Prolog

305 15 0
                                    


SHRETTT... shrettt...

"Oi, cepatlah sikit!"

"Eh, sial! Kau bising-bising apa barang? Meh sini tolong aku kalau nak cepat. Jangan mengarah je pandai!"

"Semuanya aku kena buat. Baik aku buat sorang-sorang lagi cepat!"

"Berbunyik lagi kau! Ni! Pegang ni. Tarik belah sini. Aku kata belah siniii!!! Kau faham tak belah sini? Hah, tarik."

Shretttt... shretttt... shrettt...

"Aduh... celaka betullah kau ni. Jadah apa gali jauh-jauh?"

"Heh, jangan banyak cakap boleh tak? Nak dekat-dekat kau galilah sendiri, jangan suruh orang. Oi, tariklah! Jangan nak kencing aku, woi! Beria suruh aku tarik rupanya nak kencing aku!"

"Tutup mulut burit ayam kau tu. Tarik! Tarik!"

Shretttt... shretttt... shrettt...

Bunyi benda berat bergesel dengan tanah, ranting dan daun kering akhirnya berhenti. Hening malam dicemari pula oleh suara nafas mengah beradu hembus dan sedut. Semakin lama semakin mendap bunyinya sebelum hilang berganti suara unggas malam yang tidurnya terganggu.

"Okey, aku kira sampai tiga, lepas tu tolak. 1, 2, 3 tolak!"

"Iyyahhh!"

"Tolaklah kuat sikit! Macam bapok je kau ni."

"Iyyahhh...

Dup!

"Aduh! Arghhh... sial!"

"Bapak bapoklah kau ni! Cakap kemain hebat. Siallah, celakalah, burit ayamlah panggil ke orang tapi kau sendiri lembik ngalahkan sotong!"

"Tarik aku keluar! Tarik aku keluar!"

"Ha ha ha ha... tadi berlagak sangat. Tak sangka bacul jugak kau rupanya! Yang kau ikut terjun sekali sapa suruh?"

"Oi, sial! Tarik aku keluar!"

"Kau panggil aku apa?"

"Tarik aku keluar, taik!"

"Ha ha ha... mintak tolong tapi kurang ajar!"

"Oi, sial! Tarik aku keluar!"

"Tolonggg..." Suara meminta tolong kedengaran. Lemah bunyinya.

"Shhh! Bunyi apa tu?"

"Mana? Mana ada bunyi! Kau jangan nak takutkan aku, woi! Tarik aku keluar!"

"Shhh!"

Hening mencengkam.

"Tolonggg..." Suara itu merayu lagi.

"Heh! Dia hidup lagilah! Dia hidup lagi. Tarik aku keluar! Tarik aku keluar!"

"Tak guna! Dia hidup lagi. Nah, ambik penyodok ni."

"Nak buat apa?"

Jeda.

"Ah, tak nak aku! Kau nak kau buat. Aku tak nak! Aku nak keluar. Tarik aku!"

"Pala bapoklah kau ni. Kau cakap je hebat. Pung pang pung pang tapi bacul! Ke tepi kau."

Tuk! Tukk!! Tukkk!!!

TEPAT jam 4.30 pagi, seperti yang sudahku jangkakan, lampu dapur rumah itu menyala. Tingkap dapurnya berkaca seperti skrin televisyen LED, palang besi kekisi keselamatannya berjarak dan langsirnya pula jarang, memudahkan aku melihat segala apa yang berlaku di dapur itu dari luar.

Pagi itu sebagaimana pagi-pagi sebelumnya, aku melihat dia menyibukkan diri di dapur. Mengerekot mulutku menahan sebak bila ternampak dia terbongkok-bongkok menjinjing cerek besar yang berat berisi air itu ke kabinet. Halkumku tidak berhenti turun naik menelan liur menanggung sayat. Ingin sekali kuhulurkan tanganku tetapi apakan daya...

Tubuh yang tup-tup longlai, aku sandarkan pada penyandar bangku kereta. Kepalaku yang meminjam kekuatan penyandar kepala, kutelengken sedikit agar mudah mataku mengekori pergerakannya. Bukti betapa remuknya hati dia terpamer pada wajahnya, pada kusut masai rambutnya dan pada bahunya yang ditolak tinggi ke atas semasa dia menarik nafas. Spontan aku mencengkam dada kiriku yang mendabak sakit seolah-olah dicucuk oleh benda tajam. Dan air hangat mengalir dari bucu mataku lalu menitis ke pipi.

Ya Allah, berikanlah aku kekuatan!

Aku terus memerhati sehinggalah dia menghilangkan diri dari dapur itu. Lampu dapur, seperti kebiasaannya dibiarkan menyala. Aku tahu dia bergegas ke bilik tidurnya untuk mengerjakan solat sunat tahajud sebelum waktu solat subuh menjelma. Dia memang gemar mengerjakan solat sunat tahajud itu.

Katanya kepadaku, "kerjakanlah solat sunat tahajud. Bila ada masa, kerjakanlah. Doa di akhir solat sunat tahajud tu bak anak panah malam. Bila dilepaskan dari busurnya, ia pasti akan mengenai sasaran. Maksudnya, apa saja doa yang dipanjatkan kepada Allah pada masa tu, pasti akan dimakbulkan-Nya. Pasti! Lambat dengan cepat je."

Kuraup dua tanganku ke muka yang sudah panas. Terasa air hangat yang merembes, menyelit di celah-celah jariku. Hanya itu yang termampu aku lakukan bila hati ini dirundung rindu terhadapnya.

Bersandar sambil menunggu dia kembali ke dapur itu. Air mata yang membasahi pipi kubiarkan kering sendiri. Tidak akanku kesat testimoni cintaku terhadapnya dari wajahku. Fikiranku mengulangi perbualan kami yang lalu. Alangkah bagusnya jika dia bersetuju untuk hidup bersamaku. Alangkah bahagianya hidupku.

Malang bagiku, dia menolak lamaranku. Dia tidak sanggup meninggalkan segala-gala yang telah dibinanya selama ini semata-mata untuk hidup bersamaku, walaupun segala-gala itu hanya mendatangkan derita kepadanya. Jujur aku tidak memahami kesetiaannya, sedangkan sudah acapkali aku melihat dia menangisi nasib dirinya.

Apa yang mahu dipertahankannya lagi?

Sudahku angkat ikrar berpaksikan nama Allah bahawa aku akan memberikan yang terbaik untuknya tetapi dia tetap menggeleng. Senyumannya tulus melambangkan keikhlasan hati menerima takdir hidup yang telah tertulis buatnya. Aku tidak sanggup menerimanya. Aku tidak faham!

Dia kembali ke dapur dan aku kembali memerhati. Wajahnya sedikit berseri berbanding tadi. Cahaya air wuduk terbias di mukanya. Rambutnya bersikat rapi, tidak masai seperti tadi. Dia membancuh minuman pagi, lalu meletakkan teko berisi kopi panas itu di atas meja.

Spontan aku memejamkan mata dan menghidu dalam-dalam aroma kopinya yang tetap akan segar di sanubariku buat selama-lamanya.

"Ahhh..." Kelopak mata yang melekat kupisahkan semula.

Aku rindu pada kopinya. Puas aku mencari kedai makan yang pandai menyediakan kopi setaraf dengan kopi yang dibancuhnya, namun tiada yang mampu menandinginya.

Dia menoleh laju ke arah pintu. Sesaat kemudian, kekasih hatinya masuk ke dapur lalu menghampirinya. Liurku telan lagi sambil mataku tajam memerhati. Seperti terdengar-dengar perbualan mereka di telingaku.

"Sakit ke?" soalnya.

"Takde apalah. Jangan awak risau," jawab kekasihnya.

Kesedihan merodok dinding hatiku. Bila dia mengusap lembut dahi lelaki itu, aku tersentak.

Ya Allah, mengapa hidup ini terlalu kejam? Mengapa Kau izinkan ia terjadi lagi? Mengapa, ya Allah?

Tidak sanggup menyaksikannya lagi, buru-buru aku meninggalkan lorong di belakang rumahnya itu.

Dari Tanah Ke TanahWhere stories live. Discover now