#3 Kau

118 8 0
                                    


'KAU memang maha kurang ajar dan maha menyakitkan hati. Kerana engkau hidup aku tak tenteram macam dulu. Kerana engkau, aku terpaksa buang masa aku. Kau tahu tak harga masa aku mahal? Kau ingat masa aku macam masa kau? Satu sen pun tak guna.

Haram jadah punya manusia! Kau ingat dunia ni kau punya sorang? Kau ingat kau siapa suka-suka hati cari salah aku? Kau ingat aku ni apa? Muncikari kau? Lahanat betul!'

Nafas terpaksa kutarik dalam-dalam dan berkali-kali untuk meredakan gigil yang semakin parah di seluruh tubuh badanku. Pagi-pagi lagi dia buat aku naik angin. Dia sudah puas hidup agaknya!

Cakap sahajalah kalau sudah puas. Aku boleh uruskan. Nak kena rogol? Kena bunuh? Kena bakar? Kena kerat? Semuanya boleh aku uruskan. Cakap sahaja!

Kupejamkan mata. Kuberdoa pada Yang Maha Esa. Tenangkanlah hatiku, ya Allah. Hilangkanlah kemarahanku, ya Allah. Aku merayu. Redakanlah sakit di dadaku.

Perlahan-lahan aku dapat merasakan doaku sudah dimakbulkan. Nafasku tidak lagi sekuat lenguhan nafas lembu. Romaku terbaring tidak meremang seperti tadi dan bintil-bintil ayam togel pada kulitku juga sudah surut.

'Terima kasih, ya Allah. Terima kasih!'

Sebak betul aku.

Kepenatan, aku bersandar sambil mengenangkan hidupku yang tunggang-langgang disebabkan olehnya. Aku tidak pernah mengganggunya. Kenal pun tidak. Entah apa sebabnya dia mencari perhatianku. Apa yang dimahukannya pun aku tidak tahu tetapi sekarang, memang mendapatlah.

'Kau nak perhatian aku sangat kan? Aku akan bagi perhatian yang kau nak tu. Tunggu. Aku akan bagi!'

Aku menunggu dia di tempat yang aku tahu dia akan lalu. Aku parkirkan keretaku secara parallel di tepi jalan dan duduk di situ dengan penuh sabar. Aku tidak berjanji pun hendak berjumpa dengannya. Sengaja membuat kejutan yang aku jangka tidak mungkin akan dilupakannya untuk selama-lamanya. Mungkin juga kejutan itu akan membahagiakan hatinya. Siapa tahu, orang berperangai haram jadah ini mungkin penerimaannya serupa haram jadah juga.

Atau... mungkin juga kejutanku ini akan membuatkan dia berfikir banyak kali sebelum mengulangi perbuatan sialnya!

Semuanya terpulang pada penerimaannya terhadap kejutanku. Aku berserah sahaja pada dia.

Agak lama juga aku terpaksa menunggu, barulah keretanya muncul. Apa yang melengahkannya pagi ini, aku pun tidak tahu. Melihat keretanya memberikan lampu isyarat di simpang tiga, aku pun menekan tuil untuk menyalakan lampu isyarat keretaku. Selepas memastikan tidak ada kereta lain datang dari arah belakang, barulah aku keluar dari kotak parkir dan mengekorinya dengan rapat.

Dia nampak aku. Banyak kali dia memerhatikanku melalui cermin pandang belakang. Senyuman tidak mampuku tahankan lagi. Rasa curiga telah tumbuh dalam hatinya. Ya! Dia curiga. Dia sangsi. Dia sedang berteka-teki dengan niatku. Cuma dia masih belum panik lagi kerana dia tidak mengenali kereta yang aku pandu. Yalah, takkanlah aku bodoh sangat memandu keretaku yang biasa dilihatnya. Sebab itulah aku keluar lebih awal daripada kebiasaannya semata-mata untuk menukar kereta. Toyota ini, dia tidak pernah nampak aku guna. Cermin hadapan kereta ini juga berwarna, jadi semakin sukarlah matanya untuk mengecamku.

'Apa kau fikir aku nak mudahkan hidup kau lepas kau menyusahkan hidup aku? Hah! Kau yang nak sangat kan? Kau yang mintak. Terimalah doa kau yang aku makbulkan ni!'

Aku terus mengekorinya dan dia menggunakan fungsi cermin pandang belakang itu dengan sebaik-baiknya, memerhati aku dengan penuh waspada. Kerisauannya dapatku lihat dengan jelas pada balikan matanya di cermin itu.

'Kau takut apa? Aku nak main-main je. Kau kan suka main-main.'

Walaupun sebentar tadi dia mungkin berasa sangsi dengan kehadiranku yang mengekori ke mana sahaja dia pergi, namun akhirnya aku nampak kelegaan pada matanya bila dia membuat kesimpulan bahawa aku, seperti dia dan juga orang lain, sedang berkejaran menuju ke stesen LRT yang sama untuk bergegas ke tempat kerja.

Terburai tawaku memikirkan spekulasi yang disimpulkannya itu. Bernas! Cukup bernas!

'Teruskan berfikir dengan positif. Mudah sikit kerja aku. Sebenarnya apa yang kau fikirkan tu tersasar jauh! Hari ni aku akan tunjuk niat sebenar aku kat kau. Bersedialah!'

Berderet-deret kereta yang ingin masuk ke pekarangan parkir kereta stesen LRT itu. Aku terus membontoti keretanya sehinggalah dia membelok masuk dalam kotak parkir kosong. Aku lihat kepalanya tertoleh-toleh ke arahku bila aku parkirkan keretaku di sebelah keretanya. Pasti rasa sangsinya tumbuh kembali. Yalah, masih banyak lagi tempat kosong di merata-rata, mengapa di sebelah keretanya juga aku parkir?

'Ha ha ha ha...'

Aku terus duduk di dalam kereta kerana sememangnya aku tidak berniat untuk turun di situ. Enjin kereta pun tidakku matikan. Aku hanya merenung ke arahnya yang terus duduk di dalam keretanya dan belum turun-turun lagi. Mungkinkah dia sedang menunggu aku turun dahulu?

'Kasihannya... kau tunggulah sampai kiamat!'

Melebar senyumanku bila melihat kegelisahannya yang semakin bertokok dari saat ke saat lantaran dia tidak boleh melihat aku sebagaimana aku dapat melihatnya. Seperti cermin hadapan kereta ini, cermin tingkapku juga berwarna. Oleh itu dia hanya boleh nampak susuk tubuhku bergerak-gerak di dalam kereta tetapi melihat aku dalam erti kata sebenarnya, tidak sama sekali!

Akhirnya, dia terpaksa mengalah. Gerak-gerinya menunjukkan bahawa dia sedang bersiap sedia untuk turun dari kenderaannya. Ternyata, dia sedar dia akan terlepas LRT dan entah apa lagi selepas itu, jika dia terus melayan kedegilannya menunggu aku turun dahulu.

Semasa dia membuka pintu keretanya, aku mengundurkan kenderaanku dengan laju, disambut lengkingan hon dari kereta di belakang keretaku. Mengejutkan dia. Mengejutkan aku. Terpinga-pinga dia, terpaling-paling untuk melihat apa yang telah terjadi.

Menggeletar tanganku. Jika tidak kerana kemahiranku mengendalikan kereta, mungkin bontot keretaku sudah penyek akibat bercium dengan bonet kereta yang sedang menelusuri lorong kecil itu mencari parkir.

Aku tertekan minyak sebenarnya. Bukan sengaja aku mengundur laju. Berderau jugalah darahku tadi. Nyaris identitiku terbongkar!

Segera aku mengangkat tangan ke arah kereta yang hampir berlanggar dengan bontot keretaku. Biar aku meminta maaf kerana aku tidak takut mengakui kesalahanku. Aku bukan seperti dia yang hanya pandai mencari kesalahan orang lain. Kemudian aku berlalu, sebelum dia sempat melihat nombor keretaku.

'Aku pergi dulu. Kejap lagi aku datang balik untuk lunaskan urusanku dengan kau.'

Dari Tanah Ke TanahWhere stories live. Discover now