"Hati-hati bawa kereta, Redza. Jes, jaga diri baik-baik dekat tempat orang," pesan Puan Fauziah mengingatkan. Bimbang juga dia membiarkan Redza dan anak gadisnya berdua-duaan begitu walaupun mereka sudah bertunang. Lagipun ikatan tersebut bukannya ikatan yang membolehkan mereka ke sana ke mari dengan sesuka hati begitu. Ketika bertunang itulah segalanya perlu dijaga takut terlajak tingkah laku.
Redza tersenyum. "Baik, mak cik. Insya-Allah, saya akan jaga anak mak cik ni baik-baik," ucapnya berjanji sambil mengerling tunangnya sekali lalu.
"Mama janganlah risau. Insya-Allah, tahulah Jes jaga diri." Tangan Puan Fauziah diraih dan dipeluk.
"Risaulah. Selagi kamu berdua tak kahwin, selagi itulah mama risau," luahnya bersama helaan nafas perlahan.
Jeslina dan Redza tersenyum.
"Kami akan jaga diri, mak cik. Saya pun tahu batas-batasnya," akur Redza lagi. Jeslina mengangguk mengiakan.
"Yalah-yalah. Dah, pergi. Nanti lewat sampai kampung." Akhirnya Puan Fauziah mengalah. Orang muda walau apa yang dikatakan, pasti ada sahaja jawapan mereka. Mereka bukannya tahu hati orang tua sepertinya bagaimana.
Redza mengangguk. Luggage milik Jeslina dicapai dan terus dimasukkan ke dalam bonet kereta sebelum bakal ibu mentuanya itu dihampiri semula.
"Saya minta diri dulu, mak cik," ucapnya sopan.
Puan Fauziah mengangguk. "Yalah. Hati-hati," pesannya lagi.
"Jes pergi dulu, ma." Tangan Puan Fauziah diraih dan dikucup kemudian langkah terus diayun menuju ke kereta. Sebaik pintu dibuka, tubuh terus diloloskan ke dalam kereta.
"Kita pergi ambil Shark dulu, ya? Shark pun nak balik kampung." Tali pinggang keledar ditarik dan tunang di sebelah dikerling. Dia tahu, pasti banyak yang perlu dijawabnya sebaik nama Shaqir disebut, sebab itulah dia langsung tidak menyebut nama Shaqir tadi.
Tangan yang sedang memegang tali pinggang keledar terus terkaku. "Shark?" soalnya dengan kerutan di dahi.
Redza mengangguk.
"Kenapa dia perlu ikut kita sekali?" Shaqir memang suka menyibuk. Macam tak boleh nak balik kampungnya sendiri. Sibuk nak mengekor orang! bebelnya dalam hati.
"Kereta dia rosak, Jes. Kebetulan Mak Ngah Iman suruh dia balik juga minggu ni. Ada hal penting katanya." Redza cuba memujuk. Dia tahu Jeslina tidak suka dengan perancangan tersebut tetapi sebagai seorang kawan, tak mungkin dia membiarkan Shaqir begitu saja tanpa menolongnya. Lagipun laluan mereka sehala. Balik ke kampung yang sama.
"Jes tak sukalah," gumam Jeslina dengan wajah cemberut.
Melihat riak tunang kesayangannya itu, Redza tersenyum. Kereta terus dipandu pergi. Berlama-lama di situ, bimbang bakal ibu mentuanya itu terfikir lain pula.
"Sayang, Shark minta tolong abang dan abang tak mampu nak tolak. Kebetulan kita pun nak balik kampung, jadi tak salah kalau kita balik sekali." Semakin lembut Redza berbicara. Walaupun Jeslina bereaksi begitu tetapi dia tahu tunangnya itu bukannya gadis berhati batu dan susah hendak dipujuk.
Jeslina mendengus. Ingatkan kerjasama ketika perkahwinan Darwina dan Iskandar minggu lepas adalah pertemuan terakhir mereka tetapi lain pula yang berlaku.
"Lagipun, sayang kenalah berbaik dengan Shark. Kata nak minta Shark yang jadi photographer masa wedding kita nanti." Redza jongketkan kening. Senyum dibuka seluas mungkin.
Bunyi dengusan Jeslina kedengaran semakin kuat. Kepala ditolehkan ke arah lain. Itu yang susahnya. Itulah, siapa suruh tengok album gambar perkahwinan Darwina dan Iskandar? Kan dah terjatuh suka.
YOU ARE READING
AKU SHARK... DAN AKULAH LELAKI ITU
Ficção GeralPENULIS: MYRA AMEER TAJUK: AKU SHARK... DAN AKULAH LELAKI ITU TERBITAN MEI 2017 HARGA: RM28 (SM) / RM31 (SS) Dia bukan anak raja, bukan juga CEO syarikat ternama atau pelajar lulusan dari luar negara, tetapi dia hanyalah insan biasa yang punya kisa...