ada. Informer aku pun belum dapat apa-apa berita lagi. Cari maklumat dari tempat kerja lama dia yang kau beritahu tu pun tak dapat apa-apa. Sekarang informer aku tengah dapatkan maklumat tentang ahli keluarga dia atau saudara-mara dia," beritahunya dan api rokok dihidupkan.

Asap rokok dihembus lagi dan keluhan kecil dilepaskan. Sudah lama dia mencari tetapi sehingga kini bertemu jalan buntu. Ke mana menghilangnya gadis itu?

Mendengar keluhan sahabatnya itu, Benz kerutkan dahi. "Kenapa kau beria-ia nak cari dia?" soalnya ingin tahu.

Shaqir hela nafas. Rokok yang hanya separuh dihisap dilenyek-lenyekkan ke dalam bekas abu. Bahu dijongket. "Entah, tapi setiap kali teringatkan dia, aku jadi tak sedap hati," balasnya perlahan. Teringatkan gadis muda yang baru berusia 20 tahun ketika ditemui bernama Nadrah itu, hati dijentik oleh rasa tanggungjawab. Semuanya kerana pertemuan yang tidak dijangka sehingga menjerumuskan dia ke dalam satu keadaan yang agak mencemaskan suatu ketika dahulu.

"Siapa dia tu sebenarnya, Shark?" Kerutan di dahi Benz semakin berlapis-lapis. Pelik kerana Shaqir beria-ia mencari gadis tersebut sedangkan mereka langsung tiada apa-apa hubungan.

Sekali lagi bahu dijongket. "Aku tak berapa kenal dengan dia dan aku selamatkan dia pun secara kebetulan. Gadis yang cantik tapi sayang, memilih hidup yang begitu," luahnya kecewa.

"Kadang-kadang kelangsungan hidup yang mendesak seseorang jadi macam tu. Maklumlah, zaman sekarang cabaran hidup memeritkan. Yang kuat, selesalah hidup tapi yang mengharapkan tulang empat kerat untuk mencari sesuap nasi, akan semakin tertindas," ucap Benz meluahkan rasa hati. "Bak kata orang, yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin merempat kais pagi petang demi mencari sesuap nasi," sambung Benz lagi dengan nada kesal.

Shaqir mengangguk mengiakan. "Dunia sekarang, Benz. Penindasan ada di mana-mana dan disebabkan kisah hidup dia itulah aku ingin cari dia. Aku ingin sangat nak tahu macam mana keadaan dia sekarang. Kalau dia hidup dengan baik... Alhamdulillah. Jadi tak sia-sia pertolongan yang pernah aku hulurkan dulu."

"Kalau sebaliknya?"

Shaqir terdiam seketika kemudian kepalanya digeleng. "Entahlah, Benz," ucapnya perlahan.

"Kalau tak jumpa terus macam mana?" duga Benz pula.

Bahu dijongket. "Mungkin dah tak ada peluang untuk kami berjumpa lagi agaknya," balasnya.

Benz berdeham dan duduknya dibetulkan. "Orang hilang memang susah nak cari, Shark. Lebih-lebih lagi kalau maklumat tentang dia pun kita tak tahu," beritahunya.

Shaqir mengangguk. "Aku tahu tapi kau cubalah usahakan. Aku sanggup bayar. Kalau betul-betul tak jumpa, aku akan anggap dia dah hidup bahagia," ucapnya.

"Aku akan cuba yang terbaik tapi jangan terlalu mengharap," balas Benz berjanji walaupun dia tahu kemungkinan untuk berjumpa dengan gadis yang bernama Nadrah itu bukan semudah yang dijangka.

Sekali lagi Shaqir mengangguk. "Aku faham," akurnya. Air di atas meja terus dicapai dan dihirup.

"Oh ya Shark, jom masuk hutan minggu depan. Aku dengan Nathan nak pergi memburu," ajak Benz. Dia tahu Shaqir memang suka sangat dengan aktiviti lasak begitu lebih-lebih lagi kalau memancing di tengah lautan.

AKU SHARK... DAN AKULAH LELAKI ITUWhere stories live. Discover now