"EH, kalau ya pun duduklah dulu. Tak senonoh betullah perangai! Awak tu dah besar panjang, bukannya budak-budak lagi. Dah layak jadi bapak budak pun. Pegawai pulak tu! Duduklah, Li. Tak suka betul mak tengok kamu makan macam tu," bebel Fatimah bila melihat Ali makan cekodok pisang yang dimasaknya sambil berdiri. Sebelah tangan Ali memegang cekodok, sebelah lagi memegang cawan. Berselera sungguh anaknya itu makan cekodok bodohnya.
"Tak sempat." Sengaja Ali menjawab begitu supaya emak membebel lagi. Bebelan emak bak muzik di telinganya.
"Duduk mak kata! Haih, kamu ni. Kenapa degil sangat ni? Tak reti nak duduk ke? Ada Tuhan bagi punggung tak nak duduk. Tak mensyukuri nikmat langsung!" Bagai bertih jagung mulut Fatimah berleter.
"Tahu punggung ni untuk duduk tapi Ali kena keluar awal pagi ni. Nak jumpa kawan dulu sebelum masuk kerja. Kalau dah duduk memang lambatlah Ali bangun," kata Ali lagi, mengekek dalam hati melihat muka ketat emak bila mendengar jawapannya.
Sambil menyakat emak, dia tidak henti-henti melihat jam tangannya takut terlewat. Terlewat bermakna terlepaslah peluang yang dirancangnya sejak beberapa hari yang lalu. Dia tidak mahu membuang masa membuat rancangan baru.
"Kawan kamu tu lelaki ke perempuan?" Fatimah merisik maklumat.
"Mak teka?"
"Perempuan!"
Ali tersenyum sahaja. Mengiakan tidak, menafikan pun tidak. Biarlah jawapan itu menjadi rahsianya seorang. Dia memeriksa jam tangannya sekali lagi. Sambil mengunyah, dia menghirup kopi panas dengan perlahan dan berhati-hati, takut tertumpah terkena baju kemeja lengan panjang berwarna putih yang dipakainya. Kemudian tengok jam balik, mengunyah balik, hirup kopi panas balik.
Banyak yang perlu dikejarnya pagi itu; trafik, LRT, komuter, masa. Dia harus berada di pejabatnya tepat pada pukul 8 pagi. Harus tunjuk kepimpinan melalui teladan, barulah staf bawahan menghormatinya.
"Haih, budak bertuah ni. Sakit mata aku nengoknya. Cer duduk! Kamu tahu kan tak baik makan sambil berdiri. Cekodok tu terus je masuk ke kaki kamu tak sampai ke perut. Untut kaki kamu tu nanti baru kamu tahu!" leter Fatimah lagi sambil melangkah ke dapur hendak mengambil bekas mengisi makanan.
"Pandai-pandai je mak ni buat teori. Apa pun mesti lalu perut dululah, mak baru boleh sampai ke kaki." Ali membalas senyuman sinis ayahnya, walaupun Abdul Muttalib tidak memandang ke arahnya. Abdul Muttalib sedang ralit membaca akhbar tetapi telinganya mendengar usik-mengusik antara anak dengan isterinya.
"Menjawab nombor satu kamu ni! Cepatlah kamu kahwin, Ali! Terurus sikit hidup kamu. Mak dengan ayah ni bukannya lama lagi," omel Fatimah.
Abdul Muttalib berdeham kecil. Ali tersenyum sambil mengunyah. Ali tahu ayah menegur emak. Ayah tidak suka emak memaksa-maksa Ali mendirikan rumah tangga sedangkan jelas, Ali masih belum bersedia. Ayah tahu, Ali kekasih pun belum ada lagi sebab Ali tidak pernah sebut. Yang selalu Ali sebut-sebut ialah hutang kereta dan hutang rumahnya yang ingin dilangsaikannya dahulu sebelum dia mengambil langkah menjaga anak orang. Ayah mahu emak memahami maksud yang tersirat dalam kata-kata Ali itu.
"Tu lagilah tak sempat, mak! Nak kahwin macam mana? Calonnya pun takde."
Mengherot ke bawah bibir Abdul Muttalib. Ali yang memerhati gelagat ayahnya, sekali lagi menyimpul senyuman.
"Ayah pakai kereta kamu beli sarapan tadi," ujar Abdul Muttalib sambil melipat akhbar yang sedang dibacanya.
"Pakailah, yah. Takpe."
Bila-bila masa ayah hendak menggunakan keretanya pun Ali tidak kisah. Dia takkan berkira dengan ayah sendiri, ayah yang telah banyak berjasa membesarkannya sehingga menjadi orang yang berjaya. Dia bukan seperti segelintir kawan-kawannya yang melayan ibu bapa masing-masing dengan teruk.
YOU ARE READING
Dari Tanah Ke Tanah
HorrorMengisahkan Ali yang dilanda amnesia sejak berpindah ke rumah sendiri. Pelbagai kisah misteri menghantuinya. Adakah itu Iblis? Penjahat... atau adakah dia dipermainkan oleh orang yang dipercayainya?