#1 Ali

166 11 2
                                    


KRIIINGGG...

Menggelupur tubuh Ali disentak dari tidur yang sangat dalam bila telinganya disumbatkan dengan jeritan jam loceng yang maha dahsyat. Bengang betul dia dikejutkan dengan cara yang sangat kurang ajar itu, namun hendak dihalakan kemarahan itu pada siapa? Bukannya orang lain yang membelikan jam loceng yang paling lantang deringannya itu untuknya. Dia beli sendiri!

Takkan terjaga dia jika jam yang menjadi tukang kejutnya itu mengeluarkan irama lembut penuh syahdu. Makin terlena, mungkin!

Kepalanya menggerenyut kesakitan. Rasanya baru sahaja dia masuk tidur. Dalam sepuluh minit begitu. Takkan sudah pagi?

Hati Ali bersungut lantaran tidur yang tidak mencukupi.

Berderam-deram mulutnya tatkala tangan menggapai menggila mencari jam loceng di atas meja kecil di sebelah katilnya. Mata haram dibuka. Kelopak matanya masih melekat dek rasa kantuk yang hebat.

"Arghhh..." rengusnya dengan kasar lantaran sangat tertindis perasaan dengan lalakan yang menyakitkan hati dan telinga. "Pukul berapa ni? Takkan dah pukul enam kut," omelnya, marah.

Tangannya terus menggapai mencari objek yang ternyata kecil sahaja saiznya tetapi hingarnya, masya-Allah... namun, entah di mana pula terletaknya jam loceng itu, padahal meja sisi katilnya itu bukanlah besar sangat.

"Mana engkau ni, jam?" dengusnya, kasar.

Terasa dipermainkan, Ali terpaksa membuka matanya.

"Nok-haram!" jeritnya, selantang lalakan jam locengnya.

Terus dia melompat turun dari katil tetapi terpaksa bertinggung memegang birai katil untuk menstabilkan diri yang sedikit pening. Mulutnya terkumat-kamit tetapi entah apa yang dibacanya, meraban-raban.

Matanya yang kabur ditajamkan supaya dia dapat mengawasi susuk tubuh berbalut kain putih yang duduk di birai katilnya. Ketika itu rasa kantuk dengan ajaibnya menghilang diganti oleh ketakutan yang terzahir melalui renik-renik peluh dingin yang bertebaran di atas dahi dan batang hidungnya. Jantungnya berdegup laju, menyebabkan dadanya sakit menyengat. Rasanya jika degupan jantung itu tidak diperlahankan, bila-bila masa sahaja dia akan rebah. Pengsan atau mati, wallahualam!

Biar pengsan. Dia masih terlalu muda untuk mati. Impiannya pun masih banyak yang belum tercapai lagi.

"Nokharam kamu kata aku? Amboih, mulut kamu! Kemain lagi!" hambur susuk tubuh berbalut kain putih itu.

"Mak?!" Mata Ali semakin fokus dan terlihatlah wajah emaknya dalam suasana bilik tidurnya yang kelam itu.

"Yalah! Maklah ni. Kamu ingat siapa? Hantu?" Fatimah ketawa seraya mendiamkan jam loceng yang masih memekak di tangannya.

"Ya Allah, mak..."

Ali bersandar pada dinding untuk menghilangkan gementar. Lemah kembali tubuh badannya bila ketakutan yang menguasainya lenyap. Mata terus merenung emaknya yang berselubung dengan telekung, kemudian melirik pada jam loceng yang sedang dibelek-belek oleh tangan emaknya.

'Patutlah aku cari tak jumpa. Mak pegang rupanya,' desis hati Ali. "Kenapa mak buat Ali macam ni, mak? Mati terkejut Ali nanti macam mana?"

"Hish! Sah-sah mak yang mati dulu, Ali," tingkah Fatimah.

"Ajal maut bukan kira tua muda, mak!" Ali menghamburkan keluhan yang maha dahsyat. "Jangan buat lagi, mak. Mati terkejut Ali nanti," ulangnya sambil mengusap dada yang masih dilanyak debaran.

"Lama sangat jam loceng ni berbunyi. Mak masuklah tengok apa ke halnya."

"Kenapa mak tak tutup je jam tu tadi? Sanggup mak dengar jam tu melalak!" Mengeluh lagi dia. "Dah pukul berapa sekarang ni?"

Dari Tanah Ke TanahWhere stories live. Discover now