Hotel Pullman Kuala Lumpur
TEPAT jam 8 malam Ali tiba di Hotel Pullman Kuala Lumpur, serentak dengan ketibaan Apek. Sebenarnya selepas bersarapan dengan Apek pagi tadi, dia membatalkan niat untuk menyertai Apek di situ malam itu tetapi dia berubah fikiran selepas menerima notis amaran daripada pegawai atasannya, yang memarahinya kerana dia keluar makan pagi selama sejam tanpa alasan kukuh.
'Argh! Tahu-tahu je dia ni. Ada spy ke?'
Bikin Ali stres sahaja!
Memang benar janji temunya dengan Apek tidak berlandaskan kerja tetapi yang patut dimarahi bukan dia. Pegawai atasan itu sepatutnya memberikan notis amaran itu kepada Apek kerana Apek yang membuat janji temu itu.
Geram punya fasal, Ali terus ke stesen LRT selepas habis kerja walaupun pegawai atasannya sudah mengeluarkan arahan supaya Ali datang berjumpa dengannya selepas waktu pejabat. Peduli apa dia dengan arahan itu?! Waktu kerja sudah tamat. Apa hal hendak berjumpa dengannya selepas waktu kerja pula? Hal pejabat selesaikan dalam waktu pejabatlah. Mereka bukannya kawan lepak yang selalu berjumpa selepas habis waktu kerja. Kenal pun tidak!
Ali menaiki LRT menuju ke stesen yang terletak berhampiran dengan rumahnya, mengambil keretanya yang diparkirkan di situ kemudian dia memandu ke Hotel Pullman. Dia tidak pulang ke rumah dahulu kerana tidak mahu emak dan ayah nampak kemarahannya. Dia takut dia akan berlaku kurang ajar terhadap mereka jika dia balik dalam keadaan hati yang gundah-gulana.
"Kau tahu tak aku dapat surat warning dari pegawai baru tu lepas kita meeting pagi tadi. Celaka betullah! Makan pun tak boleh ke?" Apek merungut-rungut. Meredam mood dia malam itu.
"Kau dapat jugak ke?" Ali terkejut. Sangkanya dia seorang sahaja yang menjadi sasaran pegawai baru itu.
"Kenapa? Kau pun kena ke?"
"Kita makan berdua kut! Tapi kita meeting ke?" sindir Ali.
"Aku dengan Noran... hari-hari kena dengan dia. Macam takde orang lain dia nak psiko. Noran kata dia nak psiko haram jadah tu balik."
"Dia nak buat apa? Noran," soal Ali.
"Tak tahu. Tunggu dan lihat jelah."
"Cakap dengan Noran jangan macam-macam. Ke balai nanti, sendiri yang susah," nasihat Ali. "Tadi dia suruh aku jumpa dia lepas habis waktu pejabat."
"Siapa? Haram jadah tu ke? Huh, aku pun dia panggil! Sorrylah aku nak tunggu. Kau ingat habis-habis waktu pejabat tu dia terus jumpa kita ke? Jangan haraplah! Dia mesti torture kita dulu. Biar kita tunggu lama-lama last-last dia kata dia tak dapat jumpa kita sebab ada hal lain. Haram jadah macam tu bukan boleh percaya sangat. Baik aku blah. Banyak lagi benda lain yang aku boleh buat."
"Aku pun terus blah je tadi." Mendidih pula darah Ali. Logik juga cakap Apek itu.
Apek mengeluh. "Haih, aku tak faham betullah dengan haram jadah tu. Selalu sangat dia nyusahkan aku. Celaka betul. Dia belum kenal siapa aku."
"Eh, kau nak buat apa?" Ali perhatikan air muka Apek. Hatinya mula risau. "Tak payahlah... buat bodoh je."
Apek berjeda. Di fikirannya memang sudah ada macam-macam. Dendamnya sudah lama terpendam.
"Pek! Tak payah buat apa, Pek! Jangan cari pasal."
Semakin kuat kerisauan Ali. Baran Apek boleh tahan juga. Dia pernah melihat Apek melakukan vandalisma terhadap kereta beberapa orang pensyarah semasa di zaman belajar dahulu. Rosak teruk kereta-kereta itu tetapi hingga sekarang Apek terlepas. Tiada siapa yang boleh tuding jari padanya sebab dia ada alibi. Pernah sekali Ali mengikut Apek mengekori seseorang yang sengaja mencari pasal dengannya. Ali ikut kerana ingin memastikan Apek tidak melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan musibat kepada kawan serumahnya itu.
YOU ARE READING
Dari Tanah Ke Tanah
HororMengisahkan Ali yang dilanda amnesia sejak berpindah ke rumah sendiri. Pelbagai kisah misteri menghantuinya. Adakah itu Iblis? Penjahat... atau adakah dia dipermainkan oleh orang yang dipercayainya?