"CEK merata," arah Tok Zel lagi.
'Hantu-hantu belaan' Tok Zel mengambil tempat masing-masing di hadapan setiap dinding di dalam ruang tamu suite itu. Oleh sebab Ali tidak memahami pucuk pangkal arahan yang diterima, dia hanya duduk diam sambil memerhati Apek dan yang lain-lain menghalakan telefon pintar masing-masing ke beberapa arah.
"Diorang nak pastikan takde hidden camera dalam bilik ni." Tok Zel menerangkan kepada Ali tanpa dipinta.
"Kenapa ada orang nak rakam pulak, tuk? Siapa? SPRM ke?" Rasa pelik dalam hati Ali semakin menjadi-jadi. Setahunya, hanya SPRM yang suka merakam aktiviti individu yang mereka syaki menjalankan kegiatan haram.
Dari kurang selesa, hati Ali terus jadi tidak selesa. Dia berpeluk tubuh di sebelah Tok Zel. Dalam hati terdetik rasa kesal. Niatnya datang ke situ untuk menimba ilmu menambahkan kekayaan tetapi nampaknya ilmu menambah bala dunia akhirat yang bakal diperolehnya!
"Takdelah. Lebih baik berhati-hati," jawab Tok Zel, yang kurang senang jadi perasaannya bila mendengar soalan Ali yang tidak berlapik langsung.
"Clear, boss," lapor Apek.
Yang tiga orang lagi pun memberikan laporan yang sama.
Lampu dinyalakan semula.
Tok Zel menyuruh tiga 'ekor hantu belaannya' mengambil tempat duduk masing-masing, sementara Apek pula disuruh pergi ke bilik yang sebuah lagi iaitu bilik tidur suite tersebut. Tidak lama di dalam bilik tidur itu, Apek keluar semula dengan menjinjing lima buah beg kertas keras berwarna keperangan yang bersaiz sederhana.
Semua berjeda. Mata masing-masing tertumpu pada Apek.
Ali hanya memerhati dengan dada yang berdebar-debar semasa Apek menyerahkan setiap satu beg itu kepada Alim, Noran dan Darshah. Ali tengok ketiga-tiganya menerima beg itu dengan senyuman yang paling berseri di muka mereka. Teringin sangat hatinya hendak tahu isi kandungan beg-beg itu.
Ada lima buah beg semuanya. Terlintas dalam hati Ali, beg yang sebuah lagi itu untuk siapa? Dia pun dapat jugakah?
'Kau jangan nak beranganlah, Li,' desis hati Ali. 'Baru join takkan dah dapat habuan!'
Benar seperti kata hatinya, beg keempat itu Apek serahkan kepada Tok Zel. Yang kelima pula ternyata untuk Apek sendiri, yang dibawa ke tempat duduknya iaitu di sebelah Ali.
Apek hanya tersenyum penuh bermakna bila melihat pandangan mata Ali yang jelas rakus dan tertanya-tanya. Berminat nampaknya Ali ingin tahu isi di dalam beg kertas itu.
'Kau tak payah tanyalah, Li. Tunggu je Tok Zel buka cerita,' desis hati Apek.
"FYI, minggu depan kita dijemput ke upacara pecah tanah." Tok Zel memecahkan jeda.
Pengumuman Tok Zel itu disambut oleh hingar gelak tawa empat 'ekor hantu belaannya.'
"Terima kasihlah, tuk kerana menjemput kami tapi kami rasa kami pergi masa raya Cina ajelah, tuk. Masa tu ada angpau," ujar Darshah.
Mereka ketawa lagi. Di mana lucunya, Ali pun tidak tahu, namun dia ikut tersenyum.
"Duit je yang kamu nampak!" Tok Zel menghela nafas dengan kuat.
"Cash is Kinglah, tuk! Ish, tuk ni macam tak faham pulak," jawab Alim dalam nada menyindir.
Berderai lagi hiruk-pikuk tawa mereka.
"Tak payah penat-penat jemput kami pergi ke upacara pecah-pecah tanah ni, tuk. Kalau dapat tanah sebidang, gagahlah jugak kami pergi." Noran melirikkan pandangan ke arah Apek. Gambaran cemburu tertera pada renungannya. "Tapi kalau nak suruh pergi sesaja, uhhh... tak payahlah. Tak sanggup den terpacak kek bawah terik matahari. Den ni kalau tuk nak tahu, putera lilin!" Noran ketawa untuk menyembunyikan perasaannya yang sebenar.
YOU ARE READING
Dari Tanah Ke Tanah
HororMengisahkan Ali yang dilanda amnesia sejak berpindah ke rumah sendiri. Pelbagai kisah misteri menghantuinya. Adakah itu Iblis? Penjahat... atau adakah dia dipermainkan oleh orang yang dipercayainya?