"KAU perasan tak Noran sindir aku tadi?" soal Apek pada Ali. Mereka di parkir kereta di luar hotel.
"Tak," jawab Ali. Memang dia tidak perasan apa-apa sebab dia sendiri sedang sibuk menilai buruk baik dirinya berada di hotel itu.
"Bahaya dia ni. Tak puas hati aku dibuatnya." Apek mengeluh-ngeluh. Dia tidak suka mempertahankan diri. Alternatifnya satu sahaja - dia terpaksa 'mengajar' Noran.
"Dia sindir apa?"
"Alah, masa Tok Zel jemput kita ke majlis pecah tanah tu. Dia kata dia putera lilin. Sebelum tu dia cakap apa cuba kau ingat balik." Apek berhati-hati mengeluarkan kata-kata. Kawasan parkir di luar hotel itu sunyi sepi tetapi kalau dinding di dalam hotel pun boleh ada mata dan telinga, apatah lagi sederet kereta yang terparkir di luar sini.
"Entah, aku tak ingat." Ali menggeleng. Malas dia menyelak balik perbualan di dalam suite mewah tadi. Ramai sangat yang bercakap. Lagipun dia sendiri ada soalan yang ingin diajukannya kepada Apek. "Pek aku nak tanya sikit."
"Alah, Li... relaks arrr... tak payah nak tanya soalan bagai." Apek menyerakkan pandangannya dengan penuh waspada.
"Macam mana kau boleh join diorang?" Ali tidak mempedulikan bantahan Apek. Dia terpaksa tanya. Kalau Apek mahukan penglibatannya, Apek kena jawab soalannya.
Ali dapat merasakan khidmatnya sangat diperlukan kali ini. Kalau tidak, Apek takkan mengajaknya. Selama ini mereka tidak memerlukannya. Korum mereka sudah cukup tetapi mereka terpaksa menambah orang. Lebih tepat lagi mereka terpaksa menambah dia dan hanya dia, bukan orang lain.
Sebab apa mereka memilihnya, belum dapat Ali pastikan lagi tetapi sebelum dia menerima pelawaan mereka, dia mahu tahu beberapa perkara dahulu. Dia hendak tahu sejak bila Apek berkawan baik dengan ketiga-tiga orang pegawai bermasalah itu. Selama ini dia dan Apek bersahabat karib. Mereka hidup serumah. Bukan sekejap mereka hidup di bawah satu bumbung yang sama. Hampir sepuluh tahun!
Jadi, bila masanya Apek bercampur dengan Noran, Darshah dan Alim? Dia tidak pernah nampak pun mereka berkumpul bersama. Jangan bagi alasan mereka baru sahaja berkawan kerana dia takkan percaya. Jelas di matanya mereka sudah terlalu akrab. Ada sefahaman antara Apek dengan ketiga-tiga orang pegawai bermasalah itu.
Apek menyedut rokoknya dalam-dalam sehingga apinya membakar ke puntung, kemudian puntung rokok itu dibuang ke tanah lalu dilenyek-lenyekkan dengan tumit kasutnya.
Ali sekadar memerhati.
"Kalau kau nak tahu sangat, diorang tu yang join aku," ujar Apek dengan riak bangga. Tidak pula dia menyebut hakikat bahawa Tok Zel yang mencadangkan nama ketiga-tiga orang pegawai bermasalah itu kepadanya.
"Sejak bila?" tekan Ali.
"Tahun lepas."
Terlalu terkesima, Ali hanya mampu meratah muka Apek dengan mata. Selama mereka tinggal serumah, dia tidak pernah mendengar pun Apek menyebut nama ketiga-tiga orang pegawai bermasalah itu. Orang lain pasti akan tersasul tetapi tidak Apek. Tidak pernah! Padahal Apek ini spesis mulut jamban. Mulut celaka. Saban hari ada sahaja keburukan orang lain yang dijajanya tetapi tidak pernah sekalipun dia bercakap tentang tiga orang pegawai kanan yang bermasalah itu.
"Macam mana kau boleh kenal diorang tu? Tahulah kita kerja kat satu tempat tapi kau kan tahu reputasi diorang!" Ali masih tidak puas hati. Terlalu banyak tebak bermain dalam kepalanya.
"Kau tak payah banyak tanyalah, Li. Jangan semakkan fikiran kau dengan benda-benda yang kau tak perlu tahu," saran Apek, lemas dengan desakan Ali. "Kita nak cari kerja sampingan. Nak cari duit lebih. Hal peribadi tolak ke tepi. Tak payah nak ambik tahu sangat. Yang penting kerja kita jalan."
YOU ARE READING
Dari Tanah Ke Tanah
HorrorMengisahkan Ali yang dilanda amnesia sejak berpindah ke rumah sendiri. Pelbagai kisah misteri menghantuinya. Adakah itu Iblis? Penjahat... atau adakah dia dipermainkan oleh orang yang dipercayainya?