#4 RM1.5 juta

153 7 0
                                    

ALI tiba di pejabat tepat pukul 8 pagi. Ingatkan tidak sempat sampai sebelum masuk waktu kerja, rupa-rupanya sempat juga. Dia mengelap peluh yang mencurah di muka sambil menegur stafnya dengan ramah sebagaimana kebiasaannya.

"Tolong doakan takde orang marah-marah kat saya pagi ni, Liza," kata Ali sambil lalu di hadapan meja setiausahanya.

"Saya doakan orang tu takde alasan nak marah-marah Encik Ali pagi ni, aamiiin..." Liza meraup mukanya dengan dua belah tangan.

"Aamiin..."

"Encik Ali!" seru Liza tergesa-gesa. "Kenapa Encik Ali masuk kerja hari ni? Rajin betul!" Liza tersenyum kecewa. Terbatallah rancangan yang sudah dibuatnya. Bos ada.

Terhenti langkah Ali. Dia berpatah balik berdiri di sisi meja Liza. "Awak masuk kerja kenapa?" tanya Ali, tersalah faham.

"Takdelah... kan Encik Ali dapat off hari ni. Kalau saya, memang tak datanglah... orang dah bagi cuti baik saya qada tidur. Letih ooo...."

Berkerut-kerut dahi Ali, terasa seperti bersembang dengan makhluk asing. Dia memang mudah bosan bila bercakap dengan spesis dari planet Zuhrah ini. Mereka suka bercakap entah apa-apa. Menyusahkan kepala otaknya sahaja. Kalau boleh elak, memang dia akan elak tetapi oleh sebab ofisnya didominasi oleh spesis itu, termasuklah setiausahanya itu, nak tak nak terpaksalah Ali hadap juga.

"Takde bawak oleh-oleh untuk kami ke?" Soalan Liza menahan Ali yang hendak pergi.

"Takde." Jawapan berbaur umpan Ali berikan supaya dia dapat mengorek maksud cakap setiausahanya. Dia pergi ke mana sampai hendak membawa balik oleh-oleh untuk mereka?

"Lain kali pergi Langkawi tu, belilah oleh-oleh untuk kami. Bukannya mahal pun. Dulu pergi Jepun pun tak bawak balik apa-apa. Kami bukannya ramai sangat. Boleh je beli satu souvenir setiap minggu kalau nak."

Suara Liza bernada merajuk, sedangkan dia tahu bosnya itu bukanlah jenis yang suka membawa balik oleh-oleh. Dia pun bukannya hendak sangat oleh-oleh dari Langkawi. Sudah banyak fridge magnet yang diterimanya daripada kawan-kawan yang bercuti di sana. Tetapi dia masih terkilan dengan Ali kerana tidak membawa balik apa-apa untuknya selepas berkursus selama tiga bulan di Jepun tahun lalu. Dapat sahaja peluang, memang diungkitnyalah kisah lama itu.

Yalah, Ali kenalah faham. Jepun itu jauh. Bukan macam Langkawi!

Jawapan sudah diperoleh. Spontan Ali memerah otak. Bila dia ke Langkawi?

"Encik Ali!" Liza melambaikan tangan di hadapan muka Ali. "Sempat berangan pulak dia!"

"Sorry. Saya lupa."

"Busy sangatlah tu..." Sindiran lembut Liza hadiahkan. "Best tak Langkawi? Dah lama saya teringin nak pergi, tak pernah kesampaian," ujarnya lagi.

"Lain kali awak pulak pergi. Dah! Pergi buat kerja tu. Sembang je!" arah Ali yang kembali melangkah menuju ke bilik kecil yang dijadikan pejabatnya. Fikirannya berkecamuk. Dia cuba menjejak kembali langkahnya semalam. Rasanya dia bekerja semalam. Ada sahaja di pejabat. Langkawi? Bila masa?

Jejak fikirannya terganggu bila dia melihat sahabat baiknya yang dipanggil Apek, sedang duduk menunggu di dalam pejabatnya.

"Awalnya, Pek!" tegur Ali usai memberi salam. Tertanya-tanya hatinya apa yang Apek mahukan daripadanya pagi itu.

"Nak ajak kau sarapan."

"Aku dah sarapan kat rumah," jawab Ali, cuba mengawal nafasnya yang masih berbunyi kuat. "Mak ayah kau sihat?" soalnya lagi.

Dari Tanah Ke TanahWhere stories live. Discover now